Apa yang penting adalah sumbangan belia kepada agama, bangsa, masyarakat dan negara. Seterusnya usaha memajukan belia dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran tinggi bagi menghadapi persaingan dalam dunia moden yang penuh cabaran. Oleh itu, pemikiran dan perangai yang baik perlu diperkasa.

Selain itu, sebagai belia mestilah sihat tubuh badan dan tidak obesiti bagi mengelakkan sebarang penyakit berbahaya seperti kencing manis, lemah jantung, darah tinggi yang kini banyak menyerang kalangan belia. Ini terutama selepas usia 18 tahun apabila mereka lepas sekolah menengah dan tiada aktiviti berfaedah dilakukan sementara menanti untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Pengisian aktiviti penting perlu dilakukan melalui perancangan Rakan Muda di bawah Kementerian Belia dan Sukan. Justeru, kegiatan tersebut biarlah benar-benar dapat mengisi ilmu dan kemahiran kepada kalangan belia dalam semua aspek kehidupan seperti pendidikan, ekonomi, politik, sosial dan budaya.

Belia yang berdaya maju mestilah lengkap dengan dirinya mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran tinggi dalam semua bidang, mempunyai tujuan hidup yang jelas, tidak terpengaruh dengan penyalahgunaan dadah, tidak terlibat dengan gejala sosial, berfikiran positif, mampu mencari dan membina pekerjaan sendiri dan yakin dengan kehidupan masa depan.

Selain itu, belia juga mestilah ingin belajar sepanjang hayat, pandai menyesuaikan diri di mana sahaja, mudah bergaul mesra, mempunyai kekuatan ilmu dan daya tahan diri, melakukan ibadat kepada Allah, menjalankan aktiviti seharian yang berfaedah dengan beradab, menjauhi perbuatan yang membinasakan diri dan melakukan perbuatan yang baik dan menyelamatkan diri dan menjaga nama baik keluarga.

Dalam kehidupan masa kini yang penuh cabaran, kalangan belia mestilah dapat menguasai bidang ekonomi dan perniagaan kerana bidang ini dapat menjamin masa depan tanpa mengharapkan kerja di pejabat semata-mata. Bagi menguasai kedua-dua bidang ini, ilmu dan kemahiran sangat penting begitu juga pengalaman.

Kita tentu tidak mahu belia dan remaja kita terlibat dengan pelbagai jenayah dan menjadi penjahat serta melakukan perkara yang tidak mendatangkan faedah dalam kehidupan mereka. Oleh itu, pengisian selepas usia 17 tahun sangat penting dalam kehidupan belia dan remaja.

Memetik pandangan Alfred Denning, beliau mengatakan kebanyakan penjahat dalam kalangan remaja dan belia itu datangnya daripada puing-puing keluarga yang berpecah-belah dalam masyarakat.

Lantaran itu, asas keluarga yang penting berlandaskan syariat Islam mestilah dengan kekuatan akidah dan keimanan, kekuatan syiar dan ibadat, kekuatan pemikiran dan pemahaman bagi menghadap cabaran dunia.

Belia atau remaja yang dilahir dan dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai asas-asas ini dengan ilmu pengetahuan dan didikan yang baik mudah untuk dibimbing dan dilentur menjadi belia yang berjiwa besar, bersemangat kental dan mempunyai akhlak dan kesopanan serta adab dan budaya yang baik.

Kementerian yang berkaitan dengan belia juga mestilah mempunyai perancangan dan aktiviti bagi membangunkan belia dengan ilmu dan kemahiran tinggi, kerana belia akan menjadi aset penting negara pada masa akan datang. Pelbagai aktiviti berkaitan pembangunan ilmu, sahsiah, ekonomi dan sukan perlu dilakukan kepada belia. Belia bukan hanya pada muda usia, tapi ilmu dan kemahiran tinggi mereka menjadi bukti dan jasa kepada negara.

Di tangan dan di bahu belialah akan terbina kehidupan bangsa dan tanah air pada masa akan datang. Imam Al-Ghazali pernah berkata, bagaimana bentuk belia dan pemuda pada masa kini, begitulah pula corak masyarakat yang akan dibentuk dan dibina pada masa akan datang. Yang diharapkan oleh tanah air adalah belia dan pemuda pemudinya yang berilmu, beriman, kuat dan bersemangat.

Justeru, ingatlah dan waspadalah bahawa hari-hari yang bakal mendatang bagi bangsa dan tanah air terletak pada kekuatan belia pada masa sekarang. Pada masa kini anda adalah belia iaitu pemuda dan pemudi yang akan menentukan nasib bangsa dan tanah air pada masa akan datang. Pemikiran, akhlak dan perangai yang baik dalam kalangan belia perlu sentiasa diperkasa.

DR. AMINUDIN MANSOR ialah aktivis sastera.