Reaksi Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menyifatkan sebagai tidak masuk akal arahan Pendaftar Pertubuhan ( ROS) agar parti itu mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat ( CEC) kelmarin, sudah dijangka.
Ketika pelbagai pihak, akar umbi dan ramai bekas ahli DAP menyambut positif arahan ROS,  Kit Siang terus dilanda sindrom penafian. Awang tidak terkejut kerana itu memang strategi beliau mahu menutup kepincangan dalam pemilihan CEC, yang tidak sah dan tidak diiktiraf oleh ROS.
Ini ekoran aduan ahli-ahli DAP sendiri terhadap dakwaan manipulasi dan penipuan dalam pemilihan CEC pada 29 September 2013. Semalam, mesyuarat tergempar CEC DAP memutuskan enggan mengadakan pemilihan semula sebagai tindak balas kepada ROS.  Ini sudah keterlaluan seolah-olah DAP kebal dan sengaja mencabar ROS. Awang percaya ROS tidak akan tunduk dan inilah masa untuk bertindak.
Sepatutnya Kit Siang dan anaknya, Setiausaha Agung, Lim Guan Eng yang menguasai CEC bersikap budiman dengan akur kepada arahan ROS. Tiada apa yang perlu dibimbangkan  kecuali ada yang mahu disembunyikan. Namun bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru.
Selagi DAP tidak mengadakan pemilihan semula (berdasarkan senarai perwakilan bagi pemilihan CEC 15 Disember 2012) selagi itu bangkai akan terus mencemari  parti tersebut.  Ini bermakna CEC yang ada berstatus haram dan hantu. Juga membawa maksud status mereka bertanding dalam PRU-13 yang lalu serta jawatan dalam kerajaan diragui dan boleh dicabar.
Awang berharap Kit Siang dan Guan Eng  berhenti bersikap angkuh dan menghina diri sendiri. Sebaliknya dua tonggak Dinasti Lim itu wajar memohon maaf kepada seluruh ahli atas masalah pemilihan dua CEC iaitu pada  2012 dan 2013.  Bukankah mereka perlu bertanggungjawab ?

 

TAHUN ROMBAKAN
Rombakan 46 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk empat pengarah dan empat ketua polis negeri yang diumumkan Selasa lalu menarik perhatian ramai.
Awang mengucapkan tahniah kepada mereka yang dinaikkan pangkat dan selamat bertugas kepada yang bertukar jawatan.
Rombakan kali ini dilakukan bagi mengisi kekosongan jawatan tertentu selain usaha PDRM memulihkan imej berikutan beberapa pendedahan kes rasuah dan isu integriti.
Baru-baru ini, PDRM melakukan rombakan besar-besaran ke atas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) ekoran penahanan 16 pegawai dan anggotanya yang melindungi sindiket pengedaran dadah.
Ini diikuti penahanan beberapa lagi termasuk Ketua Polis Daerah kerana terbabit dengan gejala rasuah dan bersubahat dengan sindiket judi haram.
Kedua-dua perkembangan yang menggemparkan itu adalah episod hitam kepada PDRM pada tahun ini.
Awang berharap langkah- langkah yang diambil itu dapat memberi impak dalam meningkatkan keyakinan masyarakat kepada PDRM di samping menangani cabaran kepolisan alaf baharu.
Selepas ini, perhatian sudah tentu kepada persaraan Ketua Polis Negara (KPN), Khalid Abu Bakar pada September ini. Ia akan membuka ruang kepada  rombakan lebih besar dan dijangka turut melibatkan pergerakan penyandang beberapa jawatan utama termasuk Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid Ibrahim.
Tidak sukar rasanya bagi Awang meramalkan siapa yang akan menggantikan Khalid,  melainkan jika ada kejutan besar. Rashid adalah pilihan natural dengan rekod integriti yang baik. Bagi jawatan timbalan KPN, ada ura-ura diwujudkan dua  penyandang  seperti dibayangkan  oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri,  Ahmad Zahid Hamidi kelmarin. Jika menjadi kenyataan, ia mencatatkan sejarah kepada PDRM dan moga pembaharuan itu membawa impak. Siapakah dua timbalan KPN itu?

 

BERAYA FILEM ASING
Seorang teman merungut kepada Awang mengenai lambakan filem asing yang ditayangkan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, lebih banyak filem asing mewarnai minggu pertama Syawal berbanding filem tempatan.
Awang amati hampir semua stesen televisyen mengambil pendekatan demikian untuk melonjakkan rating pada musim perayaan. Maka tiada keutamaan kepada filem tempatan dan filem timur yang bersesuaian dengan budaya negara ini.
Awang sendiri terganggu dengan filem Hollywood dan Bollywood yang telah beberapa kali diulang tayang, masih disajikan kepada penonton kita. Sepatutnya program dan siaran stesen televisyen pada musim Aidilfitri menjadi showcase kepada budaya kita tetap ia tidak terzahir. Malah budaya asing lebih menonjol.
Sudah sampai masanya gejala ini dihentikan dan stesen-stesen televisyen perlu lebih sensitif. Bukankah kita mahu membina Malaysia dengan acuan sendiri?

 

DUGAAN HSIEN LOONG
Pertelingkahan antara Perdana  Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan dua adiknya berhubung rumah peninggalan bapa mereka, Lee Kuan Yew makin panas.
Sejak tahun lalu, keluarga  waris Kuan Yew terbabit dalam pertikaian terbuka berhubung isu sama ada mahu meruntuhkan rumah tersebut atau menyerahkan kepada kerajaan untuk dijadikan muzium.
Awang seperti juga rakyat republik itu tidak menjangka anak-anak Kuan Yew iaitu pemimpin yang begitu disanjung,  akan terpalit dalam kemelut sedemikian rupa.
Dalam kes berkenaan, Hsien Loong berdepan dakwaan berbohong dan memanipulasi wasiat Kuan Yew oleh dua adiknya Lee Wei Ling dan Lee Hsien Yang, yang dinafikan beliau. Meskipun Perdana Menteri mengambil inisiatif membuka perdebatan di Parlimen berhubung isu tersebut namun ia tidak meredakan keadaan.
Terdapat suara-suara yang mahukan Hsien Loong menyaman dan menyelesaikan pertikaian itu di mahkamah.  Ketika rata-rata pemimpin di dunia menghadapi dugaan besar daripada musuh politik mereka, Hsien Loong pula berdepan tekanan daripada adik beradiknya sendiri.
Rakyat Singapura terpaksa melihat keluarga pemimpin  bercakaran sedangkan mereka sepatutnya menjadi contoh keluarga harmoni.  Persoalannya, apa kesudahan kemelut itu, yang kita semua mahu nantikan. Awang berharap ada penyelesaian terbaik. Buang  yang keruh ambil yang jernih. Masih belum terlewat sebelum ia  menjadi tragedi besar buat keluarga seorang negarawan  bernama Kuan Yew.

 

QATAR BUKAN ISRAEL
Awang tidak mahu memihak dalam isu Arab Saudi dan beberapa negara Teluk mengenakan tindakan boikot ke atas Qatar.
Setakat ini, beberapa usaha yang diambil termasuk menerusi rundingan gagal menamatkan kebuntuan. Negara-negara Teluk berkenaan ternyata tidak berpuas hati kerana Qatar gagal memberikan respons positif kepada  13 tuntutan, yang sebahagiannya dikaitkan menyokong aktiviti pengganas.
Awang berpendapat bukanlah sesuatu yang mudah bagi Qatar misalnya mahu memutuskan hubungan serta merta dengan Iran, menutup pangkalan tentera Turki di negara itu, menghentikan operasi stesen televisyen Al-Jazeera dan menghentikan hubungan dengan kumpulan Ikhwanul Muslimin.
Maka rundingan perlu diteruskan secara membina dan tidak terlalu  campur tangan keterlaluan dalam hal ehwal Qatar yang merupakan negara berdaulat.
Dalam kita semua menyokong usaha memerangi keganasan, jangan pula sampai  membawa pergolakan lebih besar sesama negara Islam. Umat Islam sudah bosan dengan perpecahan, kelemahan dan betapa mudahnya kerajaan negara Islam terperdaya dengan percaturan  kuasa besar. Cukuplah kemusnahan dan kesengsaraan di Iraq, Syria, Libya, dan Mesir  selain banyak lagi negara Islam yang dilanda konflik.
Tolonglah mengambil pendirian realistik dalam isu Qatar lagipun Qatar bukan Israel. Strategi yang silap akan mengakibatkan mudarat besar dan dahsyat padahnya, yang menyebabkan musuh Islam tersenyum puas.

 

MALULAH...
Awang cukup terganggu dengan beberapa insiden pencabulan terhadap replika seorang petugas wanita  Shell dalam iklan syarikat petroleum itu.
Amat memalukan melihat tingkah laku yang tidak bermoral seperti meraba dan mencium iklan itu lalu diviralkan dalam laman sosial, yang telah mencemarkan maruah wanita berkenaan.
Kepada semua yang melakukan perbuatan  itu, apakah perasaan mereka jika wanita dalam replika iklan itu adalah  anak, adik beradik mahupun ibu sendiri. Bayangkanlah penghinaan yang dilakukan.
Awang berharap sesiapa sahaja yang melakukan pencabulan itu memohon maaf. Jika perlu, dapatkan juga khidmat kaunseling supaya tidak mengulangi perbuatan. Nasihat Awang mudah sahaja, tolonglah lebih menjaga adab dan hormatilah wanita. Kita bukan hidup di zaman jahiliah.

 

BAHASA DAN IKTIBAR

Langkah Kabinet menarik balik kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak pegawai perubatan, melegakan banyak pihak.
Awang ucapkan terima kasih kepada Kabinet dan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi kerana mengambil keputusan yang tepat.
     Pelbagai pihak menyambut baik ketegasan Kabinet. Ia memberi mesej yang jelas bahawa tiada kelonggaran berkaitan Bahasa Melayu dibenarkan untuk sebarang jawatan awam.
Awang berharap apa yang berlaku itu menjadi iktibar buat semua pihak supaya tidak mengambil sebarang tindakan yang cuba menggugat dan mengorbankan kedudukan Bahasa Kebangsaan apatah lagi dalam perkhidmatan awam walau apa sekalipun alasannya.  
Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan wajar berpegang teguh kepada peribahasa di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Kepada semua pihak yang bersatu membantah kelonggaran syarat lulus Bahasa Malaysia itu, Awang ucapkan tahniah.
 Anda semua telah menggagalkan satu lagi pencerobohan kecil terhadap bahasa kita yang boleh mengakibatkan pencerobohan besar.