KERATAN Nanyang Siang Pau 16 Ogos 2018.

Artikel bertajuk Perdana Menteri lawat China yang di­tulis oleh Loh Han Chew di­siarkan dalam ruangan Pendapat halaman C2.

Semua orang sedia maklum bahawa selepas PH mengambil alih pemerintahan Malaysia, dasar yang akan diamalkan adalah tidak mesra China. Tanggapan itu adalah berdasarkan kempen yang dijalankan semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila PH lantang menyatakan jika berpeluang memerintah Malaysia, mereka akan menyiasat dan membatalkan semua pelaburan dari China.

Dalam kempen itu, ada pe­mim­pin PH mendakwa kontraktor China membawa semua bahan mentah dan pekerja dari negara itu. Tindakan berkenaan disifatkan banyak merugikan Malaysia. Ada juga pemimpin PH menuduh kawasan industri di Gambang, Pahang dan pembangu­nan Fo­rest City, Johor dibolot kontraktor China dan rakyat Malaysia tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu.

Langkah memburuk-burukkan pelabur dari China sudah tentu boleh ditafsir oleh kerajaan negara itu bahawa pemerintah baharu Malaysia mengamalkan da­sar yang bersifat permusuhan. Taf­siran itu nampaknya benar setelah kerajaan baru-baru ini mengumumkan pembatalan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) bernilai berbilion-bilion ringgit.

Setelah arahan pembatalan dibuat, barulah kerajaan PH sedar projek ECRL telah menggajikan lebih 2,000 pekerja rakyat Malaysia dan beratus-ratus kontraktor tempatan. Sebelum ini, PH mendakwa rakyat tempatan tidak mendapat manfaat daripada pelaburan China, bukankah itu amat memeranjatkan? Rupa-rupanya pelaburan dari China telah membawa faedah kepada rakyat tempatan.

Jika betul pun dakwaan semua pekerja datang dari China, segala makan dan minum mereka, tetap orang tempatan yang uruskan. Oleh itu, kenapa membuat tuduhan orang tempatan tidak mendapat manfaat?

Adakah dakwaan itu sengaja dibuat, kerana pihak berkenaan tidak mendapat sebarang habuan daripada kontraktor China? Sebab itu mereka sanggup menyatakan walaupun sebatang paku, sebotol air mineral dan sekeping besi, semuanya datang dari China. Sekarang kita semua tahu, dakwaan itu adalah tidak benar.

Seterusnya, ada orang mahu meredakan ke­adaan dengan menyatakan pekerja tempatan yang hilang pekerjaan mendapat gaji harian. Sama ada gaji dibayar secara harian atau bulanan, mereka tetap mencari nafkah untuk se­suap nasi. Sesiapa sahaja yang mempunyai kuasa di tangan perlu bersikap bertimbang rasa. Jangan terus arahkan pemberhentian projek sehingga menakut-nakutkan pelabur asing dan merugikan semua pihak.

Sama-samalah kita tunggu apakah tindak balas pelabur dan kerajaan China yang sudah tentu tidak berpuas hati kerana kerajaan PH memberhentikan projek sebelum diadakan perbincang­an rasmi antara kedua-dua belah pihak. Tindakan itu adalah umpama ungkapan pepatah orang Kantonis: “Selepas anjing mati, baru bincang harga.”

 

CINA MALAYSIA 
MAMPU BANGKIT

AKHBAR Oriental Daily News bertarikh 18 Ogos 2018 menyiarkan artikel yang menyentuh kerisauan masyarakat Cina kerana kerajaan PH tidak menunaikan semua janji-janji 100 hari mereka.

Artikel ditulis Timbalan Pengelola Sekolah Menengah Cina Persendirian Chung Kong, Loke Ching Chong bertajuk Orang Cina Malaysia, kamu perlu yakin! disiarkan dalam Kolum ODN halaman 45.

Kita yang memilih kerajaan baharu, jadi kita sepatutnya memberi mereka masa untuk menyusun semula pentadbiran dan menentukan hala tuju negara. Kita hendaklah percaya kerajaan baharu ini akan lebih baik daripada kerajaan terdahulu yang korup.

PH yang menekankan kepada wajah baharu politik Malaysia ­berasaskan kepelbagaian kaum dan budaya berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lebih mengutamakan satu kaum. Kemenangan itu menghentikan tanggapan bahawa Malaysia selama-lamanya akan menjadi sebuah negara yang hanya mempunyai satu budaya sahaja.

Tetapi selepas genap 100 hari kerajaan baharu memerintah, kaum Cina mulai risau kerana harapan untuk melihat sebuah kerajaan yang mengutamakan pelbagai kaum hanya menjadi satu impian yang mungkin tidak menjadi kenyataan.

Diharapkan kerajaan PH tidak mengulangi kesilapan kerajaan BN yang mengamalkan sistem peme­rintahan secara tertutup yang hanya mengutamakan satu kaum. Sistem yang bersikap terbuka tanpa mengutamakan kumpulan atau kaum tertentu seperti dalam pe­ngurusan ekonomi di China telah membolehkan pembangunan dilaksanakan secara pantas.

Oleh itu, sudah sampai masa­nya kesungguhan kerajaan PH untuk membasmi gejala rasuah turut diperluaskan melibatkan bidang-bidang lain khususnya pendidikan yang dilihat masih dikuasai kumpulan yang hanya mengutamakan satu aliran sekolah dan budaya sahaja. Janganlah kerajaan baharu membiarkan sistem pendidikan kekal seperti zaman pemerintahan BN.

Jika sistem pendidikan masih tidak berubah apakah yang harus masyarakat Cina lakukan? Penulis berharap kaum itu bersikap yakin pada diri sendiri dan tidak menye­rah kalah.

Janganlah mengambil sikap berlembut kerana menurut pepatah Hokkien, tanah lembut boleh digali sewenang-wenangnya. Ini bermaksud jika kita berlembut kita akan dikorek sedalam-dalamnya. Hanya dengan keyakinan dan bertekad, barulah dapat memperkukuhkan pendidikan dan budaya Cina.