“Apabila melihat seorang pemimpin parti kerajaan berjumpa dan bercakap dengan para pelajar Malaysia di Australia baru-baru ini, terdetik di hati saya, UMNO kini tidak ada apa-apa, nak jumpa pelajar (di seberang laut) pun susah.

“Ini sehinggakan ada kumpulan pelajar (ahli UMNO) di situ bertanya kepada saya, perlukah mereka hadir (berjumpa pemimpin itu), saya kata pergilah...,” kata Noraini, 50, dalam pertemuan sejam dengan sekumpulan pengamal media yang turut dihadiri wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur kelmarin.

 

UTUSAN: Sudah lima bulan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei berlalu, apa yang telah Datuk isikan dalam Wanita UMNO yang ditinggalkan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil?

NORAINI: Dua mesyuarat Exco yang dilangsungkan telah membentangkan cadangan hala tuju Wanita. Kita perlu bangkit cepat. Dalam tempoh dua tahun pun pilihan raya umum (ke-15) boleh berlaku. Kenapa (UMNO) kalah? Sebab rakyat tidak boleh terima UMNO. Mereka ‘terpercaya’ kepada Pakatan Harapan (PH). Letakkan sasaran manifesto janji 100 hari pun tidak mampu tunaikan. Maka UMNO perlu mainkan peranan sebagai pembangkang yang efektif. Kita masuk politik bermakna mesti hendak menang.

Jika diambil analisis sentimen pengundian golongan wanita yang meliputi separuh daripada kira-kira 14 juta pengundi berdaftar dalam pilihan raya umum lepas, berapa peratus pergi ke UMNO?

Analisis mengenai hal ini masih sedang dibuat. Kita tidak nafikan faktor Tun Dr. Mahathir (Mohamad) dan kos sara hidup yang memenangkan PH. Dulu kita percaya bila ibu bapa itu DNA nya UMNO sudah tentu anaknya juga penyokong UMNO. Tapi ini tidak lagi berlaku.

Malah, setiap tahun ada 500,000 orang muda (mencapai umur 21 tahun) yang akan mendaftar dan mengundi. Kalau 500,000 dikalikan dengan lima tahun (satu penggal) berapa? Kita faham kalangan orang muda ini ada nak ikut cara mereka. Mereka lebih pada anti-establisment. Ini yang terjadi yang lepas, dengan pengaruh media sosial cukup kuat pada mereka.

Bukankah sebelum ini anak muda cerdik pandai ini dicantas bila mahu masuk UMNO?

Itu kes terpencil. Saya sendiri pun dari sektor korporat sebelum ini. Kalau diperhatikan ramai pemimpin kanan UMNO pun masuk parti semasa mereka muda terpelajar. Cuma pihak di sana (PH) wujudkan ikon dan bukannya beberapa muda pun sesetengah mereka itu. Mereka (PH) ‘bina harapan’. Kononnya kawan itulah yang boleh ‘selamatkan Malaysia’. Mereka sudah dapat apa yang mereka hendak. Adakah mereka deliver? Saya tidak fikir mereka deliver. Buat GST (cukai barang dan perkhidmatan) sifar, beri harapan kepada rakyat, akhirnya rakyat kena pula SST (cukai jualan dan perkhidmatan).

Sama jugalah dengan isu-isu berkaitan wanita. Kata nak wujudkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) untuk semua suri rumah. Dia tak cakap pula nak ambil dari senarai e-Kasih atau caruman KWSP suami. Kena buat pindaan dari KWSP, malah (pindaan dari) Perkeso pun tak cakap (sebelum itu).

Juga tak cakap itu nak ambil dari Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) - satu program dari Barisan Nasional. Dia tak cakap pula anda kena sumbangkan RM5. Hanya cakap caruman KWSP untuk suri rumah. Bila kita tanya kenapa tak boleh buat? Tun Mahathir sendiri akui PH ini janji-janjinya terlampau tinggi sebab tak sangka boleh menang.

Boleh Datuk kongsi momen-momen semasa menghadiri muktamar Pas di Terengganu baru-baru ini?

Alhamdulillah, dua parti ini boleh duduk bersekali. Saya sendiri sudah tiga kali bertanding dengan Pas di Parit Sulong. Bayangkan semuanya hijau (dalam muktamar itu) dengan kami berbaju merah. Bila hendak keluar (dewan), ada cari kami untuk bergambar. Ada sekumpulan itu ahli Pas dari Parit Sulong dengan bangga kata ini ‘Datuk N’ wakil rakyat saya. Saya teruja. Saya fikir tidak salah kita (UMNO-Pas) bekerjasama secara tidak formal. Dulu pun kita tak pernah terfikir Tun Mahathir boleh berbaik dengan Lim Kit Siang dan Kit Siang boleh bekerjasama dengan Pas dalam siri pilihan raya umum sebelum ini. Saya lihat negara sedang menuju ke sistem dua parti.

Ada tanggapan mengatakan UMNO tidak mampu bangkit semula, UMNO sudah mati?

Siapa kata UMNO nak mati. Beberapa hari lepas, saya jumpa ketua-ketua cawangan di tempat saya, semangat mereka lebih tinggi dari pilihan raya umum lalu. Kita akui masa sudah berubah. Kita tak mahu jadi ‘katak di bawah tempurung’. Datuk Seri Zahid faham cabaran sekarang lebih getir daripada tahun 1996 yang dilaluinya. Kita pun sudah melalui post mortem, retreat (permukiman) dan mendengar idea-idea untuk memantapkan parti. Kita juga sedang lakukan pemutihan untuk mengetahui jumlah ahli-ahli yang aktif atau sebaliknya.

Peluang UMNO tetap ada. Cuma, adakah ini permulaan atau kita tak bangun-bangun lagi macam Golkar (Indonesia) atau yang bangkit pantas setelah kalah satu penggal seperti parti LDP (Jepun)? (Dalam) Golkar banyak cantas mencantas, sebab itu masih tidak bangkit-bangkit.