Proses perceraian ekspres yang diperkenal di Selangor dikatakan punca kepada peningkatan kes tersebut. Nege­ri berkenaan memperkenalkan proses perceraian ekspres menerusi kaunter khas yang hanya mengambil masa selama enam jam. Bagi orang yang normal, pasti mahu rumah tangga yang dibina atas dasar cinta kekal bukan setakat ke akhir hayat tetapi ke syurga.

Namun, adakalanya perkongsian hidup suami isteri tidak mampu lagi dipertahankan waima pelbagai usaha dilakukan, lalu Islam memberikan jalan keluar iaitu melalui perceraian. Bak kata pepatah, “disangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari”. Pun begitu, janganlah kita salahkan kaunter khas yang memudahkan perceraian. Sebabnya, bila hati dah benci, semuanya buruk belaka.

Bidalan Melayu juga menyebut jodoh dan pertemuan, hidup dan mati semuanya ditentukan Allah. Namun demikian, manusia disuruh berusaha dan tidak hanya berpeluk tubuh menanti jodoh. Sebab itu, Islam membenarkan lelaki melihat bakal isteri dalam proses bertunang selain beberapa panduan seperti mencari jodoh yang sekufu (setaraf) dan juga suruhan Nabi SAW agar si lelaki mencari bakal isteri yang beragama bukannya atas faktor cantik semata-mata.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. (al-Rum: 21)

Berkahwin adalah salah satu sunnah Nabi Muhammad SAW. Ia juga sesuai dengan fitrah semulajadi manusia saling kasih mengasihani antara lelaki dan perempuan seterusnya mengembang biakkan keturunan umat baginda di muka bumi ini. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Nikah itu sunnahku, barang siapa yang tidak suka, dia bukan golonganku. (Riwayat Ibnu Majah)

Sebab itu dibuat slogan baiti jannati atau ‘Rumahku Syurgaku’. Syurga dan bahagia tidak datang sendiri. Kita perlu berusaha mendapatkannya. Antara faktor utama mencapai bahagia, sakinah, mawaddah dan warahmah adalah apabila suami dan isteri memahami pernikahan itu adalah salah satu ibadat.

Keluarga bukan hanya sekadar hubungan formal antara suami, isteri dan anak-anak. Ia turut memiliki fungsi dan tugas tersendiri dalam masyarakat. Allah tidak pernah mencipta sesuatu tanpa ada alasan dan manfaat yang akan diperoleh. Manusia dicipta semata-mata untuk beribadah kepada Allah. Dengan wujudnya keluarga yang sakinah, mawaddah dan warahmah maka tujuan beribadah kepada Allah mampu dibentuk dan dicapai dalam keluarga. Keluarga begini akan saling terdorong menjalankan misi ibadah kepada Allah.

Untuk itu, syarat utama mencapai rumah tangga bahagia adalah menjaga solat. Selepas ijab kabul antara tugas suami yang disebut juga ketua keluarga adalah memimpin isteri menjadi isteri solehah. Tugas paling penting adalah menjadi imam kepada isteri dan anak-anak. Imam di sini membawa dua maksud iaitu menjaga hubungan dengan Allah (memimpin solat jemaah) dan juga menjadi pemimpin keluarga (hablum minannas).

Rumah tangga yang dikurniakan sakinah, mawaddah dan warahmah perlu sentiasa dihidupkan dengan bacaan al-Quran. Ini bagi mengelakkan rumah menjadi seperti kubur. Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Janganlah kamu menjadikan rumahmu itu seperti kubur (tidak pernah kamu sembahyang sunat ataupun membaca al-Quran dan ibadat lain di dalamnya). Sesungguhnya syaitan akan lari dan menjauhkan diri daripada mana-mana rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah. (Riwayat Muslim)

Untuk itu, setiap umat Islam mesti menjadikan membaca al-Quran sebagai amalan harian selain menghiasi rumah masing-masing dengan amalan ibadat wajib dan sunat yang lain. Rumah yang penghuninya tidak solat dan membaca ayat al-Quran diibaratkan kubur yang sunyi di mana syaitan dan iblis akan menguasainya. Sebab itu rumah rasa ‘panas’ dan akhirnya membawa kepada perceraian.