“Eh, ni soalan kuiz ke apa ni? Orang perempuan kalau becok tu tanda dia sihat tau. Kau apa tahu? Asyik-asyik nak komplen saja ni,’’ jawab Miss Kitty jelas dan lantang tanpa perlu bantuan mikrofon. Dan kawan Miss Kitty itu pun cepat-cepat berlalu. Mungkin tak sanggup dengar bebelan Miss Kitty pula. Siapa suruh tekan suis kan?

Miss Kitty pun hairan kenapa orang lelaki ni suka cakap orang perempuan suka membebel tak tentu pasal, mengomellah, suka meroyanlah dan suka merajuklah. Agak-agak siapa yang buat orang perempuan jadi begitu? Alien kah (makhluk asing)? Dah tentu orang lelaki jugakan menjadi punca orang perempuan suka membebel?

Orang perempuan ini, kalau dia bising tandanya dia sihatlah. Kalau tak sihat, dia senyap. Mungkin sakit gigi, sakit perut ke apa. Jadi bersyukurlah orang lelaki, kalau orang rumah mereka kuat membebel. Bila isteri sihat, rumah pun kemas. Suami pun dapat makan sedap-sedap. Duit suami pun jimat, tak perlu keluar tanggung kos perubatan isteri.

Eloklah orang perempuan menyuarakan rasa tidak puas hati atau pendapat melalui berleter. Kalau orang perempuan menyuarakan dengan guna kekuatan fizikal. Nanti dikata mendera suami atau kawan-kawan pula. Dan takan hendak suruh orang perempuan buat demonstrasi bagai, di jalan raya. Bawa sepanduk `Orang lelaki sila flush tandas, lepas digunakan.’ Lagi nampak entah apa-apa kan?

Jadi tak payahlah nak bengang bila orang perempuan suka cakap banyak. Kalau tak bercakap, duduk diam saja pun, orang lelaki mesti risau juga. Dalam hati, kenapalah isteri aku ni diam saja. Marahkah? Atau aku ada `kantoi’ kat mana-mana kah? Lupa delete mesej seseorang kah? Isteri curi-curi baca.

Dalam pada itu, ada juga lelaki yang mengaku, perempuan kalau tak membebel hidup orang lelaki akan rasa sunyi. Yang anak akan rindukan leteran ibunya, bila dia hidup berjauhan dengan keluarga dan yang suami pula akan terasa hidupnya tak lengkap kalau tak dengar isterinya membebel, sebab itu selagi boleh dia akan berusaha membuat isterinya membebel seperti mencampakkan stoking di mana-mana yang sempat.

Tetapi lelaki pun bukan semuanya jenis pendiam. Diam dan cool bukan sikap wajib lelaki. Bab-bab membebel pun boleh tahan juga. Miss Kitty pun pernah dengar Bro Tompok membebel. Boleh bernanah telinga dengar. Mula-mula cakap KL, lama-lama keluarlah semua loghat Kedah dia tu, kalau tunggu lama lagi, mungkin keluar cakap Siam!

Orang dah biasa tengok perempuan membebel. Jadi bila dah biasa, nampak biasa-biasa sajalah. Tapi orang lelaki jarangkan membebel? Bila sesekali membebel memang nampak buruk. Kadang-kadang rasa macam nak tekup je mulut tu. Tapi kalau bukan muhrim berdosa dan dikata orang perempuan ambil kesempatan pula. Miss Kitty tak suka dituduh bukan-bukan.

Kalau Miss Kitty dibebelkan orang lelaki, selalunya Miss Kitty akan diam. Diam bukan bermakna Miss Kitty kecut perut. Miss Kitty ada banyak peluru nak tembak. Tapi malaslah hendak membazir peluru.

Tetapi kalau orang lelaki suka tanya soalan cepumas yang hambar-hambar, lebih-lebih lagi yang mengutuk perempuan, Miss Kitty punya volume suara diprogram automatik ke tahap berbahaya untuk gegendang telinga. Jangan kata Miss Kitty, tak beritahu awal-awal ya. Apa pun, Bro Tompok yang suka mendakwa dirinya kacak dan ramai peminat itu memang tahu Miss Kitty ini pendiam dan pemalu orangnya.

Miss Kitty - Ada orang cakap, misai Bro Tompok macam Freddie Mercury!