Sudah berapa ramai pula kawan maya yang dikeluarkan atau di‘unfriend’ dalam akaun media sosial? Tidak kiralah yang dikenali atau tidak.

Berapa ramai juga kawan-kawan kita yang masih tidak hilang-hilang ‘ketagihan’ setiap 10 minit sekali mengemaskini status di media sosial tidak habis-habis cerita pasal politik, walhal dia mengundi pun tidak.

Kadang-kadang kita pun naik rimas dan tertanya-ta­nya, dia ini bila mahu move on? Tak ada kerjakah? Banyak betul masa lapang. Dia tambah cuti lagikah?

Tetapi begitulah kebanyakan kita yang dah tua-tua ini pun, kalau ada yang ‘tidak kena’, marah atau tidak suka dan tidak bersependapat, ‘unfriend’ saja kawan di Facebook atau ‘unfollow’ di Instagram dan di Twitter. Habis cerita.

Waktu dulu-dulu di zaman budak-budak, ayat paling popular bila mahu buang kawan adalah -”Emak kita tak kasi kawan awak.” Itu dululah, masa dunia tidak ada internet apatah lagi telefon pintar.

Masa sekarang ini pula bila sudah kena removed dari akaun media sosial, dia punya marah memang lain macam. Disebabkan kena removed sahaja, sudah dianggap putus sahabat sampai bila-bila. Itu belum masuk block di WhatsApp lagi.

Seorang kawan membe­ritahu saya, dia sudah ‘malu alah’ dengan kawannya, ke­rana bertekak pasal parti politik yang disokong sebelum pilihan raya. Bila sudah habis PRU hendak bertegur semula pun sudah naik segan.

Ada juga yang mengambil pendirian terus buang kawan sebab parti politik yang disokongnya menang. Tak perlulah berkawan dengan penyokong parti politik yang kalah. Memikirkan tidak rugi apa-apa pun. Hilang kawan pun tidak mengapa.

Penyokong parti yang ka­lah pun sama naik juga, mahu juga mempertahankan itu dan ini. Tidak mahu menerima kekalahan. Sindrom penafian terus menebal.

Mentaliti sebegini pun ada. Walhal bukan budak-budak lagi. Kata orang, semua sudah besar panjang.

Esok, lusa apabila susah dan sakit-sakit pun tetapkah memilih kawan dari parti politik mana yang boleh beri pertolongan atau boleh datang menziarah di hospital atau di rumah? Atau siapa yang boleh datang semasa kematian?

Betul, kerajaan pun boleh dan sudah bertukar tetapi yang nampak masih tidak berubah adalah perangai segelintir daripada kita.

Yang angkuh, suka menghina, kaki kecam, memperlekeh, tidak menghormati pendapat orang lain, merasakan dirinya saja betul dan melanggar apa saja peraturan nampaknya macam kekal begitu.

Kita mahukan perubahan yang besar-besar tetapi diri sendiri pun sukar untuk berubah dan muhasabah diri.

Mahu semua orang mendengar pendapat atau komen kita mengenai sesuatu isu, tetapi tidak mahu menerima buah fikiran orang lain dan memilih untuk berkonflik sampai mati mana-mana pihak yang tidak sehaluan de­ngan kita.

Apa salahnya, apabila telah selesai semua ini, kita memperbaiki apa yang tidak betul, mengakui riak serta angkuh itu boleh menjatuhkan dan perbezaan pendapat bukan bermakna bermasam muka atau berpecah.

Hidup ini umpama roda, tidak sentiasa berada di atas dan tidak juga kekal di bawah. Dan sepatutnya dalam semua keadaan, apa-apa perbezaan dan kekurangan tidak dianggap seteru.

Macam penyokong kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris di Malaysia ini jugalah. Penyokong Manchester City mana yang membuang kawan yang sokong Manchester United, Spurs, Liverpool, Chelsea atau Arsenal?

Kerajaan boleh dan telah berubah. Anda bila lagi?