Kebanyakan menteri yang Tumpang liputi sekitar tahun 90-an, pendek kata ada aura masing-masing.

Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, Tan Sri Dr. Ting Chew Peh, Tan Sri Ong Ka Ting, Tun S. Samy Vellu dan Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik (mendiang) antara yang masih kekal dalam ingatan Tumpang.

Ada ketika meskipun dalam iklim politik penuh dengan ketegangan dan tidak menentu, mereka masih boleh bikin ‘lawak kering’ hingga tak kering gusi kami wartawan dibuatnya. Begitupun mereka penuh karismatik dengan soalan diajukan dijawab dengan fakta berbaur sinikalnya.

Keng Yaik misalnya dikenali sebagai menteri ‘air liur’. Bukan bermaksud mendiang hanya pandai berjanji tetapi kerana air liurnya sering tersembur ketika bercakap. Mendiang menyedari hal ini hingga boleh membezakan wartawan di depannya itu wartawan baharu ataupun wartawan senior:

“You mesti reporter baharu sebab ‘berani’ duduk depan saya, reporter lama mesti mau duduk jauh punya,” tergiang-giang di telinga Tumpang usikan mendiang.

Samy Vellu lebih kurang macam Keng Yaik. Beliau pasti melayan dan menjawab setiap soalan wartawan biarpun ada ketikanya lif yang membawanya beredar selepas program hampir tertutup.

“Tol naik sikit, marah sama saya. You ingat ini semua tol saya punya bapak punya kah?,” kata Samy Vellu dalam nada seloroh, hingga Tumpang dan rakan-rakan media tergelak besar.


MEMANJAT TANGGA

Lebih dua dekad berlalu. Dan bila Tumpang amati olahan kritikan orang kanan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap barisan kepemimpinan kerajaan baru-baru ini, Tumpang agak faham apa yang dimaksudkan oleh Datuk A. Kadir Jasin.

Apa yang dibangkitkan Kadir terhadap menteri, menteri besar dan exco yang katanya “kurang menyerlah, masih merangkak-rangkak, meraba-raba” setelah setahun diberi peluang, Tumpang cukup pasti berkait rapat pengalaman dirinya sendiri yang super senior dalam media. Kadir melalui era penuh warna-warni pentadbiran Dr. Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri keempat (1981-2003).

Tumpang tidak pernah lupa ada beberapa timbalan menteri yang berkhidmat melebihi 10 tahun sebelum diangkat menteri. Megat Junid antara contoh yang baik seorang pemimpin yang bermula dari bawah. Bermula sebagai setiausaha politik kepada Dr. Mahathir pada 1974, Allahyarham memanjat tangga terus ke jawatan menteri pada 1995.

Aura Megat Junid selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri ibarat suara Perdana Menteri yang memegang portfolio kementerian itu tetapi jarang sekali mengeluarkan komen.

Dalam tempoh pelantikan sebagai timbalan, banyak perkara dipelajari. Antaranya menjadi pendebat yang baik di Parlimen, belajar mengambil dan melaksanakan arahan, belajar menulis laporan politik dan kementerian, menguasai teknik bacaan laju dan menganjurkan aktiviti-aktiviti sosio-politik.

Begitupun ada individu terpilih dilantik terus jadi menteri ‘masuk melalui tingkap, bukan pintu’ - Azalina Othman Said, Jamaluddin Jarjis (Allahyarham) dan Dr. Subramaniam.

Tetapi realitinya jua, tanpa memiliki kualiti yang diperlukan untuk memimpin dan berkomunikasi dengan baik, kerjaya dalam arena politik ini tidak akan bertahan lama - walaupun anda disukai Perdana Menteri.

Kerana mencari kriteria menteri yang bijak pandai jugalah, Tun Abdullah Ahmad Badawi apabila menjadi Perdana Menteri selepas pilihan raya umum Mac 2004 mengulangi sejarah pelakunya terdahulu, dengan melantik personaliti tertentu terus sebagai menteri. Contohnya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Tan Sri Amirsham, Abdul Aziz (Menteri di JPM), Tan Sri Musa Mohamad (Pendidikan) dan Nor Mohamad Yakcop (Kewangan Kedua). Juga, dalam kabinet kerajaan terdahulu, Idris Jala (KPI-NKRA-Pemandu).


‘PENANGAN’ POLSEC

Bahkan, Tumpang tidak boleh ketepikan ‘penangan’ beberapa setiausaha politik (polsec) yang cekap dan produktif sehingga menempatkan diri mereka sebagai menteri. Tun Musa Hitam (bekas Timbalan Perdana Menteri), Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat (Penerangan) dan Ka Ting (Perumahan dan Kerajaan Tempatan) sebagai contoh, mewakili kategori berwibawa ini.

Setahu Tumpang, kritikan Kadir terhadap KPI menteri-menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukanlah isu baharu. Apabila calon PH dari DAP tumpas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands Januari lepas, beliau menempelak apa yang dilihatnya semasa kempen PRK itu, “para menteri dan timbalan menteri berkumpul di meja VIP dan tidak bergaul dengan rakyat”.

Tumpang juga sempat memetik catatan Tan Sri Dr. Rais Yatim dalam bukunya, Kabinet 1Malaysia: Mengimbas Kembali Tadbir Urus Kabinet (2006) mengenai kisah Dr. Mahathir yang memulakan hari pertama beliau mengendalikan mesyuarat Kabinet selepas menggantikan Tun Hussein Onn pada Jun 1981.

“Sambil mengeluarkan sebuah buku nota kecil, Dr. Mahathir memulakan agenda hari itu dengan memberi syarahan pengenalan ringkas apa yang boleh dan tidak boleh seperti Ten Commandments kepada menteri-menteri di Kompleks JPM, Jalan Dato’ Onn.

Antaranya, menteri harus pelajari kemahiran asas pengurusan supaya kementerian boleh berjalan lancar bak sebuah syarikat yang cekap.

“Jangan tunjukkan kekayaan mereka. Isteri-isteri tidak boleh kelihatan menonjol dengan berlian dan barang kemas,” demikian nukilan Rais yang berkhidmat di bawah enam Perdana Menteri.

Dr. Mahathir, Kadir, hatta Tumpang sendiri pasti cukup terkesan dengan kehebatan barisan Kabinet masa lalu. Cuma untuk melihatnya berulang setahap King Ghaz, ‘sepak terajangnya’ barangkali ‘tersangkut’ dek kekangan usia dan ‘penangan’ media sosial.

Sekurang-kurangnya catatan Tumpang ini sedikit sebanyak dapat dikutip sebagai pedoman oleh para menteri termasuklah menteri besar dan exco yang hari ini kelihatannya ‘muda-muda belia belaka’.