Tetapi sekarang kerusi yang sepatutnya menjanjikan kemenangan selesa kepada BN tiba-tiba bertukar menjadi kawasan panas dan mungkin boleh jatuh ke tangan pembangkang terutama Parti Warisan Sabah (Warisan) yang kini aktif berkempen di situ.

Khabar angin bertiup kencang mengatakan ada pere­butan tiga penjuru di situ. Bukan antara BN, pembangkang atau pun parti bebas sebaliknya antara tiga pe­mim­pin UMNO yang tidak perlulah dimaklumkan di sini.

Dalam kunjungan ke Kampung Likas baru-baru ini, penulis bertemu dengan pengundi-pengundi di situ untuk bertanya kebenaran dakwaan tersebut dan rata-rata me­ngakui kewujudan tiga kem UMNO di situ.

Satu cerita mengatakan ada calon dari luar kawasan akan bertanding di situ. Ada pula yang bercakap bahawa pemimpin tempatan di situ yang baru-baru ini mendapat jawatan kanan dalam bahagian pun mahu bertanding. Dan tidak kurang pula cerita kononnya pemimpin sedia ada akan gunakan ‘perahu pembangkang’ jika tidak dicalonkan.

“Kami tidak tahu kenapa perkara itu berlaku di sini. Tiga pemimpin ini masing-masing anjur program berlainan bukannya bersatu hati dan bekerjasama seperti sebelum ini.

“Lain pula ceritanya Warisan yang semakin bergiat aktif sehingga banyak juga pengundi yang terpengaruh, malah ceramah mereka di sini mendapat sambutan daripada penduduk,” kata salah seorang pemimpin parti di peringkat cawangan ketika ditemui.

Penulis dikhabarkan pemimpin terbabit bekerja keras selama beberapa tahun ini untuk mengenali pengundi-pengundi di situ dan cuba menyelesaikan masalah mereka. Tetapi disebabkan ada pemimpin lain yang kononnya bakal menjadi calon, dia pula merajuk mahu beralih arah manakala seorang lagi ‘tak pasti sasarannya’.

Khabarnya Warisan sampai sekarang masih belum ada calon yang berkaliber untuk bertanding di Parlimen Sepanggar, namun mereka yakin untuk menang jika berjaya mempengaruhi seorang pemimpin BN terbabit untuk menyertai parti berkenaan.

Amat menyedihkan jika semua dakwaan ini benar. Ketika PRU-14 yang dilabel sebagai bapa kepada segala pilihan raya amat genting untuk dimenangi BN demi survival parti dan pemerintahan negara, di kawasan Sepanggar lain pula ceritanya.

Di mana semangat slogan Bersatu Teguh, Bercerai Roboh, Hidup BN, Tatap BN yang sentiasa dilaung-laungkan pemimpin parti dalam apa sahaja program politik jika hakikatnya sesama mereka bercakaran untuk mendapat jawatan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pun sentiasa menyeru supaya solidariti parti diutamakan melebihi kepentingan peribadi. Namun jika unsur-unsur negatif seperti perebutan jawatan ini masih berlarutan, bukan sahaja satu kerusi malah pentadbiran di Putrajaya pun boleh bertukar kepada pembangkang.

Di peringkat UMNO negeri, pengerusi perhubungannya, Tan Sri Musa Aman yang juga Ketua Menteri perlu bijak menyelesaikan masalah itu. Sentimen pemilihan calon sepatutnya bukan diletakkan kepada siapa bakal calon itu tetapi menilai apa kehendak pengundi, siapa yang akan diundi di situ.

Keutamaan sekarang ialah menang PRU-14 untuk kekal memerintah, maka calon mesti menang kalau kalah, tiada gunanya. Jangan sampai calon yang boleh menang tiba-tiba sahaja menjadi musuh manakala calon yang dipertandingkan walaupun hebat, akhirnya kalah.

Sebagai pemimpin yang berpengalaman dan bijaksana, Musa pasti mempunyai formula untuk mengatasi masalah itu yang akhirnya semua pihak akan merasakan kemenangan, bukannya kekecewaan disebabkan kesilapan sendiri.

Kepada para pemimpin di Sepanggar pula, mereka sepatutnya berjiwa besar. Soal penentuan siapa calon terletak sepenuhnya di tangan pucuk pimpinan.