Pada masa ini kita telah pun melangkah ke dalam Revolusi Industri Keempat atau IR4.0, yang mana komputer dan peranti pintar saling berhubu­ngan. IR4.0 juga merupakan era Internet-of-Things (IoT) yang mana peranti dunia fizikal turut mempunyai kehadiran digital di internet dan dijangkakan berpuluh-puluh bilion peranti ini bakal disambungkan ke internet menjelang 2020.

Ketika Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ke-21 (COSH 2018) berlangsung di Putrajaya baru-baru ini, para peserta turut berbincang cara untuk menangani cabaran baharu serta meningkatkan keselamatan dan kesihatan pekerja melalui pengesanan awal pendedahan kepada risiko, pembangunan langkah pencegahan serta pelaksanaan sistem dan dasar baharu.

Semua pihak berkepentingan perlu menyokong usaha dan tindakan menangani cabaran-cabaran baharu di dalam era IR 4.0 kerana secara umumnya ia menuntut perubahan dalam pendekatan dengan penekanan baharu perlu diberikan kepada aspek kemahiran, pengetahuan dan aplikasi IT tertentu.

Jika dilihat dari sudut positif, teknologi berkaitan KKP sebenarnya memboleh­kan majikan melindungi pekerja dengan lebih berkesan dan membantu mereka mencapai daya saing yang lebih tinggi melalui pengurangan kos berkaitan pengurusan keselamatan.

Sebagai contoh, peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang dilengkapi sensor atau teknologi pengenalan frekuensi radio (RFID) dapat membantu mempercepatkan proses pengumpulan data yang tepat dengan cepat dan efisien. 

Teknologi tanpa wayar yang digabungkan dengan perisian komputer canggih dan peralatan terkini seperti dron dan alat penderiaan jarak jauh se­perti satelit juga mem­bolehkan pengurus keselamatan memantau setiap pekerja dan mesin selain menilai kea­daan secara real time atau tepat masa melalui komputer riba atau telefon pintar mereka. 

Mereka juga boleh menilai sama ada pekerja terbabit telah menerima latihan secukupnya tentang penggunaan peralatan keselamatan tertentu dan mengetahui sama ada peralatan itu mematuhi peraturan, diselenggara dengan baik dan sesuai digunakan. Dengan teknologi terkini, sebenarnya pengurus keselamatan dapat mengakses maklumat penting di hujung jari dalam tempoh beberapa saat.

Namun perubahan dalam bidang pekerjaan turut menuntut penyesuaian dalam aspek latihan bagi memenuhi keperluan sektor baru. Ia bukan hanya soal memberikan kemahiran sesuai dengan keperluan industri, tetapi juga menyediakan pekerja yang mampu memasuki tempat kerja dengan persekitaran yang amat berbeza.

Sehubungan itu, semua pihak perlu memainkan peranan mereka untuk membantu Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Kementerian Sumber Manusia dan negara mewujudkan suasana kerja selamat di “era digital baharu” di mana kemalangan sifar boleh dicapai.

Kerjasama ini amat pen­ting kerana statistik Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) menunjukkan kadar kemalangan di tempat kerja bagi setiap 1,000 pekerja sedikit meningkat kepada 2.93 pada 2017 berbanding dengan 2.88 pada 2016 dan 2.81 pada 2015. Pada 2006, kadarnya ialah 4.77 kemalangan bagi setiap 1,000 pekerja. Kadar kematian perindustrian juga meningkat kepada 4.90 bagi setiap 100,000 pekerja tahun lalu berbanding 4.84 bagi setiap 100,000 pekerja pada 2016 dan 2015.

Di bawah Pelan Induk KKP 2016-2020, Kementerian Sumber Manusia menetapkan sasaran mengurangkan kemalangan industri kepada 2.53 bagi setiap 1,000 pekerja dan kadar kematian perindustrian kepada 4.36 untuk setiap 100,000 pekerja menjelang 2020. Bagaimanapun jika trend sekarang berterusan, sasaran yang ditetapkan untuk kedua-dua kemalangan industri dan kematian tidak dapat dicapai pada tahun 2020.

Oleh itu, lebih banyak usaha perlu dibuat untuk menangani isu-isu berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja agar sasaran kemalangan sifar dapat dicapai di tempat kerja.

Sesungguhnya apa yang diketengahkan dalam COSH 2018 yang dianjurkan NIOSH boleh dijadikan asas untuk pihak berkepentingan menangani cabaran baharu dalam era IR 4.0 termasuk membantu pihak kerajaan merangka polisi dan undang-undang berkaitan.

Saya turut berharap semua pihak terbabit akan juga memperhalusi hasil perbincangan ini di platform lain termasuk Persidangan Saintifik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Ke-5 (SciCOSH 2016) yang bakal dianjurkan NIOSH di Putrajaya pada 28 dan 29 November ini.

Maklum balas yang dikumpul boleh digunakan pihak Kementerian Sumber Manusia yang sedang merangka pindaan terhadap OSHA 1994 untuk dibentang di dalam Parlimen tahun ini. Pada masa sama, ia juga dapat membantu kerajaan melalui agensi berkaitan dan NIOSH melaksanakan lebih banyak inisiatif untuk ‘merakyatkan’ aspek keselamatan dan kesihatan agar menjadi budaya di setiap lapisan masyarakat.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi NIOSH.