Hubungan itu bukan sahaja dalam konteks politik tetapi juga merangkumi perdagangan, pendidikan dan sosial. Lantaran keakraban yang terjalin, Washington dan Kuala Lumpur telah me­ningkatkan hubungan itu kepada perkongsian yang komprehensif pada 2014.

“Saya dan pasukan saya di Kedutaan AS menyokong kerajaan baharu dan aspirasi rakyat Malaysia,” kata Duta Besar AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir kepada Utusan Malaysia dalam satu temubual eksklusif di kediam­annya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketika mengulas lanjut tentang perubahan senario politik di negara ini, beliau menambah dirinya bertuah berada di negara ini ke­rana rakyat Malaysia berjaya me­laksanakan peralihan kepimpinan politik dengan aman tanpa sebarang kekecohan atau lancar pada pilihan raya lalu. Apatah lagi, Malaysia selepas 60 tahun merdeka, kini buat pertama kalinya di bawah pentadbiran baharu iaitu kerajaan Pakatan Harapan.

Jelas Kamala, beliau berharap hubungan yang sedia terjalin an­tara AS dan Malaysia dapat dipertingkatkan lagi demi manfaat ber­sama terutama rakyat di ke­dua-dua buah negara.

“Sebagai Duta Besar, saya tidak pernah berpuas hati (dengan hu­bungan yang sedia terjalin). Ini kerana, adalah menjadi misi saya untuk terus mencari peluang ba­gaimana hubungan ini dapat pertingkat dan diperkukuhkan lagi,” katanya.

Bagi Kamala, Malaysia sebenarnya bukanlah asing kerana be­liau pernah menjejakkan kaki ke negara ini ketika berusia awal 20-an. Ketika itu beliau bersama-sama rakannya mengembara dari Singapura hingga ke Chiang Rai, Thailand menggunakan jalan da­rat.

Beliau kembali ke sini pada 1996, kali ini atas tugas mengha­diri Forum Serantau ASEAN yang dianjurkan Malaysia. Beberapa ta­hun kemudian, beliau kembali lagi ke Malaysia dan berkesempatan mengunjungi Sabah juga untuk menghadiri forum yang sama.

Ibarat mempunyai ‘jodoh’ yang panjang dengan Malaysia, tugas yang digalas Kamala bertambah besar apabila dilantik sebagai Duta Besar ke Malaysia, negara yang merupakan antara rakan datang penting AS di rantau ASEAN.

“Kali pertama saya datang bertugas ke sini pada 1996, waktu itu Perdana Menteri adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” jelasnya sambil ketawa mengimbau kenangan tersebut.

Dr. Mahathir kini merupakan Perdana Menteri Ketujuh, sementara beliau merupakan pegawai diplomatik yang membawa misi negaranya di Malaysia.

Menurut Duta Besar itu, hubu­ngan akrab antara AS dan Malaysia dapat dilihat dengan kehadiran banyak firma negara itu termasuk syarikat ternama, yang membuat pelaburan dalam pelbagai bidang. Ini termasuk dalam industri elektronik, peranti perubatan, minyak dan gas serta panel solar di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Johor, Sabah dan Sarawak.

Apa yang membanggakan jelas Kamala, kebanyakan pekerja dan pengurusan firma-firma tersebut adalah rakyat tempatan.

“Terdapat banyak sebab kenapa negara ini menjadi tarikan kepada firma AS. Antaranya bakat, keupayaan berbahasa Inggeris dalam kalangan rakyat negara ini dan ekosistem. Selain itu, Malaysia juga memiliki polisi yang mesra eksport kerana negara ini sebahagian daripada rantaian global.

“Pun begitu, kebelakangan ini terdapat kebimbangan dalam kalangan syarikat AS yang mahu mengembangkan perniagaan me­reka di sini berikutan beberapa keputusan yang dibuat oleh kerajaan berkenaan iklim perniagaan.

“Walau bagaimanapun, saya percaya kerajaan telah mengambil langkah-langkah perlu untuk menanganinya bagi mengekalkan kewujudan pelaburan langsung asing (FDI) di negara ini,” jelasnya.

Selain mengukuhkan hubu­ngan ekonomi, AS juga banyak membantu rakyat Malaysia dalam bidang pendidikan me­lalui program-program pertukaran membabitkan pelajar dan tenaga pengajar. Malah, negara terbabit telah menghantar seramai 100 tenaga pe­ngajar muda Bahasa Inggeris ke negara ini pada tahun ini bagi menjayakan misi berkenaan.

Perkara tersebut turut dikongsi Kamala yang berkesempatan me­lawat beberapa buah sekolah termasuk di Utara tanah air yang terlibat dengan program berkenaan.

Pelaksanaan Pembantu Pengajaran Bahasa Inggeris (ETA) dari AS di bawah Program Fulbright dimulakan di negara ini pada 2006 di Terengganu. Objektif program ini antara lain bagi membantu meningkatkan minat pelajar terhadap Bahasa Inggeris dan membi­na keyakinan untuk bertutur dalam bahasa tersebut. Sehingga kini seramai 694 ETA telah berkhidmat di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara.

Jelasnya, bidang pendidikan, sains dan teknologi diperbaharui merupakan antara bidang-bidang yang boleh diterokai lagi dalam usaha meningkatkan hubungan AS-Malaysia pada masa hadapan.

“Saya berpendapat, hubungan AS-Malaysia akan menjadi lebih kukuh pada masa hadapan berdasarkan kepada kepentingan dan nilai bersama,” katanya.