PAK SAKO dan Kemala.

Ini akan saya ajukan kepada editor Usman Awang. Cerita pendek dipilih oleh Abdullah Hussain, itupun nanti akan sampai ke meja editor, siap dengan komentar. Tiba-tiba saya lihat tampang Pak Sako, segak dalam baju batik yang cantik masuk ke ruang sidang pengarang bersama jurufoto Dewan Sheikh Omar Basree. Tampang karismatik itu membelah ruang. Dan Pak Sako berdiri di hadapan saya.

“Kemala, apa asal mulanya Ronggeng?” Pak Sako bertanya tiba-tiba. Wah nampaknya pengarang Putera Gunung Tahan menguji saya. Kawan-kawan dalam ruang sidang pengarang itu, Cikgu Abdul Hamid, Cikgu Maaruf Mahmud, Wijaya Mala, Dharmawijaya mula mengigal mentertawakan saya.
“Wah, aku terperangkap pagi ini...” bisik hati saya.
“Duh Ronggeng?”

Tidak ada siapa pun mahu membantu. Saya tahu Pak Sako pengarang Putera Gunung Tahan ini, memang pakar Ronggeng, di Singapura, di Kuala Lumpur mungkin di Kota Bharu. Saya masih ingat Pak Sako naik pentas Ronggeng waktu malam pernikahan saya dengan isteri saya, Pon Mariam di Rumah Penghulu Ulu Langat. Pak Sako diundang oleh bapa mentua saya, Raja Haji Ahmad Shamsu Shah. Rumahnya hanya sepelaung di seberang jalan, di Batu 14 Ulu Langat. Selepas Maghrib pentas Ronggeng dilimpahi cahaya lampu-lampu terang berkemilau. Pak Sako memang pintar beronggeng.

“Heh, takkan itu pun tak boleh dijawab. Asal mula Ronggeng?” Ketawa kawan-kawan tidak membantu juga. Mereka juga sama seperti saya tak dapat menjawabnya. Cikgu Maaruf pengarang novel kanak-kanak, Cikgu Abdul Hamid dan Dharmawijaya ikut tersengih.

“Jawab, Kemala, jawab, jangan tak jawab!”
“Kau nak jadi penyajak seperti Tongkat, ini Ronggeng Melayu kau mesti tahu!” katanya lagi.
“Saya angkat tangan!” kata saya. “Memang saya pandai pantun, pandai menulis sajak. Bab Ronggeng ini, pakar Ronggenglah mesti menjawabnya!” sambung saya. Ruangan itu melimpah dengan ketawa. Pak Sheikh Omar Basree juga terkekeh-kekeh. Dia tidak lupa memetik punat kameranya.
Akhirnya berjaya jugalah saya mengangkat bendera putih. Fikiran saya masih melekat pada sajak Maya Latiff Mohidin.

“Macam mana kau nak jadi editor Dewan Sastera, kalau Ronggeng pun tak tahu. Ini budaya kita budaya nenek moyang kita!”
“Betul Pak!” 
Menurut Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako, Ronggeng itu berasal daripada dua kata yang sudah dimelayukan. Pecahan dua kata Wrong dan Geng bergabung menjadi satu.

“Dalam ronggeng bukankah kita boleh pangkah memangkah?”

Menurutnya apabila ada yang berkenan dengan partner atau teman masing-masing, bolehlah memintas. Mesti ada sikap gentleman. Jangan ambil hati jika orang di sebelah atau yang di bawah melompat naik berkenan dengan teman ronggeng kita itu. Yang tidak budiman dan haloba nak menari sampai mati dengan seorang penari pujaannya itu sahaja, tak tahu alif, ba, ta Ronggeng.

Tiada etika dan gelojoh. Yang tidak sabar akan menyebabkan bergaduh dan bertumbuk apa lagi kalau sudah mabuk.

Ruangan itu pecah berderai dengan teori Pak Sako. Mungkin juga benar Ronggeng atau Wrong Geng berasal daripada senda gurau kelasi-kelasi yang mendarat dan mencari hiburan. Dan Pak Sako sebagai pengarang yang versatil mengikut kerenah mereka. Dia versatil dengan caranya yang spontan. Dia tidak memandu, tetapi suka meloncat naik bas. Biasanya dia tak membayar tiket bas. Konduktor dan pemandu bas sudah biasa dengan watak karismatik ini.

Dia pengabdi dan cintakan rakyat jelata. Dia tinggalkan jawatan Majistretnya selepas bertahun-tahun bekerja di bawah Tuan Inggerisnya. Dia tidak sampai hati mendenda orang kampung kerana kesalahan tidak membayar cukai tanah dan lain-lain. Kepada anak-anak muda terutamanya calon-calon penulis senda guraunya tentang pantun dan ulaman kampung selalu membertihkan gelak ketawa. Dia menyulam pesan agar jangan diremehkan makanan orang kampung ini baik di sisi kesihatan.

Pengarang Putera Gunung Tahan ini meninggal da­lam usia 82 tahun (dia lahir di Kampong Bukit Sigun­tang, Temerloh Pahang pada September 1909). Putera Gunung Tahan maha karya Ishak Haji Muhammad dengan semangat nasionalisme yang disisipkan dalam gaya naratif dipengaruhi hikayat. Dia kaya dengan imaginasi. Sindirannya pedas dan tajam terhadap Mr. William watak yang mewakili kolonialis Inggeris. Katanya dengan tegas selepas menyindir Mr. William:

“Saya tidak sekali-kali akan membenarkan dan menjualkan tanah air saya yang secebis ini, walaupun dibayar dengan harga setinggi-tinggi gunung ini atau diberikan gelaran yang panjang-panjang dan dianugerahkan oleh kerajaan tuan bintang kebesaran berpuluh-puluh butir.” (Putera Gunung Tahan, 59).

Beliau juga lebih awal menggunakan diksi-diksi yang saintifik dengan menggunakan flora dan fauna seperti burung pesuruhjaya, akar beringin yang membawa implikasi alat-alat teknologi yang hadir sekarang seperti televisyen, kapal terbang, telefon dan sebagainya. Dia merakamkan imaginasi daripada kekuatan daya fikir seorang pengarang yang berakar kepada cintanya kepada agama, bangsa dan tanah airnya. Pak Sako memberikan pengorbanan yang sejati. Inilah keyakinannya.

Dia dianggap sebagai jambatan antara tradisi dan moden, namun Pute­ra Gunung Tahan masih terserlah sebagai novel Melayu yang utuh. Boleh­lah dianggap ada unsur neomagisme dan neosurealisme yang menawan. Pada hemat saya sebagai sebuah novel yang berhasil melayakkan Ishak Haji Muhammad diangkat sebagai Sasterawan Negara yang pertama.

Namun, mungkin kerana platform politiknya yang kekirian itu maka dia disisihkan. Universiti Malaya memberikan Anugerah Doktor Honoris Causa kepadanya pada 20 Jun 1973 sebagai menghargai perjuangannya sebagai politikus dan pengarang dan wartawan. Selain anugerah tadi, Ishak Haji Muhammad turut memenangi Anugerah Pejuang Sastera pada 1976 daripada Tun Hussien Onn.

Yang anehnya, selang dua minggu selepas menerima anugerah ini beliau diamankan oleh Kerajaan dengan beberapa pemimpin kiri yang lain.

Selepas dibebaskan Ishak Haji Muhammad menjadi Penulis Tamu di akhbar Utusan Melayu. Dia dihargai dengan diberikan Anugerah Tokoh Kewartawanan Negara pada 1995. Pak Sako menulis untuk kolumnya dan juga ruangan pojoknya Pak Pandir Modern. Saya pernah dijadikannya bahan untuk pojoknya ini. Hah, ada-ada saja Pak Sako memang dia perspektif dekat dan akrab dengan saya.

Bagaimana mahu saya melupakan candanya “Kemala, apa asal mulanya Ronggeng?”