Pelabur asing umpamanya yang berhasrat melabur di se­se­buah negara sudah pasti mem­buat penilaian bukan sahaja ter­­hadap gaya kepimpinan pemim­pin tertinggi kerajaan tetapi juga terhadap barisan Kabinet. Begitu jua dengan pemimpin global lain membuat penilaian yang serupa seperti mana pelabur asing cuma lebih memberi tum­puan kepada faktor dasar luar.

Sebab itu juga apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan sebahagian besar barisan menteri Kabinet beliau dua minggu lalu, maka lenyaplah teki-teki mengenai hala tuju kerajaan Pakatan Harapan dalam mengurus negara kerana hakikatnya komposisi Kabinet tersebut adalah bayangan kepada dasar pengurusan Dr. Mahathir.

Rakyat sudah pasti tidak mahu senario yang mana pelabur asing membuat keputusan pelaburan bersandarkan andaian semata-mata kerana besar kemungkinan andaian tersebut tidak menggambarkan keadaan yang sebenar. Begitu jua dalam hubungan diplomasi antarabangsa, kerajaan negara asing sudah pasti mahu berurusan dengan perkara yang nyata dan terbukti kesahihannya.

Sebab itu tidak mengejutkan apabila Menteri Luar Britain, Boris Johnson meletak jawatan beberapa hari lalu kerana keputusan itu bersangkut paut dengan tentangan Johnson terhadap dasar yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri, Theresa May untuk membawa Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU).

Begitu jua apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J. Trump membuat keputusan untuk memecat Setiausaha Negara, Rex Tillerson pada Mac lalu, ia bersangkut paut dengan kedua-dua mereka tidak sehaluan dalam beberapa perkara yang bersangkut paut dengan dasar luar me­ngenai Rusia, Iran dan juga Korea Utara.

Laporan yang agak negatif mengenai keadaan ekonomi Malaysia yang dikeluarkan oleh Nikkei Asian Review kelmarin yang antara lain kurang yakin dengan dasar ekonomi Dr. Mahathir sebenarnya adalah cabaran kepada beberapa menteri terutama sekali yang menerajui Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan juga Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Memang tidak dinafikan aliran keluar dana saham dan penyusutan nilai ringgit sedikit sebanyak ada kena mengena dengan faktor luar kawalan seperti ketegangan dagang antara AS dan China, tetapi hakikatnya adalah keyakinan perlu disuntik terutama sekali untuk menongkah persepsi negatif hal pemberhentian cukai bara­ngan dan perkhidmatan (GST) dan juga jumlah hutang negara.

Begitu penting sekali ketiga-tiga menteri kementerian berkaitan bukan sahaja membantu Perdana Menteri memulihkan persepsi negatif antarabangsa tetapi juga bekerjasama di antara satu sama lain supaya kenyataan yang di­buat dan dasar yang dirangka ti­dak bercanggah di antara satu sama lain.

Ketika Dr. Mahathir melawat Jepun empat minggu lalu, beliau ada menyentuh mengenai ke­khuatiran penglibatan Malaysia dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). Tetapi sehingga ke hari ini masih belum ada keputusan muktamad dibuat ke­rana tarikh akhir ratifikasi perjanjian ini adalah Februari 2019 dan masa kelihatan agak suntuk kerana beberapa perundangan tempatan terpaksa digubal atau diubah sebelum Malaysia memuktamadkan perjanjian ini. Kelewatan membuat keputusan kritikal sebegini se­dikit sebanyak te­lah menyumba­ng persepsi negatif keadaan pengurusan eko­nomi Malaysia.

Begitu juga dengan pelantikan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah sedikit sebanyak telah memberi ruang kelegaan dalam hal pengurusan dasar luar negara yang dianggap sama penting de­ngan pengurusan ekonomi negara. Seperti mana pelabur asing membuat penilaian bersandarkan siapakah menteri berkaitan ekonomi dan kewangan begitu jua pemimpin negara asing membuat pengamatan dalam hal diplomasi dua negara bersandarkan siapakah yang menerajui Kementerian Luar.

Bukan sahaja Saifuddin akan berdepan dengan kuasa besar seperti AS dan China terutama sekali berkaitan tuntutan bertindih gugusan Kepulauan Spratly di Laut China Selatan, tetapi juga paling penting perlu berurusan dengan negara jiran dan sera­ntau. Malaysia walaupun dianggap sebagai sebuah negara kecil dari segi pengaruh antarabangsa, tetapi dalam hal geopolitik Asia Pasifik, mempunyai pengaruh yang agak besar. Setiap tindakan dan kenyataan Saifuddin selepas ini akan dinilai dengan teliti ke­rana mampu memberi persepsi arah tuju dasar luar Malaysia berkaitan hubungan dengan negara asing terutama kuasa besar.

Menarik juga jika diungkit semalam Parlimen Singapura telah membahaskan beberapa isu me­ngenai dasar luar Malaysia kerana hakikatnya pengamalan dasar akan pasti berbeza jika hendak dibandingkan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini. Menariknya dalam perbahasan terutama sekali dalam hal berkaitan status projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Perjanjian Air 1962, Menteri Luar Vivian Ba­lakrishnan menegaskan tiga asas utama hubungan di antara dua negara jiran ini.

Ketiga-tiga asas tersebut menurut Balakrishnan lagi ada kena me­ngena dengan keutuhan dan kepatuhan terhadap perjanjian antarabangsa yang telah dimeterai oleh kedua-dua negara bukan sahaja dalam kes HSR dan kadar air, tetapi juga merangkumi perkara lain.

Menariknya apabila beliau me­ngaitkan asas tersebut dengan Perjanjian Pemisahan 1965. Sebab itu dikatakan agak menarik untuk menanti bagaimana Malaysia berurusan dengan kuasa besar seperti AS dan China tetapi dijangkakan menjadi lebih menarik bagaimana Dr. Mahathir serta menteri Kabinet beliau berhadapan dengan negara jiran seperti Singapura.