Mampukah UMNO bangkit pada PRU-15 dan apakah kesan kerjasamanya dengan Pas? Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, DATUK MAT NADZARI AHMAD DAHLAN mengupas persoalan tersebut dalam pertemuan bersama wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan MOHD. ASRON MUSTAPHA serta jurugambar, SHAHARANI SAIBI.

UTUSAN : Bagaimana keadaan UMNO Selangor selepas PRU-14?

MAT NADZARI: Peringkat awal kita nampak kemurungan. Bukan hanya kepemimpinan sedih dan tiada upaya melawan gelombang pertukaran kerajaan malah ahli juga terkejut.

Bagaimanapun, beberapa bulan kemudian kita adalah negeri pertama bangkit dan mengadakan retreat dengan menghimpunkan kepemimpinan peringkat tertinggi seramai lebih 400 orang di Janda Baik.

Kita merangka bagaimana mahu bangkit, ia sebelum adanya kesepakatan, persefahaman, atau ta’awun dengan Pas. Ini menunjukkan kami cepat sedar memandangkan ahli-ahli mahu hala tuju jelas bagi membolehkan UMNO bangkit.

Maksudnya, ahli melihat ke depan dan mereka nampak ada harapan kalau kita rencanakan pendekatan dan strategi untuk pilihan raya umum seterusnya.

Apabila kami diketuai Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hala tuju itu semakin jelas. Ketua-ketua bahagian bekerjasama dan inginkan perubahan, kalau tidak, takkan mereka mahu jawatan malah ramai muka baharu lebih berkemampuan mahu menjadi pemimpin.

Kalau parti ini tidak ada potensi, tidak boleh dibawa ke mana-mana, perebutan jawatan tidak semeriah itu. Seramai 11 daripada 22 ketua bahagian adalah muka baharu, mereka bukan orang tua-tua.

Mereka adalah generasi berusia 40-an hingga 50-an. Saya percaya melalui konsultasi lebih baik, kesepakatan di bahagian yang mantap dan utuh, UMNO Selangor boleh melakukan perubahan.

Adakah kali ini Datuk melihat UMNO Selangor betul-betul memiliki semangat luar biasa untuk bangkit sebab sudah kalah tiga kali PRU?

Saya melihat PRU-14 dalam sudut berbeza. Selepas Pakatan Harapan (PH) menang, kejutan berlaku. BN menang pilihan raya kecil berturut-turut dengan lebih yakin. Jika itu keadaannya, apa sebenar terjadi?

Kenapa orang suka, tiba-tiba berubah kepada tidak suka dalam masa begitu singkat? Kamu benci kepada pihak yang kamu sokong, apa sebabnya? Adakah kekalahan BN dalam PRU-14 genuine, orang tak suka BN atau mereka ditipu sehingga berpindah sokongan.

Kalau tengok manifesto BN Selangor, kami terbaik dan ia amat meyakinkan. Kalau persoalan boleh bangkit atau tidak? Saya rasa boleh, sebab orang bukan ada niat tidak menyokong BN tetapi mereka ditipu, barangkali.

Sekarang mereka dah tunjukkan sikap mahu kembali menyokong kita. Kami yakin jika mereka yang berpindah sokongan mendapat kefahaman betul mengenai perjuangan dan pentingnya politik kepada negara dan ekonomi, insya-Allah, saya rasa potensi kita besar untuk mencapai kejayaan.

Kita tidak menafikan orang Melayu tengah bangkit dan tidak suka PH, tetapi apa yang membimbangkan ialah UMNO itu sendiri, ‘penyakit’ lama seperti berebut-rebut jawatan sudah bermula, apa pandangan Datuk?

Dari segi penyakit ini susah sikit nak cakap sebab ia ada elemen-elemen tertentu. Penyakit ini ada ‘virus’ dan ‘kuman’. ‘Kuman-kuman’ ini sama ada diternak, diracuni orang atau dalaman kita sendiri memang sakit, maknanya banyak elemen.

Bagaimanapun kita tidak boleh mengetepikan unsur luar yang mahu kita berpecah. Ia tak lari daripada konsep pecah dan perintah. Konsep ini berlaku dalam politik sejak dulu. Ia taktik terbaik menghancurkan lawan.

Kalau nak kata ahli UMNO berpecah-belah, saya rasa mereka sebenarnya tidak berpecah tetapi mempunyai pandangan berbeza, cumanya di luar ada yang mengapi-apikan. Ahli-ahli di bawah masih lagi berikan sokongan.

Di Selangor, daripada 2,411 cawangan, 2,333 bermesyuarat. Ini menunjukkan kita masih kuat di akar umbi, hampir 95 % berjaya mengadakan mesyuarat. Kalau berpecah tidak mungkin boleh bermesyuarat. Kita ada sistem korum bagi setiap mesyuarat cawangan, kalau korum cukup, maksudnya apa?

Adakah kerjasama dengan Pas disambut dengan terbuka oleh ahli UMNO?

Di Selangor, harapan terhadap ta’awun siyasi dengan Pas tinggi. Di bahagian-bahagian bukan setakat berbaik-baik tetapi sudah jauh daripada itu.

Mereka dah sepakat termasuk dari segi kawasan, sudah sampai ke tahap itu walaupun tidak rasmi tetapi mereka sudah mula membayangkan antara satu sama lain.

Ta’awun siyasi adalah platform terbaik bukan sahaja untuk orang Melayu tetapi juga bangsa dan negara secara keseluruhan. Kenapa saya berkata begitu? Saya berpegang kepada prinsip strategi evergreen BN atau dulu Perikatan.

Orang Melayu mesti ingat. Saya tengok orang Melayu gembira mengadakan kumpulan berasingan dengan ideologi bermacam-macam dan tidak sepakat. Ini berlaku.

Terbaharu kita tengok Parti Bumiputera Perkasa (Putra) ditubuhkan, tidak lama lagi di Sabah, saya dengar nak hidupkan semula USNO dan sebagainya. Ertinya, orang Melayu atau parti berkonsepkan Islam mula berpecah.

Inilah suasana ketika 1946. Sebab itulah, untuk merdeka, orang Melayu terlebih dulu bersatu melibatkan 41 pertubuhan, bukannya semua bangsa bersatu dulu. Bila kita sudah kuat, orang Inggeris beri balik kuasa kepada kita, adakah kita tinggalkan bangsa lain? Tak ada.

Dengan siapa kita pergi merdeka? Dengan orang Cina dan India. Oleh itu saya melihat apabila Melayu bersatu, dia tidak lupa rakan-rakan atau orang lain untuk mengecapi kejayaan sehinggakan kita bawa bersama bangsa lain untuk mencapai kemerdekaan.

Itulah formulanya iaitu Melayu bersatu. Sekarang apabila ada usaha mencantumkan kembali parti-parti Melayu untuk menjadi kuat, ia akan membawa kebahagiaan, kemakmuran dan kesejahteraan kepada negara secara keseluruhannya.

Formula itu evergreen, tidak salah kita menggunakan strategi dahulu, ia bukan sebarangan strategi, ia sudah diuji dan terbukti keberkesanannya.

Ada pihak melihat kerjasama ini rasis?

Formula kita bukan formula baharu. Formula ini yang tested, proven, good. Kita merdeka selepas apa? Persoalannya? Saya nak tanya kepada semua bangsa lain, ketika negara ini merdeka pada 1957, selepas apa?

Adakah selepas Melayu berpecah-belah atau selepas Melayu digabungkan keseluruhannya? Sekarang apabila Melayu bersepah-sepah, macam ini keadaannya negara kita ditadbir. Adakah ini bagus? Saya tidak nampak kebaikannya? Krisis kaum bertambah-tambah.

Saya tidak mahu melihat orang Cina tak suka Melayu, orang Melayu benci orang Cina. Saya nak lihat seperti 1957, setelah Melayu bersatu, kita bawa bersama orang Cina, orang India merdeka bersama.

Kita bentuk Perlembagaan, kita bincang, bukan kita main reka-reka. Jadi perkara ini nak diulang balik, kena sepakatlah. Tengok balik sejarah orang Melayu macam mana. Adakah kita benci bangsa lain? Tidak.

Ada pihak membayangkan PRU-15 mungkin akan dipercepatkan atas faktor politik, apa komen Datuk?

Hentikan berkira-kira tahun depan nak bubar Parlimen. Buat kerja, fokus kepada apa kita nak buat. Kalau kita nak menang, kita buat kerja mengikut rangka. Ini lebih baik daripada berkira-kira esok, lusa pilihan raya dan sebagainya.

Fokus kepada agenda utama iaitu untuk menang PRU. Kalau sudah ada 50 % daya usaha sekarang, bila PRU, kita tambah lagi 20 hingga 30 % daya usaha kita, kalau kita asyik berkira-kira tetapi kerja tak buat macam mana nak menang?

Apa nasihat Datuk kepada pemimpin dan ahli UMNO?

Kita mesti sepakat supaya ahli-ahli memandang kita sebagai kumpulan yang boleh diyakini dan bergerak secara bersama. Kita tidak boleh bergerak dalam silo.

Kita mesti bekerja secara berkumpulan. Ini memerlukan keakraban dan keyakinan serta saling mempercayai. Keduanya, jika ahli mahukan perubahan, mereka juga harus bersatu dan wala’ kepada pemimpin.