Baik kerajaan kegemilangan Melayu Melaka, empayar Islam Khalifah Uthmaniah serta kerajaan silam Rom, Yunani selain China, Parsi mahupun di England, begitu banyak kisah menceritakan pengkhianatan pihak dalaman atau mereka yang dipercayai oleh pemerintah ketika itu.

Maka memang terserlah untuk kita menyalahkan pihak pengkhianat seperti si Kitol dan Raja Mendeliar pada zaman kegemilangan Melaka dan Mustafa Kemal Ataturk pada zaman akhir pemerintahan Khalifah Uthmaniah.

Begitu juga kita sering didedahkan bahawa Marcus Junius Brutus adalah orang yang dipersalahkan dalam agenda pembunuhan Julius Caesar yang sangat dikenali sebagai pemerintah agung dalam pembinaan tamadun Rom.

Memang benar mereka ini bertindak atas arahan dan sokongan pihak yang mahu menjatuhkan pihak pemerintah ketika itu.

Saya tidak ada masalah dalam fakta mereka ini adalah pengkhianat yang mempunyai agenda sendiri serta tamak akan kuasa dan habuan yang dijanjikan. Iaitu seperti mana Mustafa Kemal Ataturk menjadi tali barut pihak Barat terutama penjajah British dan Yahudi Zionis untuk menumbangkan kerajaan Khalifah Uthmaniah, sekali gus memusnahkan legasi kepemimpinan khalifah Islam terakhir di dunia.

Dan juga persekongkolan si Brutus yang juga sepupu kepada Caesar bersama 22 senator yang dipilih mewakili rakyat dalam menjayakan konspirasi pembunuhannya.

Beliau tidak menyangka sama sekali sepupu rapatnya itu akan turut sama mengkhianati dan membunuhnya kerana dijanjikan kuasa dan habuan.

Begitu juga dalam hal empayar Melaka semua sedia maklum terlalu banyak musuh dalam selimut dari pegawai istana, golongan pedagang mahupun askar upahan Jawa yang bersekongkol dengan Portugis.

Namun kita begitu jarang sekali mendengar atau diberitahu kenapa perkara pengkhianatan itu berlaku. Apakah pengkhianatan itu dilakukan kerana dijanjikan kuasa dan habuan semata-mata?

Apakah tamadun atau kerajaan yang telah dibangunkan oleh pendukung sebelumnya atau pemerintah ketika itu langsung tidak ada perkara baik yang dilakukan sehingga membenarkan ruang untuk pengkhianatan berlaku.

Dan tidakkah pengkhianat yang dilihat zalim dan rakus itu tidak rasional dan mengikut nafsu semata-mata sehingga sanggup mengorbankan tanah air dan bangsanya sendiri?

Terlalu banyak contoh bagaimana sikap bobrok sebegini mengakibatkan banyak empayar besar di dunia tersungkur.

Contoh paling dekat dan klasik sudah pasti keagungan empayar Melayu Melaka yang tersungkur ketika di puncak bukan sahaja akibat pengkhianatan si Kitol dan pedagang asing bersekongkol dengan Portugis.

Malah sikap kepemimpinan ketika itu baik dari sultan dan berlarutan hinggalah orang kanan baginda yang tenggelam dalam dunia mereka sendiri, turut sama memusnahkan segala apa yang dimiliki hampir sahaja tidak meninggalkan kesan.

Dalam kisah Caesar, para Senator melihat beliau sudah hampir ke tahap menjadi raja yang sukar disanggah - sesuatu yang paling ditakuti mereka.

Ini mengakibatkan mereka hilang pengaruh dan kuasa malah dikatakan patung Caesar yang mahu diangkat sebagai Tuhan telah dibina untuk menunjukkan penguasaannya.

Maka para Senator merancang konspirasi menggulingkan Caesar yang di pengakhiran, dirinya dikatakan ditikam sebanyak 23 kali oleh kesemua Senator terlibat termasuk sepupunya, Brutus.

Begitu juga halnya dalam kejatuhan Empayar Khalifah Uthmaniah yang selain kesilapan dalam hal politik dan ekonomi yang terlalu mahu berkiblatkan Barat, pemerintahnya juga terlibat dalam segala kepincangan sosial dan maksiat yang adakalanya keterlaluan.

Pihak yang berbangga dengan slogan Malaysia Baharu sekarang ini perlu belajar dari sejarah.

Cukuplah menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini kerana rakyat semakin susah dan terhimpit terutama miskin bandar.

Janganlah terperangkap dengan sikap sombong, rasuah dan salah guna kuasa (sekiranya ada).

Jadikanlah sifat amanah, berani kerana benar dan bukan mahu jadi pengampu sebagai nilai tertinggi dalam diri orang Melayu. Jika tidak berubah, apa lagi yang tinggal pada orang Melayu.