Dilancarkan tidak lama selepas Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 1981, ia memberikan impak yang besar apabila kerajaan Malaysia dan pihak swasta menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh etika bekerja.

Ketika lawatan terbaharu beliau ke Jepun baru-baru ini, Dr. Mahathir sekali lagi melahirkan keyakinan Malaysia akan berjaya seperti Jepun sekiranya rakyat memiliki etika kerja, pemikiran dan sistem nilai seperti orang Jepun.

Beliau yang sekali lagi menjadi Perdana Menteri setelah Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengikuti sikap rakyat Jepun yang mempunyai perasaan malu jika gagal melaksanakan tanggungjawab atau tidak melakukan dengan baik tugas yang diberikan.

Apabila Dasar Pandang ke Timur pertama kali digubal pada era 80-an, ia bukan setakat untuk menarik pelaburan dari Jepun atau pergi belajar di negara matahari terbit itu.

Ia lebih kepada usaha mempelajari etika kerja orang Jepun serta membentuk perasaan malu bila gagal melaksanakan tugas yang telah diberikan.

Walaupun ramai lagi gene­rasi terdahulu yang menyimpan kenangan pahit ketika era penjajahan Jepun, kita harus melihat ke hadapan dan belajar daripada mereka yang mampu bangun semula selepas negara musnah akibat perang.

Kita perlu mengambil teladan daripada sikap orang Jepun yang bekerja keras untuk membina semula negara mereka sehingga muncul menjadi sebuah daripada ekonomi terbesar dunia.

Walaupun telah menjadi sebuah negara maju, rakyat Jepun masih mempertahankan budaya dan nilai-nilai positif yang diwarisi turun-temurun.

Antara yang dapat kita lihat dan boleh diikuti adalah sikap menghormati orang lain terutamanya mereka yang lebih tua, dengan menundukkan kepala sebagai tanda penghormatan.

Kita juga harus mencontohi mereka dalam aspek menepati masa dan menjaga kebersihan kerana ia amat sebati dan menjadi amalan walaupun ketika berada di luar negara.

Oleh itu, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila jadual pengangkutan awam mereka amat tepat manakala rakyatnya sering dilihat mengutip sampah yang dibuang sesuka hati oleh mereka yang amat tidak bertanggungjawab.

Mereka juga amat menjaga kelestarian alam semula jadi dan membentuk perasaan cinta terhadap alam sekitar di bangku sekolah.

Rakyat Jepun juga diasuh supaya menyayangi negara mereka dan semangat patriotik ini berkekalan sehingga mereka meningkat dewasa.

Melihat kepada pelbagai gejala sosial yang sedang melanda negara, jelas bahawa kita perlu belajar semula daripada rakyat Jepun demi untuk memper­kukuhkan nilai-nilai murni dalam masyarakat. Perkara pa­ling asas adalah mengukuhkan institusi keluarga sebagai teras masyarakat yang sihat dan stabil kerana ia mampu memerangi gejala sosial dan moral.

Keruntuhan moral dapat diatasi bukan semata-mata melalui undang-undang atau peraturan tetapi dengan menaik taraf kua­liti kehidupan keluarga dengan memberi penekanan terhadap disiplin dan kelakuan moral yang baik.

Ibu bapa perlu lebih prihatin terhadap kualiti kehidupan keluarga dan mesti sentiasa mengambil langkah untuk menanam nilai moral yang baik pada anak-anak mereka demi membina asas masyarakat yang kuat, stabil dan beretika.

Saya sering melontarkan pendapat bahawa pertumbuhan ekonomi mesti seimbang dengan perkembangan sosial dan moral kerana saya percaya bahawa kayu pengukur untuk kejayaan sebuah negara adalah keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan moral.

Tidak ada ertinya kita mencapai pertumbuhan ekonomi yang dinamik serta peningkatan taraf hidup dan pendapatan per kapita yang tinggi apabila nilai moral, kualiti hidup dan pembangunan keluarga tidak dipupuk secara seimbang.

Pembangunan dan pe­mer­kasaan keluarga adalah pen­ting dalam proses membesarkan anak-anak. Kita perlu mendidik dan membimbing mereka untuk membesar sebagai warganegara yang berguna dan positif untuk menghadapi cabaran pembangunan negara.

Kuasa dan potensi keluarga dalam memerangi masalah sosial yang menimpa belia negara adalah lebih besar dan lebih bermakna berbanding keupayaan semua agensi penguatkuasaan untuk menangani masalah sosial.

Walaupun penguatkuasaan undang-undang juga penting, namun apa yang lebih penting adalah keupayaan kita untuk menyekat masalah sosial daripada menembusi dinding rumah melalui kekuatan dalaman sesebuah keluarga.

Ibu bapa mesti melengkapkan diri mereka dengan kemahiran keibubapaan yang betul untuk mengatasi perubahan pendidikan anak-anak dan kualiti hidup berikutan kemunculan zaman digital dan cabaran berkaitan.

Sikap dan sistem nilai yang diterima pakai oleh sesebuah keluarga itulah yang akan membentuk asas keluarga yang kuat, stabil dan bahagia.

Jika isu sosial dan moral negara kita tidak dapat ditangani dengan berkesan, kita akan menghadapi halangan utama dan serius dalam mencapai tahap negara maju.

Sebagai rakyat yang mendambakan perubahan, kita perlu menyokong Perdana Menteri untuk membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dalam segala aspek.

Menjadi negara maju seharusnya merangkumi  aspek perpaduan nasional dan sosial, keadilan sosial, kestabilan politik, kualiti kehidupan termasuk kehidupan keluarga dan nilai-nilai sosial serta rohani. 

Jika ini dapat dicapai, sudah pasti ia akan menimbulkan rasa bangga dan keyakinan di peringkat nasional dan global.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).