Memasuki minggu terakhir kempen sebelum pengundian berlangsung pada 13 April ini, Mohamad yang menjalankan tugas Presiden UMNO dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia diketuai Penolong Pengarang Utusan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR, Penolong Pengarang Rencana Mingguan Malaysia, SAIFULIZAM MOHAMAD dan wartawan Mingguan Malaysia, SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH serta jurufoto, AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN dan juruvideo, MOHD. AFIZI ISMAIL di Rantau, pada Khamis lalu berkata, serangan peribadi dilakukan kerana Pakatan Harapan tiada modal lain dalam mencapai misi menumbangkannya.

Meskipun dianggap calon favourite oleh pelbagai pihak, perkara tersebut tidak pernah mempengaruhi ahli politik berusia 62 tahun itu untuk memandang ringan PRK di daerah beliau dibesarkan. Sebagai seorang yang pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 14 tahun atau tiga penggal, kehadiran beliau sebagai pembangkang di DUN amat penting.

Seperti mana kata beliau: “Banyak benda saya boleh buat sebagai pembangkang supaya Kerajaan Pakatan Harapan sentiasa bekerja kuat dan memastikan dasar mereka dilaksanakan dengan baik.’’

KARIER politik berakhir, Itu hanya cakap politik

MOHAMAD: Menang atau kalah, ini cuma di Rantau sahaja, andai kata saya kalah tidak bermakna karier politik saya berakhir. Macam Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau pun pernah kalah di Parlimen Kota Star dahulu tetapi dua kali beliau menjadi Perdana Menteri, jadi ini tidak bermakna kalau kalah dalam PRK kali ini ia akan membunuh karier politik saya. Namun begitu, ia akan menjejaskan sedikit untuk saya terus bangun dan membawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) ke tahap lebih tinggi.

Banyak pemimpin yang berjaya pernah mengalami kekalahan, tiada seorang pun yang berjaya tidak pernah menemui kegagalan, bagi saya kegagalan dan kejayaan adalah satu proses.

Pada masa sama, ini juga hanya cakap politik dan perang psikologi untuk nyatakan Mohamad Hasan perlu dikalahkan, tetapi saya yakin penduduk dan pengundi di Rantau mempunyai pandangan berbeza kerana saya lahir dan tinggal di sini. Sebab itu, selama lima hari berkempen saya lihat sesuatu positif berlaku di sini berbanding ketika saya mengendalikan kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU Ke-14), suasananya amat berlainan suasana mesra itu sangat jelas malah, sambutan pengundi di sini terhadap jentera BN pun sangat mesra.

Selain itu, selama lima hari berkempen kalau kita lihat dari segi fizikal di mana-mana ceramah BN, orang begitu ramai hadir jika dibandingkan dengan ceramah Pakatan Harapan (PH) yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin negara, tetapi sambutan amat mengecewakan. Bagaimanapun itu tidak menggambarkan keputusan pilihan raya dan sebab itu saya meminta pengundi datang untuk mengundi pada 13 April ini.

UMNO-PAS, Mimpi ngeri kepada PH

MOHAMAD: Memang mereka sangat bimbang dan perlu bimbang kerana kerjasama yang terbentuk antara UMNO dan Pas setakat ini. Ini satu kerjasama politik yang amat ditakuti oleh PH. Dalam PRU Ke-14 lalu sokongan kaum Melayu terhadap UMNO mencecah 48 peratus, sokongan kepada Pas pula sekitar 27 peratus, apabila dicampur kedua-dua ini sudah mencecah 75 peratus undi dengan jumlah ini as good as game is over sebab itu mereka takut terutamanya DAP.

Terbentuknya kerjasama UMNO dan Pas atas faktor perpaduan ummah memang satu mimpi ngeri pada PH terutamanya DAP sebab itu mereka melatah dan cakap bukan-bukan sampai kata kita kata declaration of war, siapa pula yang hendak berperang kita bukan hendak berperang kita cuma hendak suruh orang bersatu-padu. Mereka juga sebut kita hendak mewujudkan negara Taliban, siapa yang hendak wujudkan?

Semasa BN jadi kerajaan dahulu anasir-anasir Daesh dan al-Qaeda telah kita tangkap, mereka bimbang dalam PRU Ke-15 assalamualaikum (kalah) kepada mereka. Ada sebanyak 30 kerusi Parlimen yang kita kalah begitu sahaja sebab tiada persefahaman antara UMNO dan Pas. Apabila UMNO bersaing dengan Pas maka PH yang untung tetapi apabila bersatu, PH mati.

Jadi inilah yang menjadi mimpi ngeri kepada mereka dan mereka perlu lakukan apa sahaja untuk pastikan kerjasama UMNO dan Pas yang kita asaskan selama ini dan sedang kita pupuk dan suburkan supaya menjadi pohon yang rendang supaya dapat melindungi orang Melayu dan menjadi tempat berbuah yang boleh dimakan bersama digagalkan.

Apabila orang Melayu sebagai kaum terbesar bersatu, secara automatik negara stabil dan bukan Islam akan mendapat nikmat daripada kestabilan politik ini, jadi tidak betul kalau kata perpaduan ummah ini sebagai declaration of war atau negara Taliban.

UMNO sudah mentadbir negara ini selama 60 tahun dan diperakui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai negara yang berjaya mengekang daripada dicemari oleh golongan yang berfahaman ekstremis seperti Daesh dan al-Qaeda. Pas sudah mentadbir Kelantan selama lima penggal namun, tiada yang menjadi Taliban.

Orang Cina, India dan Siam hidup dalam keadaan aman damai, patung Buddha yang terbesar di Asia Tenggara berada di Kelantan, ini menunjukkan Pas mengamalkan toleransi agama yang sangat tinggi.

Tidak ambil mudah tetap anggap sengit

MOHAMAD: Bukan kali ini sahaja, setiap pertandingan sengit. Dalam kerajaan dahulu saya anggap setiap PRU sengit dan saya tidak pernah mengambil mudah, tambahan pula sekarang kita bukan dalam kerajaan dan memang ia sengit untuk memastikan pengundi memberikan sokongan kepada saya. Sama ada PRU atau PRK semuanya sama yang penting kita perlu yakinkan pengundi untuk memberikan sokongan kepada kita.

Menyemak prestasi kerajaan

MOHAMAD: Tidak timbul soal kalau dalam pembangkang saya tidak boleh buat apa-apa. Banyak lagi benda yang saya boleh buat supaya kerajaan PH sentiasa bekerja kuat dan memastikan dasar mereka dilaksanakan dengan baik. Saya akan menyemak prestasi mereka, tidak timbul juga soal mengenai manifesto kerana dalam PRK tidak perlu manifesto.

Serangan peribadi, orang rantau boleh menilai

MOHAMAD: Itu biasa, mereka tidak ada isu lagi jadi buatlah apa benda pun sebagai modal untuk berkempen, takkan mereka hendak cerita tentang kebaikan saya sudah pasti mereka akan cari keburukan saya. Itu biasa, saya tiada masalah. Kalau mereka kata saya tidak baik dan sombong orang di Rantau sendiri boleh menilai, tidak payah gunakan tentera upahan dan ambil video untuk burukkan saya.

Selain itu, perangkap dan taktik kotor ini perlu juga saya sebut sebab saya tidak mahu orang beranggapan ini kerja BN untuk membeli undi. Sebenarnya kita tidak melakukan perkara itu tetapi sengaja dibuat untuk mencemarkan nama BN dan pastikan SPR mengambil tindakan kepada BN.

Jadi saya minta orang ramai berhati-hati jika terdapat orang luar telefon atau bertemu dengan menyogok apa jua sogokan segera laporkan kepada polis.

Saya tahu ini bukan daripada BN. Kita sangat tegas malah selepas ceramah pun kita tidak sediakan makanan kerana kita tidak mahu ia dijadikan alasan untuk membatalkan keputusan pilihan raya.

Mereka keluar gua mana?

MOHAMAD: Saya nak tanya, mereka keluar dari gua mana? Dia tak nampak? Saya bersyukur Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat proses penamaan calon di Sendayan, terbuka mata orang apabila melihat tempat yang dahulunya hutan dan ladang kelapa sawit yang tidak terjaga sekarang sudah menjadi bandar tersusun, menjadi kebanggaan orang Negeri Sembilan dan menjadi simbol ikonik baharu.

Semua kemudahan ada di Rantau, tak kan dia tak nampak? Sebab itu saya tanya dia keluar dari gua mana? Berapa lama dia bertapa? Ini juga akan memakan diri dia, sebab itu orang tertawa dengan cakap dia. Kata tiada Bomba, yang besar itu apa? Dahulu memang saya kata tidak mahu enjin lama dan mahu kereta bomba baharu, sekarang tanyalah menteri sendiri yang sudah jadi kerajaan. Kemudian dia kata tiada kemudahan hospital tetapi Hospital Rembau sudah siap setahun cuma tinggal hendak beli perkakas baharu, jadi tanyalah sendiri Menteri Kesihatan. Dia ingat dia masih pembangkang lagi.

Bersih sudah tiada peranan

MOHAMAD: Saya sudah tidak nampak Bersih dapat memainkan peranan lagi saya tidak tahulah mereka sudah terlampau bersih atau tidak tahu apa yang mereka buat. Banyak pelanggaran peraturan pilihan raya sedang berlaku sampaikan ada pihak yang membuat laporan polis, tetapi kenapa Bersih tidak bercakap?

Sebelum dan selepas penamaan calon banyak pelanggaran dibu­at, perkara ini perlu diambil tindakan segera oleh SPR supaya dapat menampakkan SPR sebagai satu badan bebas dan dapat menjalankan tugas sebagai suruhanjaya dengan mengikut peraturan termaktub dalam pilihan raya.

Sebenarnya Bersih dahulu adalah kuda tunggangan PH, sebab itu banyak pemimpin Bersih sudah bertanding dan menjawat jawatan dalam kerajaan PH sekarang. Kita tahu Bersih memperjuangkan siapa tetapi ini tidak membantutkan usaha kita untuk berkempen dan menjalankan kempen dengan baik. Sebab itu saya nasihatkan anak buah dan jentera saya untuk membuat kerja dengan baik kerana di Rantau kita tidak berhadapan dengan masalah yang besar, jumlah pengundi pun tak ramai dan kawasan pun kecil saja. Jadi kita perlu buat kerja dengan baik supaya hasilnya nanti tidak mencacatkan keputusan pilihan raya. Kita mesti faham bahawa dalam kita berusaha untuk meyakinkan orang banyak mata sedang melihat kita.

Kita main total football

MOHAMAD: Kita di sini bermain total football kita tidak buat formasi 4-3-3 atau 4-4-2. Total football bermaksud 11 pemain naik dan 11 pemain turun. Ini bermaksud kita tidak bergantung sangat dengan ceramah besar-besar kerana selaku parti bukan kerajaan kita tiada pemimpin besar, kita tiada perdana menteri dan menteri. Jadi apa yang kita buat adalah berjalan daripada rumah ke rumah, jentera kita berjumpa dengan sebanyak mungkin pengundi untuk meyakinkan mereka untuk memberikan undi kepada BN maknanya semua memainkan peranan yang sama, tiada superhero yang datang memberikan ceramah, kalau ada pun ceramah skala kecil di peringkat pusat daerah mengundi (PDM), selain itu kita buat taqarub (dekatkan diri) dengan melibatkan 20 hingga 30 orang. Inilah yang saya maksudkan total football yang pernah dipopularkan oleh pasukan Belanda.

Ini konsep yang sangat efektif atau disebut sebagai micro manage (pengurusan mikro) iaitu kita tidak berada di atas sahaja tetapi kita berkeliaran dan bersama-sama. Semua pihak termasuk Wanita, Pemuda, rakan-rakan BN dan Pas bersama memainkan peranan. Sebelum ini ada pihak yang bertanya kenapa tidak nampak sangat jentera Pas di Rantau, ini kerana kita sudah blend jentera Pas dan UMNO bersama, kita pergi berkempen bersama bukan secara asing-asing lagi.

Demi BN, Anak muda panjat tiang pukul 2 pagi

MOHAMAD: Saya tengok jentera saya banyak orang muda, sampai pukul 2 pagi masih lagi panjat tiang untuk pasang bendera. Bukan saja jentera UMNO tetapi banyak pemuda India turut serta. Jadi saya amat gembira kerana penyertaan tenaga muda sangat jelas berbeza berbanding PRU Ke-14.

Ini satu tanda positif. Saya juga sudah melihat dalam dua PRK sebelum ini saluran muda yang selalunya digeruni BN, kita menang besar. Orang sudah mula beralih, sebelum ini mereka menaruh harapan tinggi kepada PH yang memberikan janji-janji manis tetapi selepas 10 bulan mereka dikecewakan.

Orang muda tiada kesetiaan terhadap parti, mereka akan beralih dengan cepat, sekarang saya menantikan mereka dengan berlapang dada. Datanglah kepada BN, saya tidak menjanjikan apa-apa tetapi kita boleh bekerjasama dan membina negara ini dengan baik, aman dan sejahtera.

Sehubungan itu, pesanan saya kepada pengundi pada 13 April ini berikan kepercayaan kepada saya untuk terus menjadi wakil rakyat di DUN Rantau. Saya akan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di sini dan sememangnya selok-belok pentadbiran Negeri Sembilan dalam pengetahuan saya, jadi sebarang isu akan saya bawa segera.

Saya juga minta pengundi tidak percaya dengan berita yang dibawa dan menyebabkan kita keliru. Pengundi di Rantau sudah kenal saya jadi orang di luar tidak perlu bersusah payah untuk mengutuk saya.

Kepada pengundi yang tinggal di luar Rantau saya minta balik kerana sokongan daripada pengundi luar sangat besar kepada saya kerana peratusan mereka sangat besar.

Tak kan pasang khemah pun salah

MOHAMAD: Bila kita buat semua tidak boleh, sebagai contoh ketika jentera UMNO dari Johor buat mesyuarat dalam rumah Johor mereka disuruh berhenti kerana tiada permit, saya tidak faham kenapa mesyuarat dalam rumah walaupun menggunakan pembesar suara perlu diberhentikan.

Semalam pula ketika wanita UMNO bersama muslimah Pas melakukan majlis bacaan Yassin dalam rumah dan mendirikan khemah dalam kawasan rumah sebagai tempat berteduh pun tidak boleh dan disuruh buka. Ini satu perkara yang perlu diberi perhatian. Saya yakin dengan kewibawaan SPR tetapi jangan sampai kita lihat kewibawaan itu sebagai berat sebelah. Ambil tindakan tanpa mengira parti mana, sebagai sebuah badan pilihan raya yang diamanahkan untuk menjalankan pilihan raya sila buat dengan baik. Saya tidak menuduh apa-apa tetapi melihat ada sedikit kecacatan di situ. Kita menaruh sepenuh kepercayaan kepada kewibawaan dan kemampuan mereka.