Walaupun ungkapan perang dagang sering digunakan tetapi bukan sahaja perihal ekonomi yang terkesan malah akan turut memberi impak dalam pelbagai aspek termasuk geopolitik sesebuah negara.

Perang bermula apabila Pre­siden AS, Donald Trump melunaskan janji kempen beliau iaitu untuk menghukum China yang dituduh oleh beliau sebagai melaksanakan perdagangan dunia secara tidak adil. Hukuman berbentuk tarif tambahan telah dikenakan terhadap barangan import dari China yang mengakibatkan harga barangan import dari negara itu akan menjadi lebih mahal. Walaupun berhadapan dengan kuasa besar seperti AS, Presiden China Xi Jinping memutuskan tindak balas yang serupa iaitu mengenakan tarif terhadap barangan yang di import dari AS.

Tidak memeranjatkan keputusan yang dibuat Trump dan tindak balas daripada Xi kerana kedua-dua pemimpin ini me­ngurus negara yang mempunyai kekuatan ekonomi yang tersendiri yang tiada tolok bandingnya. Dunia hanya mampu memerhati dan mengharap supaya perang dagang ini tidak berlarutan.

Sebab itu dunia juga agak terkejut apabila kerajaan Malaysia telah membuat beberapa keputusan untuk sama ada membatalkan, menangguhkan atau mengubah terma perjanjian beberapa projek pembangunan yang dibiayai oleh China di Malaysia. Mengapa digunakan ungkapan terkejut adalah jika Xi berani mengenakan tindak balas terhadap AS yang mempunyai pemimpin seperti Trump, tiada satu sebab yang mampu menghalang China mengambil tindakan serupa terhadap Malaysia.

Setelah kembali dari lawatan lima hari ke China, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad masih belum mengumumkan status sebenar dua projek utama iaitu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) walaupun sebelum ini terdapat berita yang menjurus kedua-dua projek ini telah dibatalkan. Sementara itu pembangunan Forest City di wilayah Iskandar telah diubah terma mengenai pemberian visa kepada pembeli unit kediaman projek tersebut.

Walau apa pun keputusan yang bakal dibuat oleh kerajaan Malaysia bukan sahaja yang bersangkutan ECRL, TSGP atau Forest City tetapi banyak lagi yang mempu­nyai kaitan dengan China, tindakan Kuala Lumpur ini dianggap berani dan menongkah arus diplomasi antarabangsa lazim apabila ber­urusan dengan China.

Mengapa dihujahkan sedemikian adalah kerana sistem perdagangan dunia dan ini termasuk AS, amat bergantung kepada pasaran China yang dianggap begitu lumayan dan seboleh-bolehnya setiap negara mahukan pasaran tersebut sentiasa terbuka dan sebab itu persengketaan dagang seperti yang berlaku antara AS dan China mahu dielakkan oleh negara lain.

Malaysia terutama sekali amat bergantung kepada talian dagang dengan China kerana untuk sembilan tahun berturut-turut sehingga 2017, jumlah dagang dengan China adalah yang terbesar. Pada 2017, jumlah dagang antara kedua-dua negara ini ialah AS$96 bilion dan dijangka meningkat kepada AS$100 bilion untuk tahun ini. Pada ketika ini jumlah import Malaysia dari China ialah AS$18 bilion sementara Malaysia pula mengeksport barangan sebanyak AS$25 bilion ke China dan angka ini sahaja mempamerkan manfaat lebih banyak menyebelahi Malaysia jika hubungan dagang yang sihat mampu dikekalkan.

Trump mampu membuat keputusan semberono dengan bersengketa dengan China kerana beliau tahu ekonomi AS adalah begitu besar dan tidak terlalu bergantung kepada perdagangan dengan China. Walaupun Xi telah mengenakan tarif secara strategik iaitu untuk produk yang berkait rapat dengan asas sokongan rakyat AS terhadap Trump, tindakan mengenakan tarif secara terpilih ini masih tidak mampu memudarkan populariti Trump.

Tetapi situasi ekonomi Malaysia adalah amat berbeza dengan AS dan kita tidak mampu bersengketa ekonomi bukan sahaja de­ngan China malah negara lain jua. Beberapa minggu lalu, Republik Palau sebuah negara kecil di Laut Pasifik telah merasai bahana tindakan China apabila Beijing melarang syarikat penerbangan China ber­urusan dengan Palau apabila negara Laut Pasifik itu menongkah arus dasar One China dengan mengiktiraf Taiwan. Akibatnya Palau yang bergantung kepada industri pelancongan kehilangan 50 peratus jumlah pengunjung kerana separuh daripada pelancong yang melawat Palau adalah dari China. Sebagai perbandingan sebanyak 2.2 juta pelancong China telah melawat Malaysia pada 2017 daripada ke­seluruhan 25.9 juta jumlah pelancong.

Walau apa pun keputusan yang bakal dibuat oleh kerajaan Malaysia mengenai status projek berkaitan China, seharusnya keputusan tersebut memberi implikasi menang-menang untuk kedua-dua negara. Situasi sebegini dianggap mampu dicapai kerana hubungan diplomatik dan dagang kedua-dua negara telah dijalin sebegitu lama dan tahun hadapan merupakan ulang tahun ke-45 persahabatan unik Kuala Lumpur-Beijing.

Walau dicongak bagaimana rupa, kedua-dua negara sebenar­nya saling memerlukan antara satu sama lain. Malaysia memerlukan China sebagai rakan dagang yang boleh diharap dan dalam hal ini hubungan selama lebih empat dekad dilangsungkan dengan sikap yang telus dan tolak ansur. Begitu jua China memerlukan Malaysia bukan sahaja sebagai rakan dagang tetapi juga sebagai jendela ke pasaran Asean yang mempunyai lebih 600 juta pengguna.

Tetapi lebih penting adalah China memerlukan Malaysia sebagai rakan geopolitik yang adil dan tidak berat sebelah terutama sekali jika isu tuntutan bertindih sempadan maritim Laut China Selatan diambil kira.