Bagi belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hanya UPSI, UiTM dan politeknik serta kolej komuniti membuka peluang kemasukan ini, manakala lepasan diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berpeluang melanjutkan pengajian di UPSI, UTHM, UiTM dan beberapa universiti lain. Permohonan kemasukan pengambilan kedua ini adalah secara langsung dengan universiti terlibat dan ia telah dibuka seawal Julai tahun lepas.

DILEMA

Tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi perlu dipertimbangkan dengan baik kerana bukan semua orang mendapat peluang sedemikian. Belia yang telah tamat sekolah atau yang memiliki diploma, STPM atau sijil kemahiran mungkin berhadapan dilema sama ada mahu meneruskan pengajian atau bekerja. Ini kerana sebahagian mereka telah pun mendapat tawaran kerja secara tetap, pernah bekerja secara sambilan semasa cuti dan keinginan yang tinggi untuk mempunyai duit sendiri.

Tempoh dua hingga tiga tahun diperlukan oleh pelajar lepasan SPM bagi mendapatkan diploma atau lima tahun untuk ijazah. Bagi pelajar lepasan diploma atau STPM, mereka perlu menempuh tiga hingga empat tahun pengajian lagi untuk mendapatkan segulung ijazah sarjana muda. Tempoh tersebut tidak termasuk penangguhan pengajian, kegagalan dan mengulang subjek gagal atau masalah-masalah lain semasa pengajian.

MENGANGGUR

Jika anda terpaksa memilih sama ada bekerja atau belajar, buatlah pilihan tepat lebih-lebih lagi dalam keadaan kadar pengangguran yang agak tinggi di negara kita. Ataupun jika anda mempunyai masalah kewangan untuk menyambung pengajian, bekerja adalah pilihan pertama. Ramai belia terutama siswazah terpaksa menganggur selepas tamat pengajian dan berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan pada Ogos lalu, terdapat 525,000 orang menganggur di negara ini.

Daripada jumlah tersebut, 10.8 peratus merupakan belia dan peratusan ini tinggi berbanding Singapura iaitu 4.8 peratus, Thailand (5.9), Vietnam (7.9) dan India (10.5). Pengangguran dalam kalangan siswazah terjadi terutama jika mereka tersilap langkah memilih jurusan yang tidak dikehendaki oleh industri atau organisasi. Ia juga boleh disebabkan faktor kebolehpasaran graduan itu sendiri dalam sesuatu pekerjaan disebabkan keputusan tidak cemerlang, kurang keyakinan diri, kelemahan berkomunikasi semasa temuduga dan faktor-faktor lain.

Seseorang yang sedang bekerja mempunyai peluang belajar secara separuh masa atau pengajian jarak jauh (PJJ) yang ditawarkan di kebanyakan universiti awam dan swasta de­ngan syarat mempunyai kelayakan minimum yang diperlukan. Malah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sendiri memperkenalkan APEL iaitu pengiktirafan pengalaman individu yang bekerja sebagai kelayakan masuk ataupun pemindahan kredit subjek berkaitan.

APEL A memberi peluang kepada individu yang telah mempunyai pengalaman bekerja tetapi tidak mencukupi syarat minimum institusi pendidikan. APEL C pula memberi pengiktirafan kepada pengalaman kerja, pengalaman hidup dan himpunan kursus jangka pendek individu melalui pemindahan kredit subjek yang ditawarkan.

Jika anda diberi pilihan sama ada bekerja atau belajar, buatlah pilihan bijak demi masa depan.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan dan Koordinator Institut Pendidikan NEO (iNED), UiTM Kampus Pasir Gudang.