Dah tahu apa yang dibuatnya salah, masih nak teruskan tegakkan benang basah. Bukan dia tak sedar yang orang sekeliling persoalkan ‘hati keringnya’, tapi kerana mungkin ada motif atau benda tersirat, dia tetap pertahankan hujah dangkalnya.

Tapi kerana tiada sokongan, hanya dapat sokongan kecil atau daripada minoriti sahaja, barulah dia agaknya ‘tersedar’ untuk mohon maaf. Itu setelah damage has been done. Bagi abang hensem, kira macam ‘tak laku’ lah ungkapan maafnya.

Fiil orang macam ini tak taulah abang hensem nak kata. Nak kata ‘lantak kau lah’ pun tak boleh juga sebab nampak gaya kau ni orang cerdik. Kalau dibiarkan tanpa hentam kiri kanan, si dia mungkin tidak akan sedar diri sampai bila-bila.

Bagi abang hensem sendiri, apabila seseorang itu memohon maaf, itu dianggap dia berjiwa besar. Berani kerana benar, takut kerana salah.

Tapi janganlah minta maaf selepas ‘agenda’ atau niat tidak baik yang mahu dihalalkan tidak menjadi kenya­taan. Ini sudah berat beb.

Abang hensem sebenarnya akan sudi sesudinya untuk menerima permohonan maaf kalau sesuatu perbuatan salah laku itu bukan di bawah pengetahuan umum dirinya. Tapi kalau apa yang cuba ditegakkan sememang­nya suatu fakta yang diketahui ramai, anda bikin abang hensem melenting beb.

Bercerita bab maaf ini, abang hensem sukalah berkongsi dengan level memohon maaf yang tinggi aras piawaiannya. Sehinggakan abang hensem dalam sorang-sorang mengamati kisah masyarakat ini rasa terharu. Sebak pun ada dan ada ketikanya terdetik dalam diri ‘sebab benda tak seberapa ini pun’ sanggup minta maaf. Tak terkata apa dah. Tamadun kau ni tinggi sekali beb.

Mari kita amati dua kisah berikut:

1. Sebuah syarikat kereta api di Tokyo, Jepun pada 17 November tahun lalu membuat permohonan maaf kepada pengguna pengangkutan awam negara itu.

Semuanya gara-gara tren yang sepatutnya meninggalkan stesen Minami Nagareyama pada pukul 9.44 pagi di saat yang ke-40, tetapi telah meninggalkan stesen tersebut 20 saat lebih awal.

Ketepatan masa merupakan sesuatu yang amat pen­ting di negara matahari terbit itu. Ini disebabkan ramai rakyat Jepun terutamanya bagi orang yang bekerja bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan pengangkutan awam itu.

2. Pada Februari lalu, Menteri Pembangunan Antarabangsa British, Lord Bates meletak jawatan selepas hadir lewat ke sidang Parlimen.

CNN melaporkan, menteri itu dikatakan terlepas satu soalan penting daripada Baroness Lister disebabkan kelewatan beliau dan menyifatkan sebagai ‘perkara yang memalukan’.

“Saya fikir sekiranya saya dibenarkan memohon maaf secara ikhlas kepada Baroness Lister disebabkan kesalahan saya kerana tidak berada di tempat saya ketika soalan penting diajukan oleh beliau.

“Menjawab persoalan penting daripada pihak kerajaan sudah menjadi keutamaan saya selama lima tahun. Saya sentiasa percaya kita patut tunjuk rasa hormat yang tinggi dalam menjawab persoalan daripada badan perunda­ngan.”

“Saya benar-benar malu kerana tiada di tempat saya ketika itu dan sewajarnya saya memohon maaf dengan memohon peletakan jawatan kepada Perdana Menteri. Saya minta maaf,” kata Bates sejurus tiba di sidang Parlimen itu.

Selepas itu, Bates keluar dari persidangan itu dan sebahagian ahli Parlimen menjerit ‘tidak’ terhadap pengumuman Bates yang mengejut itu.

Beberapa jam kemudian, satu kenyataan dari 10 Down Street menyifatkan tindakan Bates sebagai ‘tulus ikhlas’.

“Peletakan jawatan itu ditolak kerana dianggap tidak perlu,” kata jurucakap Perdana Menteri, Theresa May.

“Sebagai seorang menteri yang rajin dan bekerja keras, tindakan sedemikian menjadi kebiasaan sebagai seorang yang serius dengan tanggung jawab di Parlimen.” jelas jurucakap itu.

Ha! dah baca dah, sebak kan? Tapi bila teri­ngat kisah akhir bulan lepas sehinggakan sidang Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan seketika kerana kekurangan ahli korum, abang hensem geleng-gelengkan kepala sahaja.

Tidak ada permohonan maaf langsung daripada ahli-ahli Dewan Rakyat terlibat, hatta kepada Yang Dipertua dewan, atau pun kepada kepimpinan mereka.

Cuma hati abang hensem agak lega apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kita semua amat hormati menyatakan ketidakpuasannya terhadap kehadiran ahli Kabinet dan timbalannya di Parlimen.

Berbalik kepada soal minta maaf ni, abang hensem harap sangat agar tidak keterlaluan ‘mempergunakannya’.

Takut nanti “Aku bisa memaafkan, tetapi tidak bisa melupakan” - satu-satunya cara untuk mengatakan “aku sebenarnya tak mahu memaafkan.”