Solat Jumaat adalah solat yang dilakukan dalam waktu solat Zuhur dan mempunyai dua khutbah sebelum solat itu didirikan. Kewajipan mendengar dan memberi tumpuan ketika khatib sedang membacakan khutbah adalah salah satu syarat untuk memastikan solat Jumaat kita menjadi lebih sempurna. Bukan sahaja perhatian yang diutamakan, tetapi larangan untuk melakukan perkara-perkara lain termasuk berkata-kata atau berborak bersama jemaah lain adalah sesuatu yang ditegah dan dilarang oleh Islam.

Khutbah Jumaat adalah satu peringatan kepada semua jemaah yang hadir mahupun yang mendengar dari luar. Akan tetapi, kewajipan kepada setiap muslimin adalah mendengar dengan memberi tumpuan dan perhatian yang sepenuhnya ketika khatib sedang menyampaikan isi khutbah tersebut.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, dari Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jika kamu berkata-kata kepada sahabatmu pada hari Jumaat, walau dengan perkataan diam sekali pun, ketika khatib sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lagha (melakukan perkara yang sia-sia).” Hadis ini jelas memberitahu kepada kita tentang larangan berkata-kata ketika khatib sedang berkhutbah pada hari Jumaat.

Sebagai jemaah, kita seharusnya memberikan tumpuan sepenuhnya setiap perkataan dan kata-kata yang keluar daripada mulut khatib ketika sedang berkhutbah bagi mengelakkan termasuk dalam golongan yang melakukan perkara-perkara lagha.

Para ulama telah berpendapat bahawa adalah lebih afdal (sebaik-baiknya) bagi sesiapa yang mendengar khutbah untuk diam dan terus memberikan tumpuan. Perbuatan ini lebih baik daripada seseorang itu menyibukkan diri pada ketika itu dengan berzikir secara sendiri, membaca al-Quran atau berdoa, apatah lagi jika hanya bersembang kosong bersama-sama dengan jemaah lain.

Mutakhir ini, kita dapat melihat bagaimana teknologi berjaya mempengaruhi dan melalaikan sebahagian generasi-generasi masa kini terutama golongan remaja dan celik teknologi. Mereka lalai dengan gajet sehingga masa dan waktu ibadah juga diluangkan masa untuk perkara-perkara sedemikian.

Lebih mendukacitakan, ada yang menggunakan telefon dan sebagainya ketika khutbah dengan bermain permainan atau apa-apa pengisian yang ada di dalamnya dengan khusyuk tanpa langsung memberi tumpuan sepenuhnya kepada khatib yang sedang berada di atas mimbar.

Malah, golongan ini langsung tidak segan silu dan menghiraukan jemaah di sekeliling mereka yang memerhati serta melihat kelakuannya. Lebih parah lagi, ada yang melihat video-video yang langsung tidak menggambarkan dia sedang berada di dalam rumah Allah SWT. Mungkin bagi mereka, ia bukan satu kesalahan atau mungkin juga ada yang menganggap perkara ini merupakan perkara yang remeh sahaja. Sedangkan ia adalah bukti bahawa tahap keimanan mereka itu masih lemah dan langsung tidak bersungguh-sungguh dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Di samping itu, ada juga dalam kalangan jemaah yang berborak-borak ketika khutbah walaupun setiap kali sebelum khutbah bermula, bilal yang bertugas telah mengingatkan para jemaah yang hadir untuk diam dan mendengar dengan sebaiknya atas apa yang akan disampaikan oleh khatib. Kadang kala, ada yang bersembang dengan nada suara yang kuat sekali gus mengganggu ketenteraman jemaah lain dalam memberi tumpuan dan mendengar setiap isi khutbah yang disampaikan.

Menurut satu hadis lain, dari Ibnu Abbas, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: ” Barang siapa yang berbicara pada ketika Imam sedang khutbah Jumaat, maka ia seperti keldai yang memikul lembaran-lembaran (tiada manfaat). Siapa yang diperintahkan untuk diam (lalu tidak diam), maka tidak ada Jumaat baginya (tidak sempurna),” (Hadis Riwayat Ahmad)

Sehubungan itu, dikhususkan kepada semua kaum muslimin yang beriman, agar memberi tumpuan dengan sepenuh hati sanubari dan pendengaran yang terbaik ketika khatib sedang memberi khutbah.

Hayatilah setiap ayat dan perkataan yang disampaikan agar ia memberi manfaat kepada diri kita. Mungkin jika tidak dalam masa terdekat, ia sebagai panduan kepada diri kita dalam menempuh sisa-sisa kehidupan di atas dunia yang penuh dengan cabaran dan dugaan.

Sesungguhnya ada manfaat yang berguna sama ada kepada diri sendiri, ahli keluarga, sahabat andai dan saudara mara kita yang lain berkaitan dengan isi yang disampaikan berdasarkan tajuk-tajuk yang berbeza pada setiap minggu.

Oleh itu, berikanlah tumpuan dengan sebenar-benarnya pada saat ketika khutbah disampaikan agar pahala Jumaat kita tidak sia-sia. Seterusnya, sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar kita terpelihara serta dijauhkan daripada golongan orang yang rugi kelak.

PENULIS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), UiTM Cawangan Johor.