‘Kebetulan’ pula ada pilihan raya kecil (PRK) maka dapatlah mereka bertemu dengan menteri-menteri yang sebelum ini dalam jadual mereka ‘kebetulan’ tidak ada lawatan ke Semenyih.

Hebat juga pegawai-pegawai menteri menyusun jadual kerana ‘kebetulan’ ia melibatkan ramai menteri dan paling menarik ‘kebetulan’ PRK akan berlangsung.

Mungkin selepas ini ‘jadual lawatan kebetulan’ ini berterusan di kawasan-kawasan lain pula tetapi perlu tunggulah adakah PRK ‘kebetulan’ perlu diadakan di kawasan itu

Oleh kerana semua menteri terlibat menyatakan ‘lawatan tiada kaitan PRK’, sudah lama dirancang dan ‘kebetulan’ sahaja maka barulah kita faham kenapa pentadbiran negara dilihat tidak stabil. Ia mungkin kerana semuanya berlaku secara ‘kebetulan’.

Ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mahu diadakan, ‘kebetulan’ kerajaan Barisan Nasional (BN) sedang berhadapan dengan pelbagai isu yang diputar belitkan dan ‘kebetulan’ rakyat yang dihimpit peningkatan kos sara hidup marah kepada kerajaan ketika itu.

Pada masa sama ‘kebetulan’ pakatan pembangkang ketika itu dianggap paling kuat pernah diwujudkan.

Maklumlah ‘kebetulan’ Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar UMNO dan menubuhkan Bersatu. Mereka kemudiannya bergabung dengan DAP kerana ‘kebetulan’ DAP sudah berpuluh-puluh tahun mencari tokoh dan sekutu berpengaruh untuk mencapai cita-cita berkuasa.

Walaupun sudah berkawan dengan PKR tetapi ‘kebetulan’ pemimpin utama yang diuar-uarkan sebagai bakal Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam penjara dan ‘kebetulan’ Dr. Mahathir muncul, maka bekas Perdana Menteri itu dipilih untuk mengetuai pembangkang.

Sepanjang kempen berlangsung, masihkah kita ingat, isu AES, tol, 1MDB, PTPTN ‘kebetulan’ menjadi bualan dan keluhan rakyat. Maka dalam keadaan ‘kebetulan’ pakatan pembangkang mencari modal, maka isu tersebut digunakan sepenuhnya.

‘Kebetulan’ ketika itu penjelasan Kerajaan BN sudah tidak diterima. ‘Kebetulan’ pula Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi sasaran berikutan dicanangkan jika Najib dijatuhkan, mata wang ringgit akan kembali mengukuh, negara tidak akan bankrap.

Malah semua derita rakyat akan berakhir kerana GST akan dihapuskan, SST akan menurunkan harga barang, hutang PTPTN akan dilupuskan, tol akan dimansuhkan manakala AES akan ‘dicabut’ di semua lebuh raya dan jalan raya.

Dalam keadaan rakyat semakin resah, ‘kebetulan’ Pakatan Harapan membentangkan manifesto mereka, maka ‘kebetulan’ gelombang perubahan sudah ada dalam fikiran rakyat maka berakhirlah pemerintahan BN dalam PRU-14.

Tetapi apabila sudah menjadi kerajaan, mungkin ‘kebetulan’ juga negara sudah tidak lagi bankrap manakala beberapa janji tidak dapat ditunaikan kerana ‘kebetulan’ pula AES rupanya menepati maqasid syariah.

‘Kebetulan’ prinsip hutang perlu dibayar dipertahankan, tol tidak dapat dihapuskan kerana ‘kebetulan’ hutang negara mencecah trilion ringgit, maka musnah impian rakyat yang termakan janji-janji ‘kebetulan’ itu.

Bahana ‘kebetulan’ ini juga memungkinkan kerajaan memiliki barisan Kabinet tidak berpengalaman, maklumlah ‘kebetulan’ sahaja mereka ditakdirkan menang PRU-14.

‘Kebetulan’ pula masing-masing ada kelulusan hebat-hebat belaka tetapi akhirnya diketahui ‘kebetulan’ nama institusi pengajian tinggi mereka sama dengan institusi pengajian berprestij, tetapi tidak mengapa kerana kata kawan-kawan, mereka bukan merogol atau mencuri.

Begitulah juga apabila nama Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ada dalam senarai Majlis Tindakan Ekonomi (MTE), walaupun beliau adalah Presiden PKR dan bekas Menteri Kewangan.

Mungkin ‘kebetulan’ Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi maka Timbalan Presiden PKR itu dipilih, biarpun di dalam majlis itu bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz dilantik.

Beginilah keadaan ‘Malaysia Baharu’ yang semuanya berlaku secara kebetulan. Justeru kita tidak payah pening-pening kepala dalam isu lawatan menteri-menteri ke Semenyih, terima sahaja alasan ‘kebetulan’ itu.

Ini kerana mereka mempunyai firasat, kawasan mana paling tepat untuk dilawati bersesuaian dengan perkembangan politik biarpun hakikatnya banyak lagi kawasan lain yang boleh dimasukkan di bawah kategori ‘kebetulan’.

Sebab itulah, penulis tidak terkejut dengan kemasukan enam bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu, hendak buat macam mana ‘kebetulan’ prinsip perjuangan mereka sama dengan Dr. Mahathir iaitu demi memperkuatkan Melayu dan bumiputera.

Kesimpulannya, selepas ini tidak perlu kita terkejut jika apa-apa dilakukan oleh kerajaan kerana sebagai sebuah kerajaan yang dibentuk secara ‘kebetulan’, segala-galanya berkemungkinan.