Tindakan sekumpulan ahli kongsi gelap Geng 04 melemparkan bom petrol dan meninggalkan sepanduk tertulis ugutan di depan pagar Ibu pejabat Polis Daerah ( IPD) Kuala Muda, Kedah, minggu lalu, adalah sangat melampau. Ia dipercayai ada kaitan dengan tindakan polis menahan 17 anggota Geng 04 yang terlibat dengan pelbagai kegiatan jenayah termasuk dadah, samun dan ugut. Empat suspek ditahan polis dalam satu operasi khas dan kelmarin mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Kalau ikutkan Awang, mereka perlu disambung reman ke tahap maksimum. Menurut polis, kertas siasatan terhadap kesemua suspek itu akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan susulan. Awang tidak sabar untuk melihat wajah-wajah mereka ketika dihadapkan ke mahkamah nanti. Mereka perlu menerima hukuman paling keras. Jika tidak, ia akan memberi isyarat yang salah kepada masyarakat seolah-olah menyerang balai polis bukan jenayah berat.
Lagipun gejala kongsi gelap semakin menjadi ancaman serius di negara ini, yang memerlukan pembersihan habisan-habisan. Apa pun, akhirnya polis akan dinilai atas keberanian dan keberkesanan bertindak dan bukan sekadar amaran.

 

Pakatan Harapan, Revolusi....
Forum anjuran pembangkang bertajuk Mahathir Ejen Perubahan atau Pemusnah pada Rabu lalu menjadi satu lagi  bukti para penyokong akar umbi Pakatan Harapan menolak Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusinya.
Suara lantang anak-anak muda dalam forum tersebut yang menolak kecelaruan dan tiadanya prinsip pada pimpinan Pakatan Harapan,  adalah petanda buruk terhadap masa depan gabungan parti yang diketuai oleh DAP itu. Beberapa peserta forum mempersoalkan keputusan menerima pemimpin diktator seperti Dr. Mahathir  kerana memburukkan lagi reputasi Pakatan Harapan, yang ahli panel terdiri pemimpin pembangkang gagal menjawabnya.
Malah terdapat peserta menyifatkan Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak lebih bijak berbanding Dr. Mahathir serta lebih telus dalam membangunkan prasarana pengangkutan awam tanpa kronisme.
Awang angkat topi dengan keberanian anak-anak muda ini menyuara hal-hal kritikal termasuk kegagalan Pakatan Harapan menamakan siapa bakal Perdana Menteri jika menang PRU-14.
Mesejnya selagi Pakatan Harapan tidak bersandarkan politik kesederhanaan dan kematangan, selagi itu ia tidak akan memberi impak dalam mendapatkan sokongan rakyat. Awang berpendapat sudah sampai masanya Pakatan Harapan menghentikan politik ekstrem dan kebencian kerana itu cara lapuk yang pasti ditolak rakyat. Pada forum itu sendiri jelas betapa politik ekstrem menjadi pegangan dengan kenyataan Presiden PAN, Mohamad Sabu yang mahu orang muda bangkit melakukan revolusi tanpa pilihan raya.
Jelaslah ia cerminan kepada pemikiran berbahaya pemimpin Pakatan Harapan yang bercanggah dengan demokrasi. Inikah yang dimahukan oleh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan mendokong nilai demokrasi.  Pada Awang, ia hasutan yang tidak boleh diambil mudah dan bayangan ancaman revolusi makin melingkari kita.

 

 

 

I Am Me
Jutawan kosmetik, Dr. Hasmiza Othman yang lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, sekali lagi menarik perhatian tetapi kali ini dalam bidang nyanyian.  Klip video lagu I Am Me yang beliau nyanyikan kini meletup dan menjadi trending di Youtube sehingga di negara Arab.
Lagu itu yang dicipta  komposer, Edry Abdul Halim dan lirik ditulis oleh Vida sendiri telah ditonton lebih 2.5 juta dalam tempoh tidak sampai dua minggu. Itu boleh disifatkan pencapaian di luar dugaan mengatasi ramai penyanyi popular tanah air.
Awang tidak mahu ulas panjang nyanyian dan gaya Vida dalam klip video itu. Jika ia diminati ramai, itu bermakna kejayaan buat Vida dan Edry. Yang lebih Awang teruja adalah kesungguhan Vida untuk terus mempromosi diri dan produknya (Vida Beauty ) di sebalik apa sahaja cabaran termasuk tohmahan dan kecaman. Sama ada suka atau tidak, Vida ada cara untuk membina jenama melalui gimik dan kaedah pemasaran yang lebih agresif.
Biarpun ditimpa kedukaan kerana berpisah dengan suami, pernah terpalit kontroversi dan isu seperti didakwa gagal membayar GST serta gagal dalam penajaan pasukan bola sepak, beliau tahu untuk bangkit. Vida bukan lulusan Universiti Harvard atau mempunyai PhD dalam jurusan pemasaran namun beliau hebat kerana keyakinan dan sikap positifnya.
Mesejnya, cabaran bukan halangan untuk terus mara meniti kejayaan. Itulah Vida yang Awang amati sentiasa ceria mengejar impiannya termasuk terzahir melalui lagu I Am Me. Kepada yang asyik suka mengecam, mampukah kita mengasak diri habis-habisan untuk berjaya seperti beliau?

 

Polis sifar rasuah?

Apabila warga polis di seluruh negara yang dipimpin oleh Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar melafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) baru-baru ini, ramai yang skeptikal.
Apatah lagi Khalid meletakkan sasaran sifar rasuah melalui IBR itu yang dirintis dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Mampukah Polis Diraja Malaysia (PDRM)  mencapai sasaran sifar rasuah walaupun tiada tempoh luput dinyatakan?
Beberapa orang sahabat termasuk dalam PDRM menyifatkannya sebagai bahan ketawa kerana ia sesuatu yang mustahil untuk dicapai. Awang juga faham realiti di dalam majlis IBR dan di dalam dewan, tidak sama dengan realiti sebenar ketika bertugas. Cabaran adalah di luar sana iaitu ramai penjawat awam termasuk polis yang tewas kepada rasuah dalam persekitaran tugas mereka.
Ternyata penubuhan jabatan integriti dan pemakaian lencana integriti pada seragam polis, tidak memadai. Sememangnya gejala rasuah dalam kalangan polis, agensi penguat kuasa lain dan penjawat awam dan komuniti bisnes adalah masalah global. Malah gejala  rasuah melibatkan polis di negara maju termasuk Amerika Syarikat (AS) sentiasa pada tahap serius dan belum mampu dikurangkan dengan berkesan, apatah lagi mahu menghapuskannya. Namun itu tidak bermakna PDRM tidak boleh melafazkan IBR dan menetapkan sasaran status sifar rasuah walaupun ditafsir tidak realistik. Ia boleh dilihat suatu keberanian dalam konteks cabaran dan kompleksiti masa kini. Awang positif bahawa usaha tersebut adalah suatu pembaharuan ke arah menangani rasuah dan salah guna kuasa secara lebih jelas,  tersusun dan komprehensif.
Setidak-tidaknya PDRM dengan bantuan SPRM beriltizam kuat dan mahu membina budaya anti rasuah yang lebih teguh dan berkesan. Pada Awang, berikrar itu lebik baik daripada tidak berikrar, kerana ia sedikit sebanyak dapat mengikat individu  dan organisasi kepada mencapai objektif. Usaha susulan secara mikro membudayakan integriti dengan menilai pencapaiannya secara berkala perlu diambil agar IBR itu tidak sekadar ceremonial dan kosmetik.
Sekiranya PDRM dapat mencapai peningkatan 30 hingga 50 peratus penurunan rasuah dalam tempoh tahun-tahun terdekat ini, ia sudah boleh dianggap suatu kejayaan. Mungkin selepas ini, senarai pegawai kanan polis yang rasuah didedahkan identiti mereka di khalayak umum sebagaimana dilakukan beberapa pihak di United Kingdom.
Dengan pelbagai langkah yang diambil secara berterusan termasuk pembersihan dan rombakan dalam PDRM serta  pendekatan agresif SPRM, Awang yakin akan ada perubahan yang signifikan selepas ini.  Yang penting, jangan putus ikhtiar, kecewa dan dibelenggu pemikiran kalah, yang bermakna kejayaan kepada kemungkaran rasuah.