Ya, rakyat tidak ‘buta’ tentang ibu segala jenayah ini yang sudah bernanah dalam masyarakat. Dan rakyat juga tidak terlepas daripada membuat pelbagai spekulasi bagaimana penjenayah itu boleh berterusan bebas merosakkan sosial masyarakat.

Kalau ikut logiknya, bukan susah pun nak gempur mereka habis-habisan. Sekiranya setiap ketua polis daerah atau negeri memainkan peranan mereka secara total, sudah tentu jenayah perjudian ini tidak berani bercambah dan membiak.

Dalam hal ini, tidak mustahil ada pihak yang ‘melindungi’ mereka. Telahan orang ramai ini bukan kosong.

Buktinya sudah ada tangkapan terhadap pihak yang bersekongkol itu termasuklah dalam kalangan penguat kuasa sendiri. Tetapi yang ditangkap sekadar ‘ikan bilis’ sahaja.

Selain Abdul Hamid, komitmen tegas sebegini sudah disuarakan setiap KPN, masing-masing demi menghancurkan segala bentuk jenayah.

Sebelum ini pun, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun juga pernah memberi amaran keras yang serupa termasuk tindakan buang kerja akan dikenakan terhadap anggota termasuk ketua polis negeri jika didapati terlibat melindungi kegiatan jenayah di seluruh negara.

Menyoroti tahun 2014, Tan Sri Khalid Abu Bakar juga membangkitkan tekad sama.

Beliau menyifatkan kegiatan judi haram yang berleluasa di seluruh negara ketika ini sebagai ‘duri dalam daging’ kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak untuk memeranginya.

Beliau juga pada masa itu telah pun berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk mewujudkan satu peraturan bagi membolehkan pihak berkuasa menghukum pemilik premis yang membenarkan kegiatan judi haram beroperasi di premis mereka.

Eh, apa jadi dengan cadangan peraturan tu ya? Sudah lima tahun berlalu, sudah dilaksanakan atau masih diperam?

Lebih awal sebelum itu, pada tahun 2010, PDRM di bawah pimpinan Tan Sri Ismail Omar telah mewujudkan makmal kasino bagi melatih pegawai dan anggotanya menjadi pakar dalam menangani jenayah perjudian.

“Ibarat untuk menangkap pencuri, perlu jadi pencuri,” ujar Ismail yang turut menyatakan sejak tahun 2000 sehingga 2009, seramai 318 pegawai telah dihantar menjalani kursus di makmal tersebut dan mereka telah diiktiraf sebagai pakar judi.

Persoalannya, masih wujud lagikah makmal kasino ini dan kemana perginya pakar-pakar judi ini? Keazaman membanteras jenayah terancang ini juga diambil serius semasa kepemimpinan Tan Sri Musa Hassan.

Sehinggakan beliau pernah ditawarkan sehingga RM2 juta sebulan oleh satu sindiket sebagai bayaran bagi menutup mata terhadap jenayah ini.

“Rasuah perlu dihapuskan dan ia tidak ada tempat dalam pasukan ini. Saya tidak menerima hamper semasa saya menjadi KPN. Kita, sebagai pegawai kanan, perlu menjadi contoh dan menunjukkan perkara yang wajar kepada pasukan kita,” kata Musa.

Jati diri dan keteguhan iman

Ya, memang itulah yang rakyat harapkan. Walk the talk. Kita tidak mahu lagi ada mana-mana pegawai polis ditugaskan di tempat baharu, akan ada ‘sampul duit’ sudah tersedia di atas meja.

Mula-mula mungkin boleh menolak, tapi kalau dah berhari-hari sampul berisi tebal takkan nak tengok saja.

Soal rasuah melibatkan jati diri dan keteguhan iman. Bukan soal banyak atau sikit gaji yang diterima. Bukan mahu menafikan cadangan Abdul Hamid untuk menaikkan gaji anggota polis, tetapi jika tujuannya untuk mengelak perbuatan rasuah yang dikatakan berpunca daripada kekurangan gaji, itu bukan faktor utamanya. 

Walau bagaimanapun adalah tidak adil untuk terus ‘menembak’ polis dalam gejala ini.

Sedangkan ia turut melingkari anggota penguat kuasa dan pasukan keselamatan lain yang perlu setiap masa diberi penekanan soal moral dan maruah.

Untuk itu adalah lebih baik perkukuhkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berbanding Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang hanya memberi fokus kepada anggota polis sahaja.

PDRM pada masa sama boleh mengukuhkan Bahagian Agama Dan Kaunseling (BAKA) yang dilihat kurang agresif dalam usaha menyediakan benteng sepatutnya kepada setiap anggota agar mereka merasa jijik untuk terjebak rasuah.

Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) juga perlu mementingkan aspek integriti yang mampu mengorientasikan pemikiran bukan sahaja berupaya mentransformasikan fizikal semata-mata.

“Seperti yang telah di umumkan Abdul Hamid beberapa hari lepas bahawa tauke-tauke judi yang bergelar Tan Sri, Datuk Seri, Datuk telah pun dikenalpasti, sekarang rakyat sedang tertunggu-tunggu bilakah mereka ini akan ditangkap dan dituduh di mahkamah.

“Adakah KPN sekarang akan jadi seperti KPN-KPN sebelum ini yang hanya gegak gempita di awal pelantikan jawatan sahaja, selepas itu ia akan larut dengan sistem yang sedia ada,” kata seorang sumber.

Walau bagaimanapun, kita yakin dan percaya, KPN sekarang akan mengotakan kata-katanya. Masyarakat menaruh harapan yang amat tinggi kepada beliau.

Masyarakat mengharapkan negara ini akan menjadi sebuah negara yang selamat dan aman serta terhindar daripada segala jenayah bersesuaian dengan konsep Malaysia Baru yang didokong kuat oleh KPN kita sekarang.