Bekas presiden Kelab Motosikal Comanchero, Mahmoud ‘Mick’ Hawi ditembak mati di luar gimnasium Rockdale di selatan Sydney pada 15 Februari lalu. Setakat hari ini, tiada sesiapa pun ditangkap berhubung kejadian jenayah tersebut.

Sehari selepas Hawi dibunuh, seorang pakar urologi telah diberi kuasa untuk mendapatkan sperma lelaki itu selepas isterinya, Carolina Gonzalez membuat permohonan di Mahkamah Agung New South Wales (NSW).

Semasa pendengaran permohonan itu baru-baru ini, Hakim Peter Johnson diberitahu bahawa sampel (sperma) tersebut telah diperoleh dan disimpan di sebuah pusat rawatan IVF dan masih belum digunakan.

Peguam yang mewakili Gonzalez berkata, anak guamnya itu akan membuat permohonan sekiranya ingin menggunakan sampel berkenaan.

Hakim menegaskan bahawa beberapa perkara perlu disediakan termasuk afidavit daripada doktor yang terlibat dalam pengekstrakan sperma itu dengan menyatakan apa yang berlaku terhadap sampel sperma tersebut, termasuk lokasi dan penyimpanannya.

Pada bulan lalu, pegawai penyiasat menyaksikan mayat bekas ketua kumpulan penunggang motosikal yang dipenuhi dengan kesan tembakan itu dikeluarkan dari sebuah ‘karung beg berzip dan berkunci’ bagi membolehkan seorang doktor mendapatkan spermanya.

Gonzalez bertindak demikian sebagai usaha terakhirnya untuk memenuhi impian memiliki anak dengan lelaki yang dikenalinya sejak kecil.

Wanita itu telah membuat permohonan segera kepada mahkamah berkenaan prosedur yang perlu dilakukan sebaik sahaja suaminya ditembak mati di luar sebuah gimnasium di selatan Sydney.

Lelaki itu dikebumikan secara Islam dalam suasana tegang antara pihak polis dan tetamu yang hadir, selain Gonzalez sendiri terbabit dalam konfrontasi dengan pengecamnya di Internet.

Dokumen mahkamah yang diperoleh oleh Daily Mail Australia mendedahkan bahawa prosedur untuk mendapatkan sperma hanya boleh dilaksanakan dengan kehadiran penyiasat yang menyiasat kes pembunuhannya.

“Koroner menyatakan bahawa mayat terbabit diletakkan di dalam karung beg yang zipnya berkunci dan beg itu tidak boleh dibuka tanpa kehadiran pegawai penyiasat kes itu,” menurut afidavit yang ditulis oleh peguam Gonzalez.

Walaupun dibenarkan melakukan pembedahan, Gonzalez memerlukan keizinan mahkamah untuk menggunakan sperma tersebut bagi membolehkannya hamil melalui kaedah IVF.

Sementara itu, majlis pengebumian Hawi diawasi anggota polis. Sejumlah besar kaum lelaki yang hadir dengan menaiki tiga buah limousin warna putih telah dihalang oleh penunggang motosikal Strike Force Raptor semasa mereka menuju ke lokasi pengebumian.

Apabila ketegangan semakin memuncak antara kedua-dua kumpulan terbabit, anggota polis yang bertugas telah memberi amaran bahawa kesemua mereka akan diperiksa sama ada memiliki senjata api atau dadah.

Beberapa jam selepas mayat suaminya dikebumikan di tanah perkuburan Rookwood, Gonzalez telah membidas pengguna internet yang menempelak dirinya.

Wanita itu naik berang selepas seorang wanita mendakwa anak-anak Hawi menderita disebabkan bapa mereka ‘terlibat dalam perkara yang menyebabkan nyawanya melayang’.

Setakat ini, pihak polis masih lagi memburu pembunuh lelaki tersebut.