Ini adalah peribahasa yang tepat menggambarkan mana-mana pemungkir janji yang bukan saja tidak segan meninggalkan ikrar mereka tetapi lebih hebat lagi apabila mereka tanpa malu menentang pula mereka yang diberinya janji itu. Baik dalam perniagaan, hubungan sosial mahupun politik, setiap apa yang dijanjikan hanyalah beralaskan rasa amanah sesama manusia. Hilang amanah, berantakanlah dunia.

Baru-baru ini berlaku insiden ahli tertinggi parti UMNO keluar parti beramai-ramai. Dek kerana kedudukan politik UMNO yang dilihat bagai sambau di pintu kandang, sebarang berita yang menunjukkan kelemahan parti ini sudah tentu akan memberikan kesan yang amat besar kepada imej dan reputasi UMNO.

Tidak dinafikan akan ada kerugian sama ada yang boleh dilihat mahupun yang tidak dapat diperikan.

Maka tidak janggal apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan niat beliau untuk menyaman mana-mana ahli parti yang keluar daripada UMNO selepas memenangi kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas tiket UMNO. Saman yang diniatkan

adalah untuk menuntut kerugian yang ditanggung termasuklah kos berkempen dalam PRU-14 yang dibiayai UMNO.

Ahad lalu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah memberitahu pihak media bahawa writ saman sudah dihantar kepada tiga ahli UMNO yang membuat keputusan keluar daripada parti selepas PRU-14.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Fasa pertama tindakan undang-undang itu difailkan terhadap tiga ahli parti berkenaan kerana tindakan itu disifatkan bercanggah dengan prinsip kesepaduan dan kesetiaan.

Kata Shamsul Anuar lagi, fasa kedua akan membabitkan dua lagi ahli UMNO yang mengambil keputusan sama untuk keluar daripada parti, dipercayai berpunca daripada pelbagai sebab.

Dua orang yang dimaksudkan adalah Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman.

Penulis bagaimanapun tidak pasti sama ada benar wujud perjanjian berkempen yang ditandatangani setiap calon UMNO.

Menurut kata calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, tidak pernah wujud perjanjian sedemikian rupa.

Namun jika tuntutan adalah berdasarkan kerugian di atas tindakan keluar parti semata-mata, sudah tentu UMNO mempunyai ruang kecil untuk menuntut berdasarkan undang-undang tort konspirasi.

Secara ringkasnya tort konspirasi disokong oleh Seksyen 10 Akta Keterangan 1950 (Akta 56) dan terpakai apabila UMNO sebagai plaintif boleh membuktikan bahawa mana-mana defendan telah berjanji dengan pihak lain bagi tujuan mendatangkan kerugian kepada UMNO dan atas sebab tindakan defendan dalam mengotakan janji itu, UMNO telah mengalami kerugian.

Di Malaysia, saman tort konspirasi boleh dilihat jarang dibawa ke mahkamah dan terbahagi kepada dua kategori: sama ada konspirasi dengan cara yang sah atau konspirasi dengan cara yang tidak sah.

Tuntutan untuk konspirasi dengan cara tidak sah adalah lebih mudah dibenarkan mahkamah, tetapi tidak bagi tuntutan untuk konspirasi dengan cara yang sah.

Ini adalah kerana konspirasi dengan cara tidak sah kebanyakan kalinya mudah dilihat dan senang untuk dibuktikan dengan keterangan dan bahan bukti. Sedangkan konspirasi dengan cara yang sah adalah lebih sukar kerana tidak wujud elemen tidak sah atau berunsur penipuan atau jenayah yang boleh dibuktikan dengan mudah.

Sebagai contoh acap kali apabila tort konspirasi dengan cara yang sah berlaku, pihak-pihak yang berkonspirasi akan menjalankan perjanjian mereka dalam mesyuarat tertutup dengan langkah keselamatan bagi memastikan kerahsiaan perjanjian mereka dilindungi.

Sudah tentu sukar untuk membuktikan intipati perjanjian mereka berkonspirasi.

Maka pada hemat penulis, menuntut kerugian ke atas ahli yang sudah tidak mahu dengan perjuangan UMNO hanyalah pekerjaan yang ‘merebus tak empuk, merendam tak basah’. Sedangkan banyak lagi hal yang harus diperhebatkan. Tidak perlulah UMNO menagih keramat daripada mereka yang tidak segan dengan jati diri mereka sendiri.

Amanah yang dituntut sesama manusia, tidaklah sama dengan amanah yang diikrarkan bersumpah nama Tuhan untuk memegang tampuk pimpinan mengelola sebuah bangsa.

Sudah masanya UMNO bangkit meletakkan amanah pengundi mereka kembali kepada tempatnya.

PENULIS ialah seorang peguam.