Awang ucapkan tahniah kepada DAP kerana akhirnya CEC mereka boleh diiktiraf dan diperakukan termasuk bagi tujuan menghadapi PRU-14. Perkembangan tersebut memperlihatkan ROS telah menjalankan tanggungjawab dan peranannya secara profesional. 

Dengan sendirinya ia menyangkal segala fitnah dan tohmahan para pemimpin DAP ke atas ROS ekoran dua pemilihan CEC terdahulu iaitu pada 15 Disember 2012 dan 29 September 2013 yang didapati tidak sah dan terbatal. 

Bukan sahaja DAP yang terpaksa mengadakan semula pemilihan CEC, UMNO sendiri pernah diisytiharkan terbatal pendaftarannya suatu ketika dahulu. Jadi tidak timbul soal ROS tidak adil dan memihak. Awang percaya

DAP akan mengambil iktibar daripada episod kegagalan parti itu mengadakan dua pemilihan CEC sebelum ini mengikut ketetapan ROS.

Segala-galanya berpunca daripada masalah parti itu sendiri dalam mengendalikan pemilihan yang sepatutnya cekap, bersih dan telus. Ini meliputi kelemahan, kepincangan dan penyelewengan undi menyebabkan perwakilan membuat aduan pada 2012 dan 2013.  

Jika pemilihan diuruskan dengan baik sebagaimana CEC November  2017, semuanya tiada masalah meskipun terdapat bantahan. Awang mahu tunggu apakah DAP mahu ucapkan terima kasih kepada ROS kali ini di sebalik segala tuduhan dan tohmahan?

 

Misi belum selesai
Awang lega dengan langkah 13 hotel yang melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) antarabangsa sebelum ini menarik balik larangan pekerja wanita bertudung terutama di barisan hadapan. 

Langkah tersebut diambil sudah tentunya selepas menerima bantahan pelbagai pihak yang melihat ia sebagai diskriminasi dan tidak sensitif kepada realiti majoriti rakyat di negara ini yang beragama Islam. 

Awang mengucapkan tahniah kepada semua pihak terutama kerajaan, Kesatuan Sekerja, badan-badan bukan kerajaan dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.  Menterinya, Mohamed Nazri Aziz dan Presiden

Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia, Mohammed Shafie BP Mammal paling lantang dalam penentangan mereka. 

Akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia dari awal lagi telah membongkar dan memainkan isu larangan ke atas pekerja wanita bertudung di hotel bagi membetulkan ketidakadilan ini. Awang melihat ini bukan sekadar soal diskriminasi terhadap pekerja Islam bahkan wanita yang seharusnya dimartabatkan sumbangan mereka dalam sektor perhotelan. 

Syukur,  muafakat semua pihak tanpa mengira agama telah memperlihatkan kejayaan awal. Namun perjuangan menentang diskriminasi itu masih panjang dan berliku. Sebanyak 28 buah hotel masih berdegil meskipun telah diberi peringatan berulang kali. 

Awang berharap tekanan dapat diperhebatkan termasuk menyenaraikan nama hotel berkenaan selain pemantauan berkala. Seandainya tiada perubahan, kempen memboikot wajar diteruskan sebagaimana cadangan pihak tertentu. Ini meliputi majlis dan acara anjuran kerajaan, tidak menginap dan makan seperti majlis berbuka puasa. Kuasa di tangan pengguna. 

Hotel-hotel seperti itu sangat mengharapkan sokongan pelanggan Islam termasuk kalangan pelancong dan tetamu Arab tetapi mengamalkan diskriminasi. Maka selagi isu ini tidak selesai maka teruskan bertindak sehingga mencapai impak paling maksimum. 


FAS, Azmin, bola...
Bulan lalu, Awang mengulas tentang nasib pasukan bola sepak Selangor yang menjadi mangsa politik jelek. Antara isu pokoknya Persatuan Bola Sepak Selangor ( FAS) terpaksa mengemis mencari  stadium selepas tidak dibenarkan menggunakan Stadium Shah Alam iaitu stadium utama di negeri itu. 

FAS bukan sahaja dinafikan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri pimpinan Azmin Ali malah dipersulitkan untuk mencari gelanggang di negeri itu. Namun Awang teruja melihat FAS yang diterajui Subahan Kamal tidak berputus asa meskipun berdepan dengan banyak halangan. Nampaknya cubaan menggugat Selangor yang telah 33 kali menjuarai Piala Malaysia oleh Azmin dan pihak tertentu, menjadikan FAS lebih cekal. 

Sebelum pun musim kejohanan Liga Malaysia bermula Selangor atau dikenali dengan jolokan Red Giants telah dilihat sebagai ‘juara’ di kaca mata peminat. Ia sudah dilihat kemenangan mengatasi elitis. Cabaran dan ketabahan FAS melayakkan kisah mereka dijadikan bahan untuk filem dokumentari di History Channel bagi dijadikan renungan, iktibar mahupun motivasi. 

Walaupun FAS sentiasa ditohmah dan diberi tafsiran serong oleh Azmin, rakyat dan peminat Selangor tahu menilai yang mana intan dan yang mana arang. Sebab itu ramai peminat termasuk Badan Bertindak
Penyokong Selangor membantah kerajaan negeri dan mahu Stadium Shah Alam tetap dijadikan gelanggang FAS bukannya stadium asing seperti Stadium Kuala Lumpur di Cheras. 

Asasnya pada Awang mudah, apabila rakyat merasakan FAS tidak mendapat haknya di Stadium Shah Alam, ia bermakna kerajaan negeri membelakangkan kepentingan dan tidak sensitif kepada denyut nadi rakyat.

Tiada negeri lain memperlakukan persatuan dan pasukan bola sepak negerinya sedemikian. Jangan lupa Stadium Shah Alam adalah milik rakyat Selangor, bukannya  milik Azmin. 


Mukhriz dan maaf
Walaupun menerima bantahan pelbagai pihak kerana mengaku sebagai rakyat Brunei (kononnya kerana malu dengan imej buruk Malaysia di luar negara), Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Mukhriz  Mahathir masih belum memohon maaf. 

Awang percaya permohonan maaf daripada seorang pemimpin seperti beliau boleh meredakan keadaan. Pemimpin dinilai dengan sikap budiman dan mengambil tanggungjawab terhadap apa sahaja keterlanjuran.

Apatah lagi perbuatan seseorang pemimpin mengaku sebagai rakyat asing hanya kerana persepsi (yang antara lain disebabkan gerakan sabotaj pembangkang) adalah amat serius. 

Di negara-negara lain, pemimpin sedemikian bukan sahaja akan dicemuh malah ditolak oleh rakyat kerana menghina negaranya sendiri. Sedangkan Mukhriz sepatutnya mencerminkan pemimpin yang kental jati diri dan patriotisme walau apa pun cabarannya mahupun berbeza aliran politik. 

Awang ingin bertanya apakah rakyat Malaysia tidak berhak menerima permohonan maaf daripada Mukhriz berhubung isu itu. Juga kegagalan untuk memohon maaf akan menjadikan isu itu tiada kesudahan dan pasti meninggalkan parut buat rakyat Malaysia. 


Bebas dera?
Kejadian seorang budak perempuan didera sehingga mati di Port Dickson baru-baru ini merentap perasaan Awang. Siasatan awal mendapati, Aina Nabihah, 9 tahun menjadi mangsa dera bapanya sendiri. Dia kerap dikasari malah ditendang dan dipijak sehingga terkencing - tidak berperikemanusiaan dan kejam. 

Suatu ketika dulu Aina pernah didera tetapi tiada langkah diambil  untuk menyelamatkannya sehingga ia berulang dengan lebih dahsyat. Akhirnya Aina tanpa berdaya menemui ajalnya. Kejadian menggemparkan itu satu lagi kisah sedih akibat gejala dera di negara ini. 

Harapan demi harapan agar kes-kes dera sebelum ini sebagai terpencil dan tidak berulang, tidak kesampaian. Impian untuk melihat persekitaran bebas dera - juga tinggal sekadar impian. 

Perbuatan dera seperti tiada kesudahan dan betapa kita tidak mengambil iktibar, sebenarnya inilah tragedi buat rakyat Malaysia. Apa sudah jadi, silapnya di mana dan inikah masyarakat prihatin yang mahu kita bina? 

Buat Allahyarham Aina,  semoga rohnya dicucuri rahmat. Awang mahu berdoa lagi, biarlah ia menjadi kes dera maut yang terakhir. Al-Fatihah. 


Bukalah mata 
Satu lagi kisah anak kecil menjadi mangsa mendapat perhatian minggu ini. Bagaikan tidak percaya apabila seorang lelaki berusia 46 tahun melakukan sumbang mahram ke atas anak saudaranya yang kini berusia 13 tahun di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur. 

Perbuatan terkutuk itu berlarutan sejak lapan tahun lalu ketika kanak-kanak perempuan itu berusia lima tahun. Lelaki tersebut telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang dengan 334 pertuduhan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan. Bukan itu sahaja, tertuduh akan dihadapkan ke mahkamah yang sama esok  bagi baki 230 pertuduhan melibatkan dua lagi mangsa. Sambil geleng kepala, perasaan Awang berbaur antara marah, kesal dan simpati. 

Apa jenis manusia yang  tergamak melakukan jenayah seksual itu terhadap anak kecil. Awang berharap tertuduh, jika didapati bersalah, akan menerima hukuman paling keras sebagai pengajaran buat semua. 

Kes terbaru ini terbongkar selepas rakyat Malaysia dikejutkan dengan kes seorang duda yang menghadapi 626 pertuduhan atas perbuatan rogol dan liwat anak perempuannya berusia 15 tahun pada Ogos tahun lalu.

Sayu hati Awang mengenangkan nasib  malang menimpa kedua-dua mangsa itu. 

Sepatutnya bapa dan bapa saudara melindungi anak atau anak saudara, bukannya memusnahkan hidup mereka. Nampaknya jumlah pertuduhan begitu banyak sehingga ratusan bukan lagi luar biasa di negara ini. 

Cabarannya apa lagi yang kita tidak tahu mengenai kes-kes seumpama itu, yang dipercayai sebahagiannya tidak dilaporkan. Bukalah jiwa dan mata kita semua!


Iklan ah long
Selagi pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak bertindak tegas secara konsisten ke atas iklan haram ah long yang berleluasa, selagi itulah isu tersebut tiada kesudahannya. 

Sebagai pengamal media dan rakyat Malaysia, Awang sangat terganggu dengan kegagalan PBT menangani masalah tersebut seolah-olah ah long lebih berpengaruh dan berkuasa berbanding PBT. 

Dalam ruangan ini, sudah kerap kali dibangkitkan mengenainya sebagaimana sekian banyak laporan media namun bagai mencurah air di daun keladi. 

Bukannya susah untuk mengesan ah long-ah long atau ceti haram yang menampal iklan haram berdasarkan nombor telefon yang tertera. Isunya adalah malas, kurang berkesan dan jika bertindak pun, hangat-hangat tahi ayam. 

Akibatnya bukan sahaja persekitaran kita kelihatan kotor malah menjejaskan imej Malaysia di kaca mata pelancong, ekspatriat dan diplomat. 

Terbaru Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Tan Kok Liang terpaksa merayu PBT bertindak kerana khuatir pelancong takut dengan persekitaran yang mereka lihat iaitu iklan ah long di merata-rata tempat. 

Awang setuju kerana ia boleh membawa gambaran seolah-olah Malaysia menghadapi masalah ah long dan sindiket ceti haram yang serius. Pernah Awang terbaca  dalam komen Facebook yang antara lain secara sinikal menyatakan Kuala Lumpur dan sekitarnya bagaikan dimiliki oleh sindiket ah long. 

Persoalannya apakah PBT sudah disogok atau masih tidur lena - melainkan ghairah bila mahu mengutip cukai serta bayaran parkir?