Mahkamah Persekutuan berpuas hati bahawa Mohd. Saiful Bukhari merupakan saksi yang berwibawa kerana tidak mungkin dia mampu menceritakan kejadian diliwat oleh Anwar secara terperinci jika tidak melaluinya secara peribadi.

Bekas pembantu peribadi Anwar tersebut memberitahu Mahkamah Tinggi berhubung kejadian liwat yang pernah berlaku sebelum itu dan alasan dia membawa jel pelincir ‘KY Jelly’ kerana kesakitan yang dialaminya.

Orang muda seperti Mohd. Saiful Bukhari memerlukan keberanian yang tinggi untuk membuat aduan yang boleh merendah-rendahkan seorang ahli politik yang dikenali ramai seperti Anwar.

Dengan mengetahui bahawa aduan sedemikian boleh mencemarkan dirinya, mahkamah tidak boleh menidakkan kesan negatif jangka panjang yang boleh dialami oleh mangsa dan keluarganya jika dakwaan itu terbukti benar.

Tindakan Mohd. Saiful Bukhari yang mengambil masa untuk membuat laporan polis adalah munasabah selepas mengambil kira umurnya serta hubungan dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Tindakan bekas pembantu peribadi Anwar itu tampil memberi keterangan bahawa dia diliwat akan menyebabkan dia dan keluarganya diejek dan dicemuh.

Jadi, tiada alasan Mohd. Saiful Bukhari membuat dakwaan palsu terhadap Ketua Pembangkang itu kerana tanda keaiban yang ditanggung olehnya kekal seumur hidup.

Mahkamah Persekutuan tiada alasan untuk tidak bersetuju dengan dapatan Mahkamah Rayuan kerana wujud bukti keterangan yang mencukupi bahawa mangsa diliwat oleh Anwar.

Keterangan itu termasuk rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan masa ketibaan dan waktu kedua-duanya beredar dari kondominium tersebut.

Dua doktor yang menemu bual Mohd. Saiful Bukhari ketika menyiapkan laporan perubatannya mengesahkan bahawa mangsa memberitahu dia diliwat oleh orang kenamaan untuk tempoh dua bulan sebelumnya dan kejadian terakhir berlaku pada tarikh yang disebut dalam tuduhan.

Selain itu, profil asid deoksiribonukleik (DNA) ‘Lelaki Y’ yang dijumpai dalam dubur mangsa sepadan dengan profil DNA Anwar yang diambil daripada tiga barang kes iaitu tuala Good Morning, berus gigi dan botol plastik mengandungi air mineral.

Ketiga-tiga barang itu yang dirampas sewaktu dia ditahan dalam lokap polis tidak melanggar haknya dari segi Perlembagaan kerana penahanannya adalah sah di sisi undang-undang.

DNA sebagai bukti sokongan

Ahli kimia, Dr. Seah Lay Hong menyatakan berdasarkan logik akal, sekiranya sperma ditemukan di dalam bahagian dubur, maka semestinya tusukan telah berlaku. Bukti ini menyokong dakwaan Mohd. Saiful Bukhari bahawa dia telah diliwat oleh perayu.

Menurut doktor-doktor yang membuat pemeriksaan ke atas Mohd. Saiful Bukhari, Dr. Mohd. Razali Ibrahim, Dr. Siew Sheue Feng dan Dr. Khairul Nizam Hassan, ketiadaan kesan luka boleh disebabkan jeda masa dari hari kejadian kepada hari mangsa menemui doktor, tiada paksaan dan penggunaan pelincir. Penjelasan tersebut, menurut pandangan hakim adalah masuk akal dan mahkamah menerimanya.

Degradasi sampel

Perayu dalam pembelaannya membangkitkan, berdasarkan keterangan saksi pembelaan keempat, Dr. Brian Leslie McDonald, bahawa adalah mustahil sampel calitan putik kapas berada di dalam keadaan yang `bersih’ selepas 96 jam dan menunjukkan kemungkinan sampel-sampel tersebut telah dikacau ganggu. Perayu juga mengkritik cara sampel-sampel terbabit disimpan oleh pegawai penyiasat.

Lay Hong pula sewaktu sesi soal balas menyatakan terdapat kesan degradasi pada sampel-sampel terbabit tetapi menegaskan bahawa apa yang penting ialah sama ada sampel terbabit masih boleh memberikan profil DNA walaupun telah berlaku degradasi.

Saksi pendakwaan keenam, Nor Aidora Saedon ketika memberi keterangan menyatakan tiada sebarang pencemaran berlaku pada sampel-sampel terbabit kerana semua profil boleh dibaca dan kesemua jaminan kualiti berada dalam keadaan teratur.

Berdasarkan keterangan tersebut, mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa adalah salah dan mengelirukan untuk merumuskan bahawa disebabkan degradasi, mahkamah tidak boleh bergantung kepada profil DNA. Oleh itu, adalah dapatan mahkamah bahawa degradasi tidak memberikan sebarang kesan ke atas profil DNA dalam kes ini.

Perayu menyatakan sampel-sampel telah dikacau ganggu kerana rantaian bukti telah putus dan bukti DNA terbabit telah diletakkan dengan sengaja.

Nor Aidora pula dalam keterangannya mengesahkan bahawa beliau tidak menemui sebarang tanda-tanda meterai sampel dikacau ganggu.

Oleh itu, adalah dapatan mahkamah, tidak berlakunya putus rantaian bukti dan turut bersetuju dengan dapatan Mahkamah Rayuan bahawa integriti sampel terbabit tidak digugat.

Disebabkan, rantai bukti tidak putus maka, cadangan pembelaan bahawa DNA tersebut telah sengaja diletakkan tidak boleh diterima pakai.

Kehadiran Alel 18

Kehadiran Alel 18 pada sampel calitan bahagian bawah rektal dan tuala Good Morning tidak memberikan sebarang kesan terhadap dapatan Nor Aidora bahawa DNA yang ditemui pada barangan yang ditemukan di dalam lokap berpadanan dengan DNA yang ditemui pada sampel calitan di bahagian perianal dan bahagian atas salur dubur.

Padanan DNA itu menunjukkan bahawa DNA yang ditemukan pada kesemua bukti tersebut berpunca daripada sumber yang sama iaitu Lelaki Y. Berdasarkan bukti-bukti yang telah dikemukakan, telah dibuktikan bahawa Lelaki Y ialah perayu.

Sewaktu sesi soal balas, pihak pembelaan tidak menyangkal bahawa dunia forensik telah mencadangkan satu jumlah yang minimum dalam membuat padanan iaitu enam loci walaupun keterangan saksi pakar perayu berpihak kepadanya. Bukti yang dikemukakan dan dijelaskan oleh Lay Hong tidak dicabar.

Mengambil kira bukti-bukti lain, adalah tidak dipertikaikan bahawa sampel yang telah dianalisis oleh Nor Aidora berpunca daripada barangan yang hanya digunakan oleh perayu. Oleh itu adalah tidak dinafikan bahawa profil Lelaki Y yang ditemukan dan dianalisis oleh kedua-dua pakar kimia adalah milik perayu dan bukannya orang lain.

Melihat keseluruhan bukti dan mengambil kira fakta-fakta, mahkamah tanpa rasa sangsi mendapati perayu gagal mencabar kredibiliti Lay Hong dan Nor Aidora.

Berdasarkan kenyataan tersebut, Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan dapatan Mahkamah Rayuan bahawa hakim yang mendengar perbicaraan ini telah membuat penilaian yang terperinci ke atas semua bukti yang dikemukakan kepadanya sebelum membuat keputusan bahawa wujud prima facie dalam kes ini pada akhir kes pendakwaan.

Konspirasi politik

Mengenai isu konspirasi politik, telah dihujahkan bahawa sebelum laporan polis dibuat, Mohd. Saiful Bukhari telah bertemu dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, termasuk musuh-musuh kepada perayu. Perkara ini dikatakan tidak dikendalikan oleh Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Rayuan.

Aduan daripada perayu adalah kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan tidak mempertimbangkan pembelaan konspirasi politik tersebut.

Mahkamah Persekutuan menerima langkah kedua-dua mahkamah itu yang tidak secara jelas mempertimbangkan pembelaan konspirasi politik yang dikemukakan perayu dan keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh.

Dalam undang-undang, seorang hakim bicara tidak akan memberi banyak pertimbangan kepada apa yang perayu katakan dalam keterangan tidak bersumpah kerana perayu tidak tertakluk kepada soal balas oleh pendakwa raya atau boleh disoal oleh hakim bicara.

Mahkamah Rayuan selepas membincangkan hukum mengenai keterangan yang dibuat dari kandang tertuduh, bersetuju dengan hakim bicara bahawa kenyataan perayu dari kandang tertuduh hanya sekadar penafian.

Mahkamah Persekutuan berpegang bahawa Mahkamah Rayuan telah mengambil prinsip yang betul dalam menilai rayuan perayu dari kandang tertuduh. Mahkamah Persekutuan juga tidak menemui sebarang merit dalam aduan perayu bahawa Mahkamah Rayuan telah tersalah arah dalam membuat ulasan buruk terhadap keputusan perayu memberi kenyataan tanpa bersumpah.

Walaupun memang benar, Anwar mempunyai hak untuk memberi keterangan dari kandang tertuduh, tetapi kenyataan itu mesti mempunyai pembelaan yang boleh dipercayai. Penafian semata-mata tidak cukup untuk pembelaan yang boleh dipercayai.

Mahkamah Persekutuan berpegang bahawa pembelaan konspirasi politik adalah kekal sebuah aduan yang tidak disokong dengan bukti yang boleh dipercayai.

Berhubung keterangan saksi-saksi pembelaan pakar forensik, Prof. David Lawrence Wells dan McDonald, Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan kesimpulan Mahkamah Rayuan bahawa hakim bicara memang telah terkhilaf dalam menerima keterangan kedua-dua pakar itu mengenai sampel yang diambil daripada Mohd. Saiful Bukhari telah dikompromi dan tidak selamat untuk disandarkan kerana menyebabkan ketiadaan bukti sokongan untuk perbuatan penetrasi.

Mahkamah Persekutuan juga berpandangan yang hakim bicara telah membuat kesilapan dalam meletakkan ‘kesahihan 100 peratus’ sebagai standard bukti terhadap pendakwaan untuk menyangkal kemungkinan sampel yang diambil daripada mangsa telah dikompromi. Standard bukti yang betul untuk bukti melampaui keraguan munasabah tidak perlu sehingga ke tahap yang pasti tetapi memiliki tahap kebarangkalian yang tinggi.

Dalam fakta terhadap kes ini, mahkamah tersebut mendapati kemungkinan integriti sampel yang diambil daripada mangsa telah dikompromi sebelum sampai kepada Lay Hong adalah amat jauh. Cadangan seperti itu boleh diketepikan dengan satu ayat “Sudah tentu ia berkemungkinan, tetapi bukan dalam keadaan kemungkinan yang kurang.”

Setelah mengambil kira keterangan Wells dan McDonald, mahkamah bersetuju dengan penemuan Mahkamah Rayuan untuk menolak bukti mereka dengan alasan kedua-dua saksi pembelaan itu tidak menjalankan sebarang ujian terhadap sampel sebaliknya hanya mentafsir dan membuat pemerhatian terhadap penemuan saksi-saksi pendakwaan yang menjalankan analisis DNA terhadap sampel.

Menyentuh keterangan bekas doktor Hospital Pusrawi, Dr. Mohamed Osman Abdul Hamid, yang pertama kali memeriksa mangsa, saksi itu mengakui yang dia tidak pernah bertanya mangsa mengenai sebab objek plastik yang ditusukkan atau membuat sebarang pertanyaan mengenai penetrasi.

Mohd. Saiful Bukhari dalam keterangannya telah menafikan memberitahu Mohamed Osman yang dia telah diserang dengan penusukan objek plastik berlaku pada duburnya, begitu juga dengan doktor di Hospital Kuala Lumpur.

Berdasarkan itu, Mahkamah Persekutuan berpegang yang Mohamed Osman telah memberitahu perkara yang tidak benar. Jika dakwaannya benar, Mohamed Osman tidak akan menasihat mangsa untuk pergi mendapatkan pemeriksaan forensik di hospital kerajaan.

Dalam keadaan ini, mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa Mohamed Osman tidak boleh dipercayai dan seorang yang tidak jujur. Ini menerangkan kenapa pendakwaan tidak memilih untuk memanggilnya sebagai saksi. Tindakan pendakwaan tidak memanggil doktor itu tidak mewujudkan jurang dalam kes ini kerana naratif penuh telah diberikan menerusi keterangan Mohd. Saiful Bukhari, dan ditambah dengan tiga orang doktor dan ahli kimia.

Mohamed Osman telah dipanggil untuk menyangkal keterangan mangsa, namun tiada bukti telah dikemukakan untuk menyokong keterangannya. Oleh itu, mahkamah mendapati keterangannya tidak mempunyai nilai bukti dan tidak dapat mencemarkan nama baik Mohd. Saiful Bukhari.

Turut menjadi pertikaian pembe­laan adalah Anwar mengalami sakit belakang yang serius dan tidak mampu melakukan liwat, dan Dr. Thomas Hoogland telah dipanggil untuk menyokong dakwaan ini. Mahkamah menyatakan pembela­an ini adalah perkara yang difikirkan kemudian (afterthought).

Seterusnya, Hoogland juga tidak memeriksa Anwar pada 2008. Dia cuma memeriksa perayu pada 8 September 2011, sebulan sebelum dia memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu. Ini bertentangan dengan keterangan Dr. C. Jeyaindran yang memaklumkan bahawa perayu telah bersetubuh dengan isterinya seminggu selepas insiden itu.

Jeyaindra juga memberitahu bahawa Anwar tidak mengadu yang dia mengalami sakit belakang dan perkara itu diperhatikan dalam pemeriksaan perubatan. Pergerakan perayu juga tidak tersekat akibat sebarang bentuk sakit belakang.

Berdasarkan itu, Mahkamah Persekutuan berpandangan bahawa pendapat Hoogland yang perayu tidak boleh melakukan perbuatan itu tidak mempunyai asas. Mahkamah berpegang bahawa terdapat bukti yang banyak untuk menyokong dakwaan mangsa yang dia telah diliwat oleh Anwar.

Bukti saintifik (laporan perubatan dan bukti DNA) yang ditambah pihak pendakwaan juga mengesahkan sel sperma yang dimiliki Anwar berada di bawah dan atas dubur rektum mangsa. Penjelasan yang logik ialah mangsa mesti telah diliwat oleh perayu.

Keterangan tidak bersumpah oleh perayu, yang beban pembuktiannya adalah lemah, serta keterangan yang ditambah menerusi saksi-saksinya telah gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam kes pendakwaan. Sehubungan itu, Mahkamah Persekutuan yakin melampaui keraguan munasabah yang Mohd. Saiful Bukhari telah diliwat sebagai yang didakwa.

Atas sebab-sebab tersebut, Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan Mahkamah Rayuan bahawa perayu gagal mengemukakan sebarang keraguan munasabah dalam kes pendakwaan. Sehubungan itu, pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah. Rayuan terhadap sabitan adalah ditolak. Mahkamah Persekutuan berpegang kepada keputusan Mahkamah Rayuan untuk mensabitkan perayu.