Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Aung San Suu Kyi perlu main peranan

ISU kemanusiaan etnik Rohingya di Myanmar yang telah berlarutan sejak sekian lama perlu dihentikan segera selepas melihat penderitaan masyarakat Rohingya yang kini kebuluran, kehilangan tempat tinggal dan kematian ahli keluarga akibat dibunuh.

Anifah Aman
Anifah Aman

Sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab dan mencintai keamanan, Malaysia antara paling ke hadapan menentang penindasan itu, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membangkitkan isu itu dalam pertemuan dengan Presiden
Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Selasa depan.

Tidak cukup dengan itu, Menteri Luar, Dat uk Seri Anifa h Aman baru-baru ini turut bersemuka dengan Duta Myanmar ke Malaysia, Sein Oo bagi menegaskan pendirian kerajaan supaya penindasan terhadap masyarakat Rohingya dihentikan serta-merta selain
mendesak supaya bantuan kemanusiaan dapat disalurkan.

Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia, Ro delio Junjun Tauca n semalam, Anifah berkata, beliau sendiri akan mengutarakan sekali lagi isu penindasan itu dalam Debat Umum Sesi Ke-72 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 19 September ini.

“Malaysia berharap masyarakat antarabangsa akan bersama-sama menggesa Myanmar menghentikan penindasan itu dan memberikan pandangan mengenai langkah-langkah yang boleh diambil untuk menangani isu itu,” katanya.


MINGGUAN: Malaysia telah menetapkan pendirian menentang kekejaman ke atas etnik Rohingya selain memanggil Duta Myanmar ke Malaysia, Sein Oo. Boleh Datuk Seri terangkan tentang pertemuan itu?

ANIFAH: Wisma Putra telah memanggil Sein Oo untuk menzahirkan pendirian tegas dan keprihatinan kerajaan serta rakyat Malaysia terhadap penderitaan dan penindasan etnik Rohingya di Myanmar. Malaysia telah mengecam serangan militan terhadap pihak berkuasa Myanmar yang telah mengakibatkan 12 anggota pengawal sempadan Myanmar terkorban.

Pada masa yang sama, Malaysia turut mengecam segala tindakan keganasan lain akibat operasi ketenteraan yang menyebabkan ramai mangsa tidak bersalah terkorban dan ribuan penduduk tempatan terutamanya etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh untuk mencari perlindungan.

Selain daripada etnik Rohingya, etnik-etnik lain seperti Rakhine, Mro dan Hindu turut terjejas di mana dianggarkan sebanyak 25,000 orang telah tersasar secara dalaman (internally displaced). Secara khusus, Malaysia amat bimbang akan kebanjiran ‘pelarian’ Rohingya ke negara-negara jiran, termasuk Malaysia.

Penindasan berterusan terhadap etnik Rohingya juga berpotensi meluaskan lagi pengaruh radikal dan elemen keganasan di Rakhine yang berupaya menjejaskan kestabilan, keselamatan dan keamanan rantau ini. Wisma Putra telah menekankan supaya segala bentuk keganasan daripada semua pihak terutamya pihak berkuasa Myanmar dihentikan serta merta.

Malaysia juga telah menyarankan agar segala tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa Myanmar diambil selaras dengan norma-norma antarabangsa dan perlindungan hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam Piagam ASEAN.

Bagaimana Malaysia boleh terus berjuang mempertahan nasib etnik Rohingya?

ANIFAH: Malaysia telah berkali-kali membawa isu ini ke pentas ASEAN. Namun tidak banyak yang dapat dilakukan untuk mencari jalan penyelesaian isu Rohingya pada peringkat ASEAN.

Oleh yang demikian, Malaysia bersama dengan negara-negara lain yang sependapat, akan membawa isu ini ke peringkat lain termasuk OIC dan PBB bagi mendesak kerajaan Myanmar menghentikan serta merta penindasan terhadap etnik Rohingya. Ini sekali gus mampu membuatkan masyarakat antarabangsa lebih prihatin terhadap penderitaan dan kesengsaraan etnik Rohingya di Myanmar.

Memandangkan isu ini merupakan isu yang kompleks di Myanmar, Malaysia telah menyatakan kesediaan untuk membantu kerajaan Myanmar dalam menangani masalah di Rakhine.

Malaysia menyambut baik syor-syor yang dikemukakan dalam Laporan Akhir Suruhanjaya Penasihat mengenai Rakhine pimpinan Dr. Kofi Annan yang di keluarkan pada 24 Ogos 2017.

Di samping itu, Malaysia menggesa Myanmar untuk memastikan agar bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk dan dihantar kepada mangsa yang terjejas dengan segera bagi mengurangkan penderitaan mereka.

Saya juga telah mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai perkara ini yang secara asasnya menggesa pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi untuk memainkan peranan beliau sejajar dengan reputasi sebagai penerima anugerah Nobel keamanan. Melihat kepada keadaan yang masih tidak stabil di Rakhine, Wisma Putra telah mengeluarkan Nasihat Perjalanan yang menasihati warga Malaysia untuk menangguhkan sebararang perjalanan ke Rakhine di Myanmar.

Sewaktu Malaysia menjadi Pengerusi Majlis Keselamatan PBB, isu Rohingya adalah antara yang dibangkitkan, namun melihat kepada keadaan semasa peranan PBB seperti tiada impak?

ANIFAH: Majlis Keselamatan PBB telah menerima beberapa siri taklimat perkembangan situasi di Myanmar tertumpu kepada proses keamanan dan peralihan politik di negara tersebut.

Majlis Keselamatan PBB juga membincangkan situasi Rohingya di Myanmar pada 17 November 2016 apabila timbul isu keselamatan melibatkan penganiayaan etnik Rohingya.

Semasa mesyuarat tersebut, hanya Malaysia menyuarakan pandangan dan menggesa kerajaan Myanmar mengambil tindakan menyelesaikan isu ini.

Rata-rata ahli majlis berpendirian kerajaan Myanmar masih baru ditubuhkan dan perlu diberi peluang menyelesai cabaran yang dihadapi, seterusnya mencapai usaha mewujudkan sebuah negara demokrasi.

Walau bagaimanapun, Malaysia berpandangan bahawa PBB masih merupakan platform terbaik untuk membangkitkan isu ini. Isu ini juga seharusnya dibangkitkan di pertubuhan-pertubuhan antarabangsa lain seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Sesi ke-72 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada 19 September dilihat bakal mencari kata putus mengenai etnik Rohingya. Apakah peranan Malaysia dalam UNGA dan harapan daripada UNGA nanti?

ANIFAH: Dalam hal ini, Malaysia akan mengetengahkan pendirian negara mengenai isu Rohingya di dalam kenyataan negara (national statement) yang bakal saya sampaikan semasa UNGA. Malaysia akan turut menghadiri mesyuarat-mesyuarat Kumpulan Perhubungan OIC mengenai minoriti Muslim Rohingya di Myanmar yang akan diadakan ketika persidangan itu.

Malaysia berharap melalui UNGA, masyarakat antarabangsa dapat bersama-sama menggesa Myanmar mencari penyelesaian terhadap isu Rohingya secara aman dan berkongsi pandangan mengenai langkah-langkah yang boleh diambil bagi menangani isu tersebut.

Bagaimana pula Datuk Seri melihat peranan ASEAN sendiri. Setiap teguran dan cadangan daripada anggota ASEAN seperti tidak diendah oleh Yangon. Adakah ASEAN tiada taring?

ANIFAH: ASEAN sentiasa berpegang teguh kepada sasarannya untuk memastikan keadaan aman, stabil dan selamat di rantau ASEAN.

Semasa Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN pada 19 Disember 2016 di Yangon, Myanmar, Malaysia dan negara-negara anggota ASEAN lain telah menyuarakan kesediaan untuk mencari penyelesaian bagi isu ini dan juga untuk memberi bantuan kemanusiaan, pembangunan ataupun sebarang bentuk bantuaan diperlukan oleh Kerajaan Myanmar bagi membantu menangani situasi di wilayah tersebut.

Perkara ini telah sekali lagi diketengahkan semasa Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN di Boracay, Filipina, pada 21 Februari 2017. Namun demikian, sehingga kini, keadaan di Wilayah Rakhine semakin membimbangkan.

Memandangkan tiada kata sepakat di peringkat ASEAN buat masa ini, Malaysia berpendapat bahawa isu ini seharusnya dibangkitkan terus ke peringkat antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain