Namun, sejak dua pilihan raya terdahulu, nyata parti pembangkang sudah mula berjaya menembusi dan memenangi beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Adakah pada PRU-14 ini BN terus mampu mempertahankan kerajaan atau gabungan pembangkang PKR dapat memenangi lebih banyak kerusi?

Wartawan Utusan Malaysia, ZULHISHAM ISHAK, AZIZI MAJID dan MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI serta jurugambar, RAJA JAAFAR ALI menemubual Pengerusi BN Negeri, DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN yang juga Menteri Besar Johor, baru-baru ini.
 

UTUSAN: Khabar angin mengatakan Datuk Seri akan ditentang oleh wakil parti Pas dan PPBM. Adakah Datuk Seri melihat pertandingan tiga penjuru ini memberikan kelebihan?

MOHAMED KHALED: Apa-apa kita bersedia. Pertandingan dua penjuru ke, tiga penjuru ke kerana pokoknya ada banyak perkara yang kita hendak buat di kawasan Permas yang kita percaya masyarakat boleh menilai. Masyarakat perlu membuat pertimbangan yang sebaiknya.

Antara lain yang saya sangat pentingkan adalah penyediaan rumah mampu milik. Kita ada perancangan untuk melaksanakan projek-projek yang telah dikenal pasti dan saya harap dapat diteruskan kerana pelaksa­naan dan kejayaan menyediakan rumah mampu milik ini akan memastikan matlamat kerajaan supaya pembangunan itu membawa keseimbangan.

Pentingnya keseimbangan itu turut menyaksikan orang Me­la­yu duduk di bandar. Orang Me­la­yu tidak kalah dengan pemba­ngunan. Orang Melayu boleh berjaya dan hidup dalam bandar walau bandar itu ekonominya berkembang pesat. Perkara pokok, mereka mempunyai peluang untuk membeli rumah dalam kawasan seperti Permas dan memang ada rumah harganya yang dalam kemampuan mereka. Yang ini perkara yang akan diberi lebih penekanan. 

Ada beberapa tapak rumah yang saya rancang untuk jadikan Perbadanan Islam di Permas. Jadi Permas, bukan hanya ada sebuah Taman Perbadanan Islam, tapi dua atau tiga untuk jadikannya rizab Melayu. Kemudian kita ada rumah PPR di Bukit Lunchu sebelah Senibong Cove.

Jadi, sarat dengan pelan untuk rumah-rumah sebegini kerana bila saya jadi ADUN, saya lihat terlalu banyak kondominium dan apartmen sepanjang Permas dari Johor Bahru ke Pasir Gudang yang saya rasa kita perlu meme­nuhi kehendak orang yang memang sudah duduk di Permas da­ripada kita ajak orang luar masuk ke sini (Permas).

Pasir Gudang ini menjadi fo­kus pelaburan yang berterusan. Maka, banyak peluang kerja akan wujud dan ini termasuklah di seluruh Johor. Tumpuan kita adalah soal hendak tingkat kemahiran rakyat. Sebab kita hendak semua pekerjaan yang wujud, peluang itu mesti untuk rakyat Johor yang utamanya. Tetapi jika tiada kemahiran, mungkin tidak akan dapat peluang itu. Pelaburan yang dibawa masuk, pekerjaan yang wujud memang yang memerlukan kemahiran tinggi. Sebab Johor dalam keadaan boleh pilih pelaburan yang kita mahu. 

Johor tidak mahu pelaburan yang biasa-biasa. Johor hendak pelaburan berteknologi tinggi. Ia baik dan selari dengan ekonomi maju masa depan. Ia juga yang boleh memberi pendapatan lebih baik untuk rakyat Johor. Tetapi semua ini kita buat jika rakyat Johor tidak bersedia, kita rugi dan atas sebab itulah orang lain masuk. 

Kalau kita lihat kepada mereka yang bekerja di Singapura, duduk di Johor setiap hari cross 300,000 lebih. Sebanyak 65 peratus bukan orang Johor, mereka datang dari negeri-negeri lain. Penduduk Jo­hor hanya 30 lebih peratus. Sebahagian besar yang bekerja di Singapura itu adalah mereka yang mahir. Bukannya kita tidak pandai urus ekonomi atau apa tetapi ia menggambarkan semua ini apabila mereka dilatih dengan kemahiran, mereka boleh pilih di mana hendak kerja sama ada bekerja di Johor atau pilih Singapura. 

Mereka boleh lakukan itu ke­rana kita kebetulan terletak di se­belah negara lain. Ini yang dipanggil ekonomi merentas sempadan yang tidak berlaku di negeri lain.

Pembangkang kata, ramai ker­ja Singapura sebab kita tidak pandai urus ekonomi, itu tidak te­pat sebab daripada jumlah yang ma­suk ke Singapura seba­nyak 65 peratus bukan rakyat Johor. Adakah maknanya Selangor, Perak, Pulau Pinang, negeri itu tidak pandai urus ekonomi?

Apa pesanan dan nasihat Datuk Seri kepada pengundi agar terus memilih wakil rakyat terbaik pada PRU-14 ini?

Asas dalam soal hendak memilih dan menentukan siapa yang patut diketengahkan sebagai calon paling penting adalah wakil rakyat yang dapat meme­nuhi kehendak masyarakat dan sentiasa ingin berkhidmat kepada masyarakat. 

Saya selalu menyatakan penyelesaian kepada masalah masyarakat bukan hanya terletak pada kerajaan tetapi wakil rakyat juga memainkan peranan untuk memberi cadangan penyelesaian­ bagaimana hendak mengatasi se­suatu isu. Selain kerajaan, perlu juga ada ikhtiar masyarakat. 

Macam kita banyak buat free market. Maknanya, kita gembleng sumber dan kekuatan yang ada. Di Pasir Gudang ba­nyak kilang yang mengeluarkan macam-macam barang makanan.

Dan kita perlu ada mereka yang rajin bertemu kilang untuk membuat sumbangan dan kita kumpulkan ini untuk bahagi-bahagikan kepada rakyat. Jadi, itulah ikhtiar masyarakat. Pada masa sama, kita memperkenalkan urban farming, kita perkenalkan projek ERA, itu semua ikhtiar masyarakat. 

Jadi, berasas pada itu, mak­nanya rakyat mengenali kita. Ja­ngan memilih dan menyokong ‘mereka’ yang datang sekali-sekala, bukan ada apa-apa perancangan untuk kawasan itu tetapi semata-mata hendak kerusi bagi maksud lain.

Ini kerana pada akhirnya yang masyarakat akan cari bila ada masalah adalah orang yang mereka kenal dan yang mudah untuk mereka jumpa. 

Sebaik sahaja Datuk Seri mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri selepas PRU lalu, Datuk Seri membangkitkan soal perlunya masyarakat bersatu menerusi Muafakat Johor, selepas itu ‘Team Johor’, apa sebenarnya yang ingin Datuk Seri bentuk termasuk dengan gagasan Johor Berkemajuan?

Kalau kita tidak bekerjasama dan tidak bermuafakat, kita tidak mungkin akan dapat mencapai apa-apa. Jadi, atas sebab itulah kalau hendak tanya apa pencapaian yang hendak saya ingat, yang paling penting sepanjang saya jadi Menteri Besar adalah peningkatan muafakat antara kaum di Johor yang memboleh­kan kita beri tumpuan untuk bangun dan majukan negeri ini.

Rakyat pun sudah muak de­ngan politik benci, politik salah menyalah dan sebagainya. Kita perlu jadikan politik kita ini lebih matang dan berkemajuan. Ja­ngan terbawa-bawa dengan politik pembangkang, semuanya salah kerajaan. Kalau tidak ada makanan di rumah pun salahkan kerajaan padahal dia sendiri tiada usaha. Kerajaan telah sediakan macam-macam. 

Saya selalu cakap, kerajaan ini hendak pastikan kita semua masuk syurga, jadi haji, kita buat Tabung Haji, kita boleh dapat pahala banyak kalau kita ba­nyak solat di masjid tetapi terpulang kepada kitalah hendak atau tidak. Rakyat boleh berjaya pada masa depan dengan adanya sekolah dan universiti tetapi kalau tidak mahu belajar, kerajaan tidak boleh suap. A good government adalah kerajaan yang meng­upayakan rakyat, bukan kerajaan yang menyuap rakyat.