AS tentunya bertanggungjawab untuk melindungi penduduk timur Ghouta kerana mereka adalah penentang rejim Presiden Bashar Assad. Penduduk di situ telah menyahut seruan AS untuk bangkit dalam demonstrasi Arab Spring menuntut supaya Assad berundur dan sistem demokrasi diwujudkan.

Tetapi kerajaan Damsyik bertindak keras ke atas penunjuk perasaan itu yang membawa kepada pemberontakan dan seterusnya mencetuskan perang saudara Syria bermula 11 Mac 2011 dan kini masih berterusan.

Pemberontak Syria yang disokong dan dibantu oleh AS dan sekutu-sekutunya di Timur Tengah iaitu Turki, Arab Saudi dan Qatar pada satu masa menguasai banyak kawasan di negara itu dan hampir menjatuhkan rejim Assad.

Namun kemunculan Daesh yang menguasai satu kawasan luas juga di Syria menjadikan perang saudara itu berbentuk tiga penjuru. Daesh menentang bukan saja rejim Damsyik tetapi juga pihak pemberontak yang terdiri daripada gabungan kumpulan sekular dan Islamis.

Dalam perang itu, kerajaan Damsyek mendapat sokongan dan bantuan Iran dan Hizbullah Lebanon. Dalam pada itu, kumpulan-kumpulan Kurdis turut serta menentang Daesh. Mereka ini bagaimanapun mengelak bertempur dengan tentera Syria tetapi sebaliknya bersikap menentang Turki.

Perang saudara ini telah mengorbankan 350,000 orang dengan lebih separuh penduduk Syria menjadi pelarian, antaranya berpindah ke Turki dan masuk ke negara-negara Eropah lain hingga menimbulkan pula krisis politik di situ. Sebelum perang, penduduk Syria berjumlah 20 juta.

Antara sebab mereka lari bukan saja untuk menyelamatkan nyawa dan keluarga daripada kekejaman Daesh tetapi putus harap bahawa Syria akan menjadi negara normal.

Rejim Assad tidak disukai bukan saja kerana menekan penentangnya tetapi partinya mempunyai fahaman politik sosialis dan nasionalis lapuk, iaitu Baathisme yang diterjemahkan menjadi autokratik.

Tetapi penentang-penentang rejim Damsyik pula, bukan saja tidak memiliki tokoh tunggal untuk menyatukan gerakannya, malah ia berpecah mengikut fahaman masing-masing. Kumpulan sekular dan Islamis tidaklah berfahaman tunggal. Dalam kalangan kumpulan sekular, ada yang hanya mahu menjatuhkan rejim Assad tetapi tidak berminat pada sistem demokrasi.

Sementara dalam kalangan Islamis, sebahagiannya progresif tetapi yang lain pula adalah konservatif. Ada yang ekstremis dan asalnya al-Qaeda. Mereka tidaklah sekejam dan sebengis Daesh tetapi fahaman politik dan agamanya serupa. Kerajaan Syria terselamat daripada tumbang apabila Rusia turut campur tangan dengan alasan untuk melumpuhkan Daesh, sesuatu yang AS tidak dapat bantah.

Sifat Daesh yang ganas dan kejam menyebabkan AS dan Rusia bekerjasama di Syria. Ini kerana Daesh dianggap ancaman global.Kedua-dua negara menggugurkan bom tetapi antara mangsanya adalah orang awam. Kisah-kisah ngeri hanya sedikit diketahui iaitu melalui agensi-agensi bantuan kemanusiaan.

Dalam peperangan seperti ini, kemanusiaan dipinggirkan kerana keutamaan adalah rebutan kedudukan kuasa baik di peringkat serantau mahupun global. Kerajaan Syria hanya mahu mempertahankan kekuasaannya.

Sementara para pemberontak mahu menjatuhkan rejim Assad untuk membolehkan mereka berkuasa. Tetapi Iran dan Hizbullah hadir membantu kerajaan Syria, begitu juga Turki dan Arab Saudi memihak pada pemberontak untuk mempertahankan pengaruh mereka di rantau itu.

Sementara penglibatan AS dan Rusia pula adalah untuk memiliki pengaruh bukan saja di Timur Tengah tetapi ia merupakan persaingan global antara Washington dan Moscow yang memperlihatkan suatu bentuk perang dunia baharu.

Tujuan

Jadi ketika mula Rusia melibatkan diri dalam perang itu, ia memberitahu AS bahawa tujuannya adalah untuk menumpaskan Daesh dan bukan mempertahankan Assad. Tentulah Washington tidak percaya.

Ini kerana sasaran pengeboman pesawat Rusia bukan kawasan Daesh saja tetapi juga tempat-tempat yang dikuasai pemberontak.

Para penentang Assad menjadi lemah dan apabila tentera Syria masuk ke kawasan-kawasan yang dikuasai mereka, maka berlakulah pertempuran. Ia berakhir dengan kemaraan tentera Syria dengan pihak pemberontak berundur ke kawasan yang mereka masih kuasai.

Tetapi dalam proses ini, orang awam terperangkap. Ia mengakibatkan kesengsaraan, kecederaan dan kematian.

Sementara pihak antarabangsa berunding dengan kedua-dua belah pihak supaya gencatan senjata diadakan bagi membolehkan orang awam yang terperangkap keluar dari medan pertempuran. Apabila bersetuju, laluan selamat diwujudkan dengan bas-bas disediakan untuk mengangkut orang awam ke kem-kem pelarian. Tetapi ada kalanya bas-bas ini juga jadi sasaran.

Ada kalanya orang awam ini adalah penyokong pihak pemberontak, maka sebab itu kawasan mereka menjadi pangkalan penentang-penentang rejim. Dengan keadaan ini maka tidak hairanlah tentera Syria turut memerangi orang awam.

Timur Ghouta adalah kawasan akhir di luar Damsyik yang masih dikuasai oleh pemberontak. Tentera Syria secara bersendirian tidak akan mampu melancarkan serangan darat.

Kejayaan mereka amat bergantung kepada bantuan udara Rusia. Sementara di darat mereka turut dibantu Iran dan Hizbullah.

AS pula berusaha untuk menghalang penuh kemenangan tentera Syria. Mereka kelihatan sudah putus harap untuk menumbangkan kerajaan Assad. Tetapi membiarkan pengaruh Rusia, Iran dan Hizbullah bermakna menjejaskan kepentingan AS di rantau itu.

Di Timur Tengah, ada dua kepentingan AS iaitu Israel dan minyak. Negara minyak utama Timur Tengah pula adalah Arab Saudi. Persaingan Rusia dengan AS di peringkat global bertambah sengit.

Rusia tidak akan membenarkan negara-negara bekas Soviet menjadi sekutu AS yang boleh mengancamnya. Ukraine adalah medan pertembungan antara Washington dan Moscow.

Apa yang dikehendaki oleh AS ialah sebuah Syria yang turut memberi ruang pada kumpulan pemberontak. Sebab itu AS akan turut berusaha supaya kawasan pemberontak dapat dipertahankan. Ini pula bermakna negara itu akan terus menjadi medan persaingan antara AS dan Rusia.

Apabila para pemimpin melihat dunia dari sudut geopolitik, maka sudut kemanusiaan kehidupan orang awam menjadi kurang keutamaan. Elit berkuasa di Washington dan Moscow adalah seperti pemandu robot raksasa yang tidak nampak manusia-manusia kerdil sedang bertempiaran lari menyelamatkan diri.