Ketika diwawancara wartawan Mingguan Malaysia, ABD. AZIZ ITAR dan AMIZUL TUNI ZAR AH MAD TER MIZI bersama jurufoto AZRUL EDHA M MOH D. AMINU DDIN , di Wisma NUTP , Kuala Lumpur, Huat Hock memberitahu guru kini menghadapi masalah untuk mendisiplinkan pelajar kerana hampir semua bentuk hukuman yang boleh memberikan pengajaran dilarang.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Pendidikan mengeluarkan garis panduan yang jelas tentang bentuk hukuman yang boleh dilakukan untuk mendisiplinkan pelajar bermasalah.

Dalam pertemuan kira-kira 40 minit itu, Huat Hock turut memberikan pandangannya berhubung kes Cikgu Azizan, pemansuhan pengasingan kelas berdasarkan penguasaan akademik dan kod etika kepada ibu bapa dan penjaga.

MINGGUAN:Tidak semua masyarakat boleh menerima tindakan Cikgu Azizan yang didakwa memukul muridnya baru-baru ini. Kenapa NUTP menyokong Cikgu Azizan?

HUAT HOCK: Saya hendak nyatakan bahawa NUTP tidak akan menyokong mana-mana guru yang didakwa atas kesalahan jenayah. Dalam kes Cikgu Azizan pada mulanya kita tidak campur tangan walaupun beliau ada menghubungi kami.

Kami kata hanya boleh beri khidmat guaman. Kami minta beliau beri kronologi kes. Apabila kami kaji kes itu, kami rasa terpanggil untuk lihat lebih jauh. Apabila melihat ramai guru, kawan-kawan dan penduduk kampung Cikgu Azizan telah memberi sokongan kepada beliau, saya kata mahu berjumpa mereka di pejabat NUTP cawangan Negeri Sembilan. Kebetulan kami di NUTP ada ahli-ahli jawatankuasa sendiri dan saya arahkan mereka pergi ke sana. Selepas mereka mengadakan solat hajat, kami adakan perjumpaan.

Antara orang pertama yang pegang mikrofon adalah imam di kampung itu. Dia mohon agar NUTP bantu Cikgu Azizan. Imam itu banyak bercerita tentang perangai budak-budak di situ yang katanya teruk. Katanya banyak duit tabung masjid yang hilang, malah ada yang masuk masjid pakai kasut.

Saya dengar pun terkejut. Selain itu ramai juga ibu bapa yang hadir berebut-rebut mahu bercakap mengadu tentang anak-anak muda di kampung itu yang terbabit dalam pelbagai masalah seperti ketagih menghidu gam. Ada juga yang kena peras ugut. Selepas itu cikgu-cikgu pula tampil mengadu dan menceritakan pengalaman mereka di situ. Sedangkan budak-budak yang terlibat itu pula masih berada di sekolah rendah.

Dalam kes Cikgu Azizan saya tidak mahu mengatakan sama ada beliau betul ataupun tidak. Ekoran kes ini, persoalannya kenapa ramai guru menyokong Cikgu Azizan? Sebabnya di sekolah mereka memang menghadapi masalah disiplin pelajar.

Kenapa perlu sampai menumbuk murid? Tidak adakah kaedah lain untuk mendisiplinkan murid yang bermasalah?

HUAT HOCK: Kalau ada pun hukuman rotan tetapi kaedahnya tangan mesti dikepit di ketiak. Merotan tanpa mengeluarkan ‘angin’. Rotan sikit sahaja. Kami juga dilarang banyak perkara seperti tidak boleh menghukum murid dengan menyuruh mereka berdiri, cakap kuat tidak boleh, malah untuk berleter pun tidak boleh.

Bayangkan suruh berdiri di sudut bilik darjah kerana murid tidak buat kerja rumah pun tidak boleh. Berleter tidak boleh? Kita biasa kena leter dengan emak di rumah kerana tidak buat kerja sekolah, tetapi takkanlah sebab itu kita mahu heret dan dakwanya di mahkamah?

NUTP tidak akan membantu cikgu yang mendera murid sampai berdarah atau patah tulang. Itu memang seriuslah. Kalau itu berlaku buat laporan polis.

Kalau murid tidak buat kerja sekolah, apa yang cikgu boleh buat? Berleter? Buat kerja sekolah lebih? Ataupun panggil ibu bapa murid datang ke sekolah? Panggil murid itu dan berinya nasihat sampai tiga kali?

Tetapi akhirnya murid jadi tidak takut dan akan mengulangi kesalahan mereka. Sebab itu apabila ada persatuan bekas tentera mahu membantu dalam kes Cikgu Azizan itu saya suka kerana apa yang utama dalam tentera adalah soal disiplin.

Kenapa tidak digunakan sahaja kuasa untuk menggantung atau membuang pelajar yang melanggar disiplin. Adakah pihak sekolah ada masalah untuk melaksanakan hukuman itu?

HUAT HOCK: Ada masalah juga. Katakan ada murid yang ditangkap kerana terbabit dalam kes buli yang berulang kali. Kali pertama akan buat siasatan, kali kedua akan panggil ibu bapa bagi amaran dan akhirnya boleh dibuang sekolah.

Tetapi murid atau ibu bapa terbabit boleh membuat rayuan dengan memberi pelbagai alasan seperti hidup susah atau rumah jauh dari sekolah. Akhirnya rayuan murid itu diterima dan dia dimasukkan semula ke sekolah lamanya. Murid itu akan cakap tengok, apa yang cikgu boleh buat?

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Amin Senin mengatakan bahawa Surat Pekeliling Bil 8/1983 yang menyatakan bentuk hukuman yang dilarang ke atas pelajar masih relevan sehingga hari ini. Apa pandangan saudara?

HUAT HOCK: Kita mesti sentiasa dinamik. Kita tidak boleh kata surat pekeliling yang dikeluarkan pada 1983 itu masih relevan sampai hari ini. Betul, surat itu masih relevan, tetapi ia menyatakan secara umum sahaja. Para guru perlu diberitahu apa yang boleh mereka lakukan secara terperinci dalam menjalankan tindakan disiplin ke atas pelajar. Masalahnya tiada garis panduan yang disediakan secara terperinci untuk guru.

Masalahnya sekarang, apa yang guru boleh buat? Kalau kamu tengok senarai bentuk hukuman yang dilarang, kamu rasa apa yang guru boleh buat untuk mendisiplinkan pelajar? Macam pelajar menghidu gam, guru tahu itu adalah satu masalah disiplin di sekolah tetapi tidak ada peruntukan undang-undang yang mengatakan hidu gam itu salah.

Kita hendak uruskan tetapi mana perlindungannya? Nanti ada ibu bapa datang mempersoalkan siapa kata hidu gam itu salah? Apa guru hendak jawab? Sudah tentu belum pergi mahkamah dah kalah.

Baru-baru ini Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim mencadangkan supaya hukuman buang sekolah dimansuhkan. Kenapa NUTP menentang cadangan itu?

HUAT HOCK: Kita kena melihat secara holistik dan fikirkan kepentingan majoriti. Kita tidak mahu orang yang tidak boleh kita jaga dan bantu, menjadi perosak. Kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Kalau dia selalu ponteng, kita kena keluarkan dia daripada sistem kita. Kerana apabila dia tidak hadir peperiksaan, pada masa itulah kita akan hadapi masalah. Nanti, sekolah tidak akan dapat pencapaian 100 peratus.

Bukankah sekolah sepatutnya menjadi tempat untuk mendidik pelajar? Apakah guru tidak mempunyai kemampuan untuk mendidik pelajar bermasalah ini?

HUAT HOCK: Dalam kes ini bagi saya mana-mana pelajar yang bermasalah mestilah diuruskan oleh Kementerian Pendidikan tetapi kalau pelajar itu dibuang sekolah mestilah ada orang lain yang ‘sambut’ atau uruskan.

Ini kerana, kuasa pihak sekolah setakat di pintu pagar sekolah sahaja. Murid yang bermasalah kena dikeluarkan daripada sistem dan apabila seseorang murid itu di luar sekolah, pada masa itu siapa punya tanggungjawab?

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ada pusat pemulihan akhlak seperti Asrama Akhlak, Sekolah Tunas Bakti dan Taman Seri Puteri. Mereka boleh siasat dan bantu tetapi mungkin kerana peruntukan yang kecil, di situ ada masalah. Jadi di sini seperti ada adegan ‘ tolak menolak’ berlaku.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pernah mencadangkan agar diwujudkan jawatankuasa yang dipimpin oleh Timbalan Perdana Menteri bagi menguruskan masalah gejala-gejala sosial yang berlaku dalam kalangan remaja. Ini kerana, apabila mereka besar nanti akan wujud masalah sosial yang lebih besar dalam masyarakat.

Dalam isu ini kita perlu faham bahawa cikgu bukanlah penguat kuasa macam polis dan sebagainya. Kami adalah pendidik. Biasanya sebelum guru bertindak mereka akan beri banyak peluang.

Sebahagian anggota masyarakat mencadangkan supaya pelajar bermasalah diasingkan dan diletakkan dalam kelas berasingan. Apa komen saudara?

HUAT HOCK: Saya tidak mahu komen tentang cadangan itu kerana kita perlu lihat daripada sudut psikologi dan mendapatkan pandangan daripada pegawai yang ada kepakaran dalam bidang itu. Kalau ada cadangan kita dengar dan buat kajian mendalam. Kita boleh cuba laksanakan dan kalau tidak sesuai, kita kaji semula.

NUTP ada mencadangkan kod etika ibu bapa dan penjaga. Mungkin saudara boleh jelaskan sedikit?

HUAT HOCK: Kita sudah buat draf kod etika yang mengandungi 14 garis panduan dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa dan penjaga semasa berada di sekolah. Ia demi menjaga keharmonian dalam kalangan ibu bapa, guru dan pelajar.

Antaranya, ibu bapa dan penjaga perlu merujuk kepada pengetua atau guru besar terlebih dahulu sekiranya mempunyai masalah dengan guru berkaitan anak mereka. Mereka juga dilarang membawa masuk topi keledar dan benda-benda yang boleh mendatangkan mudarat atas dasar keselamatan.

Sebab sebelum ini ada satu kes, seorang bapa masuk ke dalam sekolah dan memukul seorang guru dengan topi keledar sehingga pengsan. Kes itu dibawa ke mahkamah kerana desakan daripada guru-guru tetapi kita tidak hebohkan.

Dari dahulu sampai sekarang, ada banyak kes bapa atau penjaga memukul guru di sekolah tetapi kita tidak ada statistik sebab biasanya kita tidak ambil kes itu.

Bila NUTP bercadang untuk membentangkan cadangan kod etika itu kepada Kementerian Pendidikan?

HUAT HOCK: Kita sudah menghantar surat kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk mengadakan pertemuan dalam masa terdekat. Pada masa sama, pada 9 Januari ini kita akan adakan pertemuan antara pihak-pihak yang ingin memberikan input untuk penambah baikan kod etika itu.

Antara yang dijangka hadir ialah peguam daripada Friends For Life (LFF), Kesatuan Guru Sarawak (STU) dan Tan Sri Lee Lam Thye.

Kementerian Pendidikan mengarahkan pengasingan murid berdasarkan tahap penguasaan akademik dimansuhkan sepenuhnya bermula 2019. Apa pandangan saudara?

HUAT HOCK: Sebagai pendidik, kita mesti berpegang teguh kepada falsafah pendemokrasian pendidikan. Maksudnya semua orang sama. Jangan kita hendak memisahkan pelajar berdasarkan pencapaian akademik.

Kita faham sesetengah sekolah mempunyai bilangan pelajar yang ramai, persekolahan dua sesi, kelas besar dan sebagainya. Tapi kalau boleh seperti dicadangkan oleh Presiden NUTP, Kamarozaman Abd. Razak, dua orang cikgu dalam satu kelas.

Bagi saya, pendekatan yang terbaik ialah seorang guru bagi setiap pelajar. Kita kembali ke zaman Aristotle. Tetapi kita tidak mampu kerana ia melibatkan bajet yang tinggi.

Jadi, daripada mengasingkan pelajar mengikut pencapaian akademik, apa yang lebih penting ialah guru mesti menjaga face time atau masa dengan pelajar.

Kalau buat pengasingan, pelajar elit (pandai) di dalam kelas A. Bagaimana dengan kelas yang hujung? Kelas tidak ada harapanlah.

Mungkin cikgu tak cakap begitu tetapi dalam pandangan semua masyarakat, pelajar dalam kelas itu tidak ada harapan langsunglah. Kita tidak mahu keadaan itu berlaku.

Kita kena faham dalam masyarakat, perdana menteri pun kena bergaul dengan penarik beca, baru jadi holistik. Kalau sejak di sekolah pelajar elit hanya bergaul sesama mereka, ini adalah satu mesej yang tidak baik kepada pelajar.

Kalau ramai pelajar pandai dari satu kaum diletakkan dalam satu kelas berasingan, kita bimbang pengasingan pelajar ini menjadi pengasingan kaum pula.

Bukankah pengasingan pelajar berdasarkan pencapaian akademik akan memudahkan guru untuk mengajar pelajar yang lemah?

HUAT HOCK: Saya setuju kalau itu melibatkan kelas besar (ramai pelajar). Tapi kalau kelas kecil seperti di Malaysia, cara itu tidak sesuai. Ketua Pengarah Pelajaran sendiri menyatakan daripada 10,000 buah sekolah yang ada, lebih kurang 2,000 buah sekolah adalah sekolah kurang murid.

Di sekolah kurang murid, adakah kamu lihat ada masalah pelajar pandai dan kurang pandai bersama dalam satu kelas? Tidak ada. Begitu juga apabila guru mengajar tuisyen, masalah itu tidak timbul.

Jadi, masalahnya ialah sebab kelas itu besar dan bukan cikgu ada masalah mengajar. Tapi kalau kelas kecil, cikgu ada masa dengan pelajar.

Sekarang kita tidak ada masa bersama pelajar sebab guru terpaksa buat kerja lain seperti Kursus i-THINK Luar Talian (KiLT) dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) gelombang kedua. Saya beri satu contoh lain, dalam pentaksiran berasaskan sekolah, guru Pendidikan Jasmani ada banyak benda kena taksir.

Ini seperti pelajar boleh tendang bola, tendang serong dan tendang tepi dalam permainan bola sepak. Dia juga kena taksir banyak permainan sukan lain.

Sebelum ini, guru Pendidikan Jasmani berada di atas padang untuk ajar pelajar main bola sepak. Tetapi sekarang, guru perlu merekodkan kemampuan setiap pelajar dalam permainan sukan.

Pendidikan Jasmani yang sepatutnya menjadi program untuk pelajar berseronok, ditukar kepada sistem pentaksiran. Sebab apa? Kerana kita kena isi petunjuk prestasi utama (KPI). Tak kenalah.