Walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) menggerakkan bala tentera diketuai oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim namun rakyat Rantau tetap dengan pendirian untuk susah dan senag bersama Tok Mat.

Lebih manis lagi kejayaan Tok Mat mempertahankan kedudukannya di Rantau adalah kejayaan `hatrick’ selaku nakhoda parti iaitu selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands (26 Januari) dan PRK Semenyih (2 Mac).

Semua kejayaan ini terjelma hasil daripada kerja kuat jentera parti dan paling utama ialah kerjasama jitu antara BN dan Pas. Memang tidak boleh dinafikan kerjasama antara BN dan Pas telah memberi satu dimensi baharu dalam politik negara.

Kesannya amat positif terutama dalam usaha menarik sokongan orang Melayu. Apatah lagi dengan keresahan rakyat terhadap prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PKR) yang sehingga kini gagal memberikan keyakinan selepas hampir setahun memerintah.

Kegagalan kerajaan PH menunaikan janji demi janji seperti mana termaktub dalam manifestonya telah membuat rakyat semakin menjauhkan diri. Hakikatnya, rakyat mula sedar yang mereka seolah-olah diperolok-olokkan oleh kerajaan PH.

Oleh itu usahlah dihairankan jika mereka menterjemahkan kekecewaan itu dalam kertas-kertas undi khususnya tiga PRK terakhir ini. Malah anak-anak muda yang rata-rata penyokong kuat PH pada Pilhan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) telah mula beralih angin. Mereka mula mendampingi BN.

Malah dalam tiga PRK terakhir iaitu Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau saluran orang muda di pusat-pusat pengundian banyak memihak kepada calon BN. Ini menunjukkan orang muda telah mula menyokong BN.

Berbalik kepada kerjasama antara BN dan Pas. Bisa sengatan hasil kerjasama dua parti ini menyakitkan dan menakutkan pihak lawan. Masakan tidak tiga PRK terakhir telah menampakkan hasil betapa hebatnya kerjasama antara BN dan Pas.

Mereka berjaya menarik sokongan pengundi-pengundi Melayu. Malah peningkatan pengundi Melayu yang menyokong calon BN amat ketara. Pusat Daerah Pengundi (PDM) yang majoritinya Melayu, semuanya memihak kepada calon BN.

Sebagai contoh dalam PRK Semenyih, BN merampas sekurang-kurangnya lima pusat daerah mengundi (PDM) yang dimenangi PH pada PRU ke-14. PDM tersebut ialah Bukit Mahkota, Kantan Permai, Bandar Rinching Seksyen 5-6, Penjara Kajang dan Beranang.

Di Rantau, BN menang di PDM Angsamas, Kampung Mambau, Rantau dan Kuala Sawah yang tidak mengundi calon BN, Khairy Jamaluddin di peringkat Parlimen dalam PRU-14, Mei tahun lalu. BN juga menang di PDM Sagga yang lebih 60 peratus pengundinya adalah kaum India, begitu juga di Linsum.

Dalam pada itu kehadiran pemimpin-pemimpin besar Pas seperti Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di pentas ceramah BN mempunyai daya tarikannya selain kredibiliti Tok Mat sendiri. Sebenarnya orang Melayu amat mengharapkan suasana ini berlaku (BN dan Pas atas satu pentas) dan sememangnya ia berlaku.

Sesungguhnya orang Melayu mengharapkan suasana ini berlaku satu hari nanti. Alhamdulillah Allah SWT telah memakbulkan doa kita semua. Seperti yang pernah disebut sebelum ini kekalahan BN pada PRU-14 yang lalu itu mengandungi 1,001 hikmah dan inilah hikmahnya. Hikmah penyatuan ummah. Hikmah untuk menyatukan semula antara UMNO dan Pas.

Malah Abdul Hadi berkata, Pas boleh memaafkan UMNO atas perbalahan kedua-dua parti itu dahulu demi agenda yang lebih besar ketika ini iaitu perpaduan ummah dan rakyat.

Sehubungan itu apa yang lebih penting sekarang, kerjasama ini perlu dipertahankan demi Islam dan demi survival orang Melayu. Yang pasti, harapan majoriti orang Melayu tentang untung nasib mereka kini diletakkan pada batu jemala BN dan Pas.

Mereka mengharapkan kedua-dua parti ini mampu berbuat sesuatu demi membela nasib orang Melayu yang ketika ini diasak dengan pelbagai isu. Mahu tidak mahu jambatan yang menghubungkan kedua-dua parti perlu lebih kukuh dan tidak mudah dilanda badai.

Seandainya selepas ini ada lagi PRK kerjasama ini perlu diperhebatkan tidak kira sama ada calon yang bertanding itu adalah BN atau Pas. Pas telah menunjukkan komitmennya membantu memenangkan calon BN dan sekiranya Pas meletakkan calon, jentera BN khususnya UMNO juga perlu bekerja bermati-matian.

Inilah namanya persaudaraan yang didasarkan atas nama akidah yang satu dan atas nama ukhuwah. Tolak segala ganjaran dan habuan tetapi letakkan survival agama dan orang Melayu sebagai agenda perjuangan utama.

Bagi PH, seharusnya mereka merasa gusar dan gundah gulana dengan kerjasama BN dan Pas ini. Tiga PRK terakhir telah membuktikan betapa kerjasama kedua-dua parti telah berjaya menarik sokongan rakyat khususnya orang Melayu.

Justeru, bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila pemimpin-pemimpin PH mula menyerang kerjasama yang terjalin ini dengan memberi pelbagai gelaran. Ada yang menggelar Taliban. Ada yang mengatakan kerjasama ini akan mencetuskan peperangan terhadap orang bukan Islam dan ada yang juga kata kerjasama ini seperti Israel.

Semuanya ini cubaan untuk mengganggu gugat kerjasama tersebut. Mereka cuba memberikan satu persepsi buruk terhadap hubungan antara BN dan Pas. Sebab apa? Sebab mereka sedar kerjasama antara BN dan Pas akan menjejaskan PH.

Kepada pemimpin-pemimpin BN dan Pas, jangan dihiraukan kata-kata nista ini. Usah dilayan kata-kata mereka. Perkukuhkan lagi hubungan dan perkuatkan lagi kerjasama sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Apapun awas jika ada musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan. Jika ada, usir mereka kerana kewujudan manusia yang seperti ini adalah semata-mata untuk melihat kerjasama yang sedang terjalin ini gagal.