Tetapi Bro hairan dalam keadaan Miss Kitty ‘meroyan’ macam pontianak tak dapat pijak tanah tu, dia ingat lelaki sahaja ke ‘sengsara’ dengan larangan merokok ni? Aduh! Miss Kitty, buka sikit mata tu, jangan pakai tudung sampai tak nampak kiri kanan. Yang dok hisap rokok ini bukan lelaki sahaja, malah perempuan pun bersepah. Kadang kala asap rokok perempuan lebih tebal daripada lelaki, bila lelaki hisap vape, dia orangpun nak hisap vape.

Yang kena hisap rokok 3 meter daripada restoran atau gerai makanan bukan lelaki sahaja, perempuanpun kena juga. Dan satu lagi Bro nak bagi tau kat Miss Kitty, Bro ni lelaki bersopan, Bro tak main hisap rokok kat restoran atau gerai makanan sebab Bro ni ‘pencinta wanita’. Bro sentiasa hormat kaum wanita dan kanak-kanak.

Tetapi yang Bro pelik tu perempuan yang hisap rokok tak ada perasaan macam Bro, kadang kala rimas Bro tengok, dia orang pula lebih daripada lelaki, walaupun ada lelaki tak hisap rokok dok tengok, dia orang peduli apa.

Oleh itu, Bro nak nasihatkan Miss Kitty buatlah kajian sikit pasal tabiat merokok ini. Jangan dok tengok lelaki sahaja. Lagipun berbanding kaum lelaki, buruk sangat bila perempuan merokok. Kalaupun nak setaraf dengan lelaki agak-agaklah. Tidak perlu tiru semua perangai lelaki. Yang mana baik buat contoh, yang tak baik buang jauh-jauh.

Namun perempuan zaman sekarang dah rasa hebat, tuntut macam-macam, apa lelaki dapat, mereka pun mahu. Mereka lupa perempuan tetap perem­puan, tidak boleh jadi lelaki atau berperwatakan seperti lelaki, buruk sangat rupanya.

Bro dah banyak kali terserempak dengan perempuan merokok ini, malah ada kadang kalanya siap offer rokok lagi kat Bro, tetapi macam Bro cakap, Bro tak hisap rokok di tempat orang ramai makan minum. Pendirian Bro mudah, apa sahaja undang-undang atau peraturan demi kebaikan bersama, Bro akan sokong, Bro tak macam Miss Kitty dan kawan-kawan seangkatannya, suka sangat persoal kalau ada peraturan dilihat tidak menyebelahi perempuan. Bab kahwin sudahlah, walaupun Islam kata lelaki boleh berkahwin empat selagi mampu, sebahagian perempuan tetap tak boleh terima.

Begitulah bila ramai lelaki naik pangkat, ramai perempuan iri hati, macam-macam mereka cakap kat belakang, soal mereka paling layak. Paling seronok Bro tengok, waima perempuan sendiripun naik pangkat, ada perempuan lain akan ‘meroyan’.

Sebab itulah dalam banyak perkara lelaki tidak emosional macam perempuan termasuklah bola sepak. Tengok Miss Kitty sudahlah siap panggil pasukan yang Bro sokong ‘menyu’ atau macamlah team ‘hang sengal’ (Arsenal) tu kuat sangat. Dulu masa ‘Mr.Bean’ jadi pengurus pun tak ada menang besarpun.

Bro bukan lelaki fanatik atau emosional, kalau pasu­­kan Bro kalah, Bro terima dengan hati terbuka bukan macam Miss Kitty dan sekutunya, bila ‘hang sengal’ kalah macam-macam dia orang cakap, paling klasik salahkan pengadil.

Bagaimanapun Bro tak terkejut, itulah perangai perempuan suka salahkan orang lain. Kelemahan diri sendiri tak nak kaji, sebab itulah bila Bro merokok Miss Kitty ibarat ‘dok tunjuk seluar lelaki koyak, sedangkan kain perempuan dah terlondeh.’

Bro Tompok – Sentiasa muhasabah.