Keakraban Raja Salman dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V serta Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak khususnya, cukup untuk menceritakan semuanya. 

Kejayaan lawatan bersejarah itu telah melonjakkan hubungan strategik Malaysia - Arab Saudi ke tahap tertinggi, yang diperakukan oleh Raja Salman.  

Antara manfaat utama daripada lawatan itu adalah peluang ekonomi hasil pelaburan RM31 bilion di Pengerang; kuota haji Malaysia ditambah kepada 30,000; pelbagai peluang pelaburan dan pekerjaan untuk Malaysia di Arab Saudi dan jumlah  biasiswa belajar ke negara itu ditingkatkan. Begitu juga kerjasama baharu di bawah bidang pertahanan dan potensi bagi Malaysia untuk membina dua pusat jemaah haji di Mekah dan Madinah. 

Awang bersyukur kerana Raja Salman sangat menghargai dan kagumi Malaysia, serta gembira dengan hasil lawatannya, yang turut menerima maklum balas positif  delegasi dan media Arab Saudi. Antara yang menarik perhatian adalah keyakinan  syarikat petroleum terbesar dunia, Saudi Aramco menandatangani perjanjian dengan Petronas dalam pelaburan di RAPID, Pengerang.

Maka untuk kesekian kalinya keyakinan banyak pelabur asing  menafikan dengan sendirinya bahawa ekonomi Malaysia merudum dan akan muflis seperti dijaja Pakatan Harapan.  Awang sependapat dengan banyak pemerhati yang melihat lawatan Raja Salman sebagai kemenangan diplomatik,  politik dan ekonomi kepada Najib.

 Akhirnya faktor kepimpinan beliau  yang mencorakkan kejayaan menarik pelaburan asing termasuk RM140 bilion dari China, baru-baru ini. Najib yang tersenarai antara pemimpin Islam berpengaruh di dunia, memainkan peranan signifikan, yang  kali ini turut diiktiraf Raja Salman. Selain akrab dengan Arab Saudi, Najib mengolah percaturan perimbangan kuasa dengan bijak, membolehkan Malaysia menjalin hubungan baik dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), China dan Rusia. 

Ketika pemimpin Pakatan Harapan asyik  cuba memudaratkan ekonomi Malaysia dengan mentohmah dan memburuk-burukkan kerajaan yang rakyat turut menerima akibatnya, Najib sentiasa berusaha mencari jalan keluar  dan menangani cabaran  ekonomi dengan sebaik mungkin. Beliau tidak melihat ke belakang meskipun berdepan  dugaan diasak oleh musuh-musuh politik diketuai oleh Lim Kit Siang dan Dr. Mahathir Mohamad. 
Ternyata Najib tidak goyah, sentiasa sabar dan mempunyai strategi yang kemas, yang akhirnya membuahkan hasil satu demi satu. Jenama Najib adalah seorang pemimpin yang mampu  mengurus krisis termasuk ekonomi,  lasak  dan punya ketahanan - menjadikan itu kelebihannya.  

Pada Awang, yang lebih menang adalah rakyat dan negara Malaysia hasil kepimpinan beliau pada era yang jauh lebih mencabar berbanding era-era terdahulu. Sama ada suka atau tidak untuk diakui, itulah hakikatnya. Insya-Allah, masa akan terus membuktikan...

 

MASA BERTINDAK
Dengan pendakwaan terhadap dua suspek di mahkamah, seorang lagi diusir dan penguatkuasaan visa ke atas rakyat, Malaysia telah memberikan mesej yang jelas dan tegas. 

Lebih Awang teruja apabila tindakan  Persona Non Grata ke atas Dutanya, Kang Chol, diambil semalam. Sememangnya beliau layak diusir kerana kurang ajar, menipu dan campur tangan. Padankan muka...

Sebagai rakyat Malaysia, Awang bersyukur dan bangga dengan kemampuan kerajaan dan pihak berkuasa menangani kes pembunuhan Kim Jong -nam. Tahniah semua.

Kejutan, drama, provokasi, tekanan,  kebiadaban  dan muslihat yang mewarnai kes telah dapat diuruskan dengan efisien. Dengan perkembangan terbaru ini, kes pembunuhan terancang yang menggemparkan dunia itu hampir dapat diselesaikan sepenuhnya. 

Di sebalik kompleksiti yang ada, Malaysia telah membuktikan negara ini benar-benar berdaulat dan tidak boleh diambil mudah serta tidak rela dibuli. 

Konspirasi rangkaian perisikan antarabangsa dipercayai didalangi oleh Korea Utara bukan sahaja menjadikan Malaysia sasaran bahkan mangsa bagi menutup pekung sendiri.

Sebagaimana tulisan minggu lalu, Awang tegaskan tindakan itu yang juga  menghina dan mensabotaj Malaysia, tidak boleh dimaafkan. Jika tiada sebarang perubahan sikap dan permohonan maaf kerajaan negara komunis itu, sudah sampai masanya hubungan diplomatik diputuskan. 

Lebih penting, apa yang berlaku mempunyai hikmah besar yang perlu direnungkan dan iktibar yang wajar diambil. Perhebatkanlah kewaspadaan termasuk hadapi kemungkinan tindak balas daripada pihak berkenaan. Cabarannya apa lagi yang kita tidak tahu dan cukuplah dengan sekali kita dikejutkan.
 

TMJ BERAKSI...
Sekali lagi Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat kejutan. Kali ini pemilik  JDT itu mahu mendaftarkan diri sebagai pemain pasukan itu dalam Liga Super. 

Jika ia benar-benar menjadi kenyataan, Tunku Ismail akan mencatat sejarah sebagai putera raja dan bos pasukan bola sepak negeri yang pertama berbuat demikian. 

Dengan kuasa dan statusnya sebagai pemilik, tentu ketua jurulatih akan membariskan TMJ, yang kini aktif menjalani latihan fizikal. Sudah ada yang mempersoalkan sama ada ia sekadar gimik menjelang pemilihan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)  pada 25 Mac.  

Juga wajarkah Tunku Ismail beraksi pada Liga Super dan diberi laluan mudah hanya kerana statusnya sebagai pemilik. Namun itu semua nampaknya tidak dapat menghalang impian TMJ. Maka Awang seperti juga ramai peminat sukan  ingin melihat penampilan Tunku Ismail dalam perlawanan di stadium nanti. 

Antaranya, berbakatkah TMJ sebagaimana kehebatannya  bermain polo, kualiti sikapnya di padang  dan bagaimana respons penonton terutama di gelanggang lawan. TMJ tentu sedar realiti beraksi di padang tidak sama dengan tugas pengurusan di luar padang. Pemain lebih mudah terdedah dengan penilaian malah reaksi secara langsung para penonton sama ada sorakan menyokong mahupun sorakan jelek.

 Nampaknya TMJ telah bersedia termasuk sekiranya dikasari di padang sebagaimana selalu menimpa ke atas pemain. Apa pun, keberanian TMJ untuk mencuba sesuatu yang baru dengan hadapi risikonya tersendiri, Awang kagum. Untuk mengetahui kebolehanya yang sebenar, kita tunggu...

 

JIKA MASIH HIDUP...
Apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang menggunakan nama bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat bagi tujuan politik, Awang hanya tersenyum. 

Ternyata pemimpin de facto Pakatan Harapan itu makin terdesak sehingga mengheret tokoh yang telah meninggal dunia  kepada senario politik hari ini. 

Kit Siang antara lain mendakwa jika Nik Aziz masih hidup pasti Allahyarham akan menyokong aspirasi DAP dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan serta Parti Pribumi Malaysia Bersatu (PPBM). Nasihat Awang kepada Kit Siang, hentilah bermain dengan andaian, yang  tidak semestinya  benar selain boleh bertukar menjadi senjata makan tuan. Jagalah sensitiviti dan hormatilah orang yang telah meninggal dunia serta warisnya. Jika taktik yang sama mahu digunakan ke atas Kit Siang, ia lagi mudah dan tepat.

Hakikatnya ramai ahli dan penyokong DAP percaya jika mendiang Karpal Singh masih hidup, DAP tidak akan bermasalah  besar seperti hari ini. Nescaya Pengerusi DAP itu akan menolak kerjasama dengan PPBM pimpinan Dr. Mahathir Mohamad. 

Di samping itu, mendiang pasti menasihatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah, melepaskan jawatan atas nama integriti parti. Sebenarnya itulah sentimen para penyokong tegar DAP di akar umbi, yang  Kit Siang berusaha menutupnya demi survival Dinasti Lim.  
Lagi Awang tersenyum.
 

TRUMP DAN MEDIA 
Awang terpanggil mengulas perkembangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terutama hubungan dan isunya dengan media.

Terbaru,  CNN, The New York Times, The Los Angeles Times, Politico dan Buzzfeed disekat daripada membuat liputan Trump. Sebelum itu beliau dengan lantang melabelkan sebahagian organisasi media utama yang mengkritiknya  sebagai musuh rakyat.

Malah Trump memutuskan tidak akan menghadiri Majlis Makan Malam Wartawan White House, melanggar tradisi yang biasanya dihadiri okeh Presiden AS. Ia dipercayai tindak balas beliau kepada media. 

Awang geleng kepala macam tidak percaya dengan pendekatan Trump seperti bergerak songsang ke belakang. Itu belum menyentuh banyak tindak-tanduk, kenyataan dan pendiriannya yang mencetuskan kontroversi dan bantahan di dalam dan luar AS.

Presiden-presiden AS terdahulu biasa mengkritik media tetapi tidak sampai ke tahap permusuhan yang ketara dan begitu terbuka. Kata-kata yang Trump lemparkan kepada media juga kasar dan keterlaluan. Tidak pernah dalam sejarah moden, AS menghadapi  situasi seperti itu. Mengurus media dengan baik walau apa cabarannya adalah standard pengurusan paras tertinggi negara maju.

Ia memberi implikasi besar kepada imej dan reputasi AS, yang selama ini disifatkan sebagai kuasa  demokrasi, hak bersuara dan kebebasan media. Kini ia hanya menjadi bahan persenda.

Nampaknya dunia harus menulis semula kitab dan buku kebebasan bersuara, yang AS era Trump tidak lagi juarai. Dengan banyak langkah sumbang Trump dan bertambahnya musuh,  Awang tertanya-tanya bagaimana mahu menjadikan AS kembali hebat?