Kerap juga beliau berjenaka. Itulah Najib sentiasa tenang dan fokus biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran. Lebih-lebih lagi dalam menghadapi PRU-14 yang disifatkan paling sengit dalam sejarah tanah air. Daripada pengamatan Awang, beliau lebih berhati-hati kerana tidak mahu kelihatan terlalu yakin. Pelbagai pihak meramalkan BN setidak-tidaknya akan menang selesa atas banyak faktor.

Antaranya prestasi pengurusan ekonomi negara yang cemerlang, kestabilan negara dan pelbagai tranformasi yang dilaksanakan. Najib telah membuktikan beliau sandaran terbaik untuk terus menerajui negara walau apa pun tafsirannya. Pada Awang kelebihan Najib adalah ketabahan dan kelasakannya dalam menghadapi pelbagai dugaan meliputi fitnah dan serangan peribadi. Satu lagi jenama kuat Najib adalah kemampuan beliau menangani krisis meliputi ekonomi, politik, keselamatan dan kedaulatan termasuk menolak campur tangan asing.

Dalam politik, beliau juga seorang strategis, yang tidak boleh diambil mudah oleh musuhnya. Satu demi satu krisis dan tekanan telah ditempuhi dengan sabar dan berjaya diatasinya dengan sokongan rakyat. Apa bezanya gelora PRU-14?

Najib memilih hari Jumaat untuk mengumumkan pembubaran Parlimen bagi membuka laluan kepada PRU-14. Beliau mengakhiri sidang akhbar pengumuman tersebut dengan doa yang menarik perhatian ramai.

“Negara Malaysia namamu kini megahlah sudah. Dibina dan dibangun berbekal keringat dan air mata. Kerajaan Barisan Nasional berusaha sudah, berbakti pun sudah. Kepada rakyat pilihlah yang berhak dan telah berjasa, lalu tawakal diserah kepada Allah. Kepada-Mu Ya Tuhan kami memohon pertolongan. Amin Allahumma Amin.”

Sejam selepas itu beliau seperti biasa Solat Jumaat, yang tentu doa itu tersemat untuk dilafazkan memohon dimakbulkan. Reaksi rakyat selepas pembubaran itu tenang dan lega kerana akhirnya detik itu tiba. Rakyat sudah lama menanti PRU-14 untuk membuat penentuan terakhir pada hari mengundi nanti.

Apatah lagi suhu politik sudah lama tinggi disebabkan pelbagai isu yang dimainkan oleh pembangkang terutama menyemarakkan sentimen kebencian. Najib sendiri mengakui cabaran utama beliau adalah sama ada segala mesej dan naratif pencapaian cemerlang kerajaan pimpinannya dapat diterima sebaik-baiknya oleh rakyat di sebalik sentimen kebencian itu.

Namun Awang yakin majoriti rakyat akan membuat pilihan dengan pertimbangan terbaik. Sejarah telah membuktikan parti dan pimpinan politik yang mengambil pendekatan sederhana, akan lebih memenangi hati rakyat Malaysia. Politik ekstrem tiada tempat dan membawa padah.

Ketika manifesto Pakatan Harapan dikritik hebat kerana tidak inklusif, tidak realistik, asyik pusingan u dan banyak menceduk, pelancaran manifesto BN malam tadi berbeza. Majlis manifesto Bersama BN Hebatkan Negaraku itu menyerlahkan keyakinan dan kekuatan BN sebagai satu angkatan yang padu.

Itu belum menyentuh kandungannya yang jauh lebih memikat berbanding manifesto Pakatan Harapan. Manifesto BN dibentangkan ketika negara berada pada landasan ekonomi terbaik, bukannya bankrap sebagaimana tohmahan Pakatan Harapan sejak 2014.

Antara intipati manifesto BN adalah tambahan peluasan BR1M, meningkatkan gaji minimum, pemberian pas pengangkutan awam dan insentif khas kepada peneroka Felda, yang begitu signifikan dalam meringankan beban rakyat. Ketika manifesto Pakatan mengabaikan agenda ekonomi bumiputera, Najib terus komited memperkasannya.

Awang nampak kesungguhan BN diterajui Najib menerusi manifesto itu kerana ia mencerminkan imej, hala tuju dan komitmen kepada rakyat - bukannya secara sambil lewa sebagaimana manifesto Pakatan.Dengan rekod pencapaian yang hampir 100 peratus dalam pelaksanaan manifesto PRU-13 berbanding banyak janji dalam manifesto pembangkang yang tidak ditunaikan, rating BN melonjak minggu ini.

Reaksi orang ramai yang menyaksikan secara langsung dan komen ramai netizen, begitu positif. Malam tadi Najib dan pemimpin BN memulakan langkah kanan yang dijangka memberi impak pada PRU-14 nanti. Beliau telah mencetuskan faktor wow yang melonjak motivasi BN ke tahap tertinggi, yang tidak dijangka semua termasuk pembangkang.

Namun Awang ingin ingatkan bahawa cabaran yang menanti BN bukan kecil. Manifesto walaupun boleh membantu - bukan penentu mutlak melainkan pada hari mengundi. BN tidak harus selesa walaupun perkembangan memihak kepadanya.

Maka hebatkan BN dengan muafakat dan bekerjalah jauh lebih keras. Agar - meskipun dilingkari apa sahaja dugaan - keputusannya nanti memang hebat.

Kisah Parti gagal

Apa yang menimpa Parti Pribumi Malaysia Bersatu (PPBM) bukan sekadar untuk diperkatakan. Lebih daripada itu ia wajar dijadikan iktibar. Kegagalan mengurus perkara asas dalam penubuhan sesebuah parti politik boleh membawa musibah. Perintah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) membubarkan sementara PPBM pada Khamis lepas, sebenarnya sudah boleh dijangka.

Pelbagai isu melanda parti itu terutama melanggar perlembagaan seperti gagal mengadakan mesyuarat agung di cawangan dan bahagian. Ini ekoran aduan ratusan ahli kepada ROS dan banyak kekecohan yang akhirnya didapati berasas. Pengerusi PPBM, Dr. Mahathir Mohamad, Presiden Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden, Mukhriz Mahathir turut mengakui kegagalan itu. Atas kegagalan PPBM, ia tidak dibenarkan anjur sebarang aktiviti guna logo dan nama parti. Awang berpendapat kepimpinan PPBM khususnya Muhyiddin dan Setiausaha Agung, Shahruddin Md. Salleh harus mengambil tanggungjawab penuh. Mereka sewajarnya memohon maaf kepada ahli dan sekutu Pakatan Harapan.

Disebabkan kegagalan tersebut, PPBM terpaksa bertanding pada PRU-14 menggunakan tiket parti lain. Inilah yang dikatakan kapal tenggelam di pelabuhan sebelum belayar meredah lautan. Akibatnya juga permohonan Pakatan Harapan untuk menggunakan satu lambang pada PRU-14 tidak kesampaian. Isu PPBM nampaknya mengheret Pakatan Harapan untuk turut karam di lautan.

Maka PPBM harus menyalahkan diri sendiri, bukannya pihak lain. Ironinya pimpinan PPBM berdegar-degar memburukkan kerajaan dan menjanjikan bulan bintang kepada rakyat, parti sendiri tidak mampu ditadbir.

Dalam tulisan ini, kerap digunakan istilah gagal kerana ia sememangnya kisah tentang kegagalan, bukannya harapan. Terimalah hakikat, PPBM dan Pakatan Harapan dalam senyap membunuh harapan itu.

Kecelaruan akut?

Awang tertarik dengan reaksi Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Abang Openg terhadap kenyataan Dr. Mahathir Mohamad kononnya rakyat negeri itu dan Sabah malas dan bermentaliti rendah.

Abang Johari menegaskan tohmahan tersebut sebenarnya mencerminkan sikap bekas Perdana Menteri itu sendiri. Dr. Mahathir malas turun padang dan melawat Sarawak menyebabkan negeri itu ketinggalan ketika era pemerintahannya selama 22 tahun.

Awang hairan mengapa Dr. Mahathir tidak sensitif dan boleh mengeluarkan kenyataan seperti itu yang menghina penduduk Sabah dan Sarawak. Kelmarin Dr. Mahathir mendakwa pula nyawa beliau terancam dan mungkin dibunuh ( menjelang PRU-14), yang Awang geleng kepala. Selain itu beliau cabar mahu melanggar undang-undang dan sanggup ditangkap pihak berkuasa kerana begitu terdesak. 

Ternyata Dr. Mahathir makin banyak melakukan kesilapan, pencabulan prinsip (bukan setakat pusingan U), tohmahan dan berdolak-dalih. Pendekatan beliau begitu ekstrem, juga seakan-akan menghadapi sindrom kecelaruan akut. Mana tahu, masalah Dr. Mahathir lebih serius daripada apa yang dijangka.

Bangkitlah ...

Awang ucapkan tahniah kepada dua atlet angkat berat Muhammad Azroy Hazal dan Muhammad Aznil Bidin yang masing-masing menyumbangkan emas pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia.

Kejayaan membanggakan itu menceriakan negara pada ketika beberapa atlet harapan gagal mencapai sasaran pingat. Dengan banyak lagi acara yang ada, Awang berharap prestasi kontinjen kita akan melonjak sebagaimana kecemerlangan Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur. Semoga Semangat Bangkit Bersama yang menjadi slogan sebelum ini terus menyala tidak kira di mana sahaja kita beraksi dan berada.

Grab monopoli

Penyedia perkhidmatan e-hailing, Grab memberi jaminan penggabungan syarikat itu dengan Uber tidak akan memberi kesan kepada kenaikan tambang penumpang. Jaminan itu disampaikan oleh pengurusan Grab kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, baru-baru ini.

Uber Technologies Inc. telah menjual operasinya di Asia Tenggara kepada Grab, menjadikannya pemain utama yang memonopoli perkhidmatan e-hailing.

Hampir dua minggu selepas perkembangan tersebut terdapat maklum balas penumpang dan turut diakui pemandu bahawa berlaku sedikit kenaikan tambang. Awang berharap Grab berpegang kepada jaminannya dalam erti kata sebenar agar tiada sebarang manipulasi harga perkhidmatan.

Kepada Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD), tolonglah pantau Grab supaya ia sentiasa mesra pengguna, bukan 'raksasa yang menelan penumpangnya.'