Secara tuntasnya, perkataan ‘demokrasi’ (demokratia) yang berasal daripada bahasa Greek membawa maksud, pemerintahan oleh rakyat. Maka sudah jelas prinsip demokrasi yang kita amalkan sekarang menzahirkan perkara tersebut, iaitu sebuah negara yang pemerintahnya dipilih oleh rakyat Malaysia.

Kuasa rakyat diterjemahkan dengan undian, yang mana pemilihan diadakan bagi menentukan wakil-wakil mereka yang bakal menerajui sesuatu kawasan. Dari kawasan inilah dikumpulkan wakil-wakil tersebut untuk membentuk kepimpinan negeri dan seterusnya negara.

Perkara ini turut diamalkan oleh parti-parti politik dan persatuan-persatuan yang mewakili ideologi-ideologi atau kehendak tertentu untuk mendapat sokongan rakyat.

Kita dapat lihat di Malaysia, wujudnya pembahagian di tahap tertentu yang bermula dengan perkumpulan di dalam sesuatu kawasan (digelar sebagai ranting/cawangan), seterusnya kepada peringkat daerah (cabang/bahagian), negeri dan juga di peringkat persekutuan.

Sebenarnya, asas utama dalam politik kepartian bukanlah Presiden, Yang Dipertua, Mursyidul Am atau Pengerusi sesebuah parti, tetapi bersandarkan sokongan setiap anggota parti politik tersebut. Hal ini merupakan suatu perkara yang dikongsi oleh semua parti politik yang berasaskan demokrasi di seluruh dunia.

Mereka yang dinobatkan sebagai barisan kepemimpinan sesebuah parti itu bertindak hanya mengurus dan memimpin, manakala gerak kerja, kehendak, hala tuju itu semestinya datang daripada mandat yang telah diberikan oleh anggota parti yang kita gelarkan sebagai akar umbi.

Bak kata Presiden Ke-16 Amerika Syarikat, Abraham Lincoln - “Demokrasi adalah pemerintahan daripada rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.” Maka sewajarnya rakyat itu diberikan fokus utama dalam setiap organisasi, parti ataupun negara yang demokratik.

Mengambil analogi seperti sepohon pokok yang besar, kekuatan akar perlu diberi perhatian yang amat teliti dan dijaga dengan rapi. Sebesar mana pokok yang tumbuh merimbun, tidak akan dapat terus berdiri tegak sekiranya akarnya dipersiakan.

Kita melihat di serata dunia, banyak permasalahan parti politik yang disebabkan kehendak akar umbi tidak dipedulikan, menyebabkan parti-parti ini tidak dapat bertahan lama, ataupun terus bergolak sehingga tidak lagi menjadi relevan kepada senario politik semasa.

Bagi seluruh kepimpinan politik di Malaysia, tidak kira apa jua fahaman yang dibawa oleh parti-parti tersebut, perkara ini perlu diambil peduli agar kita terus menjadi relevan sebagai wadah perjuangan rakyat.

Mengkhianati Demokrasi

Sejujurnya saya katakan, semasa rencana ini ditulis, bibit-bibit kerosakan di peringkat akar umbi sedang berlaku di dalam kebanyakan daripada parti yang tertubuh di negara ini. Kita melihat ada kepimpinan dari parti-parti tertentu yang menidakkan suara akar umbi parti mereka dengan teramat jelas.

Sebagai contoh, terdapat parti yang memilih untuk melantik mereka yang kalah di dalam pemilihan dengan meletakkan golongan ini sebaris dengan mereka yang menang. Ini merupakan satu pengkhianatan yang nyata dibuat terhadap kehendak akar umbi parti.

Dalam demokrasi, pemenang akan dikira dengan jumlah undi untuk menandakan sokongan kepada calon-calon yang bertanding. Tidak kira jika seseorang itu mendapat majoriti mudah atau menang besar di dalam sesuatu pilihan raya atau pemilihan, mereka yang menang itu seharusnya menerajui dan membawa hasrat majoriti sebagai iltizam tunggal parti.

Sekalipun jawatan lantikan itu dibenarkan di dalam perlembagaan parti-parti politik ini, seharusnya perbincangan dengan pihak yang menang perlu diadakan sebelum lantikan mana-mana individu yang kalah atau tidak bertanding dibuat.

Lebih-lebih lagi apabila individu yang dilantik tersebut, tidak pernah kelihatan berbakti kepada anggota parti ataupun terlibat secara langsung dalam mana-mana gerak kerja parti. Seolah-olah munculnya insan-insan misteri ini apabila senang, namun tidak nampak kelibatnya ketika susah.

Tambahan pula dalam situasi sebegini terdapat pula mereka yang takut untuk masuk ke dalam gelanggang pertandingan, namun secara semberono menerima pelantikan tanpa rasa malu dan segan.

Mereka ini kebiasaannya hanya bersorak-sorak di tepi gelanggang dengan menjadi suara kepada kem-kem tertentu, sanggup memfitnah dan menyalahkan orang lain, saling tak tumpah seperti bidalan, kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi.”

Golongan seperti ini adalah pengkhianat sebenar sistem demokrasi, kerana takut kalah dan tidak diterima anggota parti, mereka memilih untuk diangkat menjadi ‘pemimpin’ dengan cara yang teramat bacul.

Hal ini perlu diambil maklum oleh pemimpin utama sesebuah parti yang digelar sebagai Presiden, Pengerusi atau Yang Dipertua, yang mana mereka perlu sedar bahawa kerusi atau jawatan yang mereka sandang itu tidak terbit secara sendirinya.

Seorang pemimpin yang diangkat asalnya datang daripada rakyat, yang dipilih secara konsensus untuk memperjuangkan hak rakyat. Konsep pemerintahan secara diktator atau bersifat feudalisme tidak boleh wujud dalam organisasi yang mengamalkan demokrasi.

Jangan diangkat mereka yang kononnya ada ‘kabel’ besar atau kaya raya hanya semata-mata kerana kita ingin mendapat keuntungan peribadi kerana kebiasaannya golongan ini tidak tahu permasalahan yang dialami oleh golongan marhaen yang benar-benar memerlukan suara mereka diangkat oleh pimpinan.

Tiada Tempat Untuk Wanita?

Begitu juga dengan perihal jumlah wanita dalam kepimpinan dan politik, yang mana jika kita lihat mana-mana parti politik sekalipun, golongan ini memainkan peranan yang amat besar kepada pergerakan sesebuah parti. Suara akar umbi yang dibawa oleh wanita juga sering dipinggirkan oleh kebanyakan parti politik di negara ini.

Ya, kita boleh mengenang nama-nama tokoh wanita seperti Tan Sri Dr. Fatimah Hashim (Menteri wanita pertama Malaysia), Shamsiah Fakeh (Ratu Rimba Malaya), Khatijah Sidek (Puteri Kesatria Bangsa), Suriani Abdullah (Gerakan Anti-Jepun semasa Perang Dunia Kedua) dan Asiah Ghani (Senator wanita pertama Malaysia) sering menjadi sebutan bila dibincangkan tentang kepimpinan wanita khususnya wanita dalam politik.

Hakikatnya, golongan wanita masih lagi terkebelakang dalam representasi kepimpinan politik sehinggakan kuota 30 peratus yang telah ditetapkan sebelum ini masih lagi belum tercapai.

Inisiatif 30 peratus buat pertama kalinya disebut di negara ini adalah oleh wanita Keadilan, yang mana pada ketika itu, kami merasakan sudah tiba masanya wanita diberikan peluang untuk memimpin. Perkara ini pada dasarnya disambut oleh semua pihak termasuklah kesemua parti komponen Pakatan Harapan dan juga dari Barisan Nasional.

Namun, amat mengecewakan sekali kerana perkara ini tidak dipraktikkan secara serius oleh semua parti politik di negara ini, sehinggakan penyertaan golongan wanita dalam jawatan lantikan juga dilihat tidak begitu mendapat sambutan. Di manakah silapnya kita?

Dua faktor ini adalah antara isu utama yang perlu segera kita selesaikan. Tidak kira parti pemerintah ataupun pembangkang, yang kita mahukan adalah suara rakyat itu terus kedengaran.

Parti politik adalah wadah yang digunakan oleh rakyat supaya hasrat dan aspirasi mereka dapat diterjemahkan dalam pentadbiran negara. Saya ingin mengingatkan semua pemimpin politik termasuk diri saya sendiri bahawa yang perlu dijaga dan disemai sebaiknya bukanlah pemimpin, tetapi rakyat itu sendiri.

Sekiranya kita gagal dalam memahami dan menjaga kehendak akar umbi, apa jua ideologi yang kita perjuangkan tidak bermakna dalam usaha untuk mengangkat martabat seluruh rakyat Malaysia.

PENULIS ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan juga Naib Presiden PKR.