Lebih meruntun hati rakyat Malaysia apabila membaca surat Thaqif yang merayu untuk keluar daripada pusat tahfiz tersebut kerana tidak lagi dapat menanggung penderitaan. Thaqif meninggal dunia setelah koma beberapa hari dan polis mengklasifikasikan kematiannya sebagai kes bunuh. Menurut laporan media, kedua-dua kaki pelajar itu yang lebam dan alami darah beku terpaksa dipotong akibat selalu dipukul dengan paip getah.

Awang amat bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga Thaqif. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Awang turut tersentuh dengan keredaan mereka termasuk memaafkan individu yang menyebabkan kematian Thaqif. 

Sementara siasatan dijalankan dan pembantu warden itu juga sudah ditahan reman, semua pihak diminta bertenang dan tidak membuat andaian melulu. 

Apa pun, insiden itu sudah cukup membuka mata kita semua betapa perhatian besar perlu diberi kepada pusat tahfiz persendirian. Ini meliputi pengawasan pihak berkuasa, isu tenaga pengajar, gejala dera (selalu diperkatakan) dan keprihatinan ibu bapa. 

Tragedi menimpa Thaqif bukan sekadar untuk diratapi, lebih daripada itu untuk diambil iktibar oleh semua pihak. Semoga selepas ini tiada lagi korban selain Thaqif. Al-Fatihah.


HADI DAN MUSUH ISLAM
Muktamar Agung Pas memberi isyarat jelas bahawa parti itu meletakkan Pakatan Harapan yang diketuai DAP sebagai musuh utama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). 

Penegasan Presidennya, Hadi Awang (sehari sebelum muktamar) yang menyifatkan DAP dan sekutunya sebagai ancaman kepada Islam, cukup keras. Ucapan perasmian beliau kelmarin juga hampir sama nadanya - menyerang balas Pakatan Harapan. 

Kelantangan Hadi itu dilihat sebagai semboyan perang buat ahli-ahli dan para penyokong menjelang PRU-14 nanti. 

Lebih-lebih lagi Hadi baru sahaja dipilih semula sebagai Presiden Pas (menang tanpa bertanding) dan mencapai kemenangan moral selepas pembentangan RUU 335 di Dewan Rakyat baru-baru ini. 

Bukan sahaja DAP, PAN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diisytiharkan musuh, Dewan Ulama dan Dewan Pemuda turut meluluskan usul menamatkan hubungan dengan PKR. 

Muktamar itu juga menyaksikan para perwakilan Pas membidas kerajaan DAP Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali. 

Awang lihat perkembangan terbaharu ini petanda buruk buat Pakatan Harapan. Segala penghinaan, permusuhan dan pengkhianatan oleh Pakatan Harapan diketuai pemimpin de facto DAP, Lim Kit Siang terhadap Pas ditentang habis-habisan, yang akan mencapai kemuncaknya pada PRU-14. Jangan diambil mudah Hadi dan Pas, senyuman boleh bertukar amukan.


ADMIN WHATSAPP
Heboh diperkatakan ramai apabila tersiar laporan bahawa Admin (pentadbir) kumpulan WhatsApp boleh dikenakan hukuman penjara sekiranya gagal membendung penyebaran maklumat palsu dalam kalangan ahlinya. 

Ini berikutan kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Jailani Johari bahawa tindakan undang-undang sedia ada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh dipertimbangkan ke atas mereka.

Jika langkah itu diambil, Malaysia mengikut jejak daerah Varanasi di India yang menguat kuasa hukuman penjara terhadap pentadbir kumpulan WhatsApp yang gagal membendung penyebaran maklumat palsu. 

Awang hanya senyum mengikut 1001 macam reaksi yang berbaur serius, santai mahupun dijadikan bahan jenaka. 

Ramai yang menyokong hukuman dikenakan dan mahu ia dilaksanakan segera, yang Awang juga setuju. Tidak kurang yang membantah kerana bukan mudah mengawal komen ahli. 

Mesejnya, isu tersebut mendapat perhatian meluas para pengguna telefon bimbit. Ia umpama kejutan baharu. Pentadbir mahupun ahli kumpulan WhatsApp perlu lebih berhati-hati dan bertanggungjawab agar tidak menyebarkan maklumat palsu, fitnah dan hasutan terutama menyentuh keselamatan serta ketenteraman awam. Sebenarnya mudah sahaja. Kawallah minda, nafsu dan jari anda. 


KORANG ...
Entah kenapa selebriti tanah air Neelofa Mohd. Noor yang menjadi juri sebuah program realiti televisyen suka sangat menggunakan istilah 'korang.' 

Awang terganggu apabila Neelofa menggunakan bahasa pasar bagi merujuk kumpulan peserta setiap kali membuat ulasan. Mengapa tidak menyebut anda atau anda semua berbanding 'korang'? 

Pada masa yang sama, artis popular Indonesia, Luna Maya yang turut menjadi juri menggunakan bahasa yang lebih sesuai, kemas dan enak didengar. Di mana silapnya? Sepatutnya artis kita menjadi contoh dalam menggunakan Bahasa Kebangsaan yang betul. Stesen televisyen perlu melantik penasihat bahasa kerana bahasa mencerminkan jiwa dan jati diri bangsa. Betulkanlah keadaan, apa tunggu lagi.
Singa atau tikus?

Bekas Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan pertama selepas beliau dipanggil memberi keterangan di hadapan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat skandal kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam aktiviti spekulasi mata wang pada awal 1990-an. Anwar tidak mengaitkan bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad sebagaimana puluhan dakwaannya berhubung kerugian tersebut sebelum ini. Beliau hanya menuding jari kepada bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Nor Mohamed Yakcop. 

Itulah Anwar, sentiasa berubah-ubah untuk menjaga kepentingan politiknya. Namun apa yang jelas daripada kenyataan beliau, Anwar mengesahkan bahawa sememangnya berlaku kerugian besar iaitu antara RM15 bilion dan RM30 bilion.

Awang tidak sabar mahu menanti penampilan Penasihat DAP, Lim Kit Siang. Sebelum berbaik dengan Dr. Mahathir, beliau sentiasa lantang mendesak agar dijalankan siasatan ke atas skandal tersebut. Malah DAP mahu memenjarakan Dr. Mahathir jika mereka berkuasa. Tunggulah sama ada Kit Siang benar-benar singa atau tikus ?


RAFIZI - ADAM
Macam tidak percaya apabila Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa Ketua Angkatan Muda PKR Ampang, Adam Rosly yang terpalit skandal rasuah, sebagai bekas ahli Pas. 

Awang tafsir Rafizi mahu meletakkan beban kesalahan kepada Pas yang kononnya menjadi punca kepada tabiat salah laku Adam. Aneh, kekayaan yang diperoleh Adam ketika bersama PKR, Pas pula yang dibusukkan. 

Semudah itu beliau mahu melepaskan tanggungjawab PKR terhadap Adam, 28, yang didakwa mempunyai kekayaan luar biasa dan didakwa di mahkamah baru-baru ini. 

Pada Awang, biar apa pun helah Rafizi, PKR tidak boleh lepas tangan dan tidak akan dapat mencuci kekotoran PKR Selangor pimpinan Menteri Besar, Azman Ali. Komen dangkal Rafizi itu seperti cuba menutup misteri daripada kes Adam yang bakal terbongkar. Bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru.


ZAIRIL BOHONG?
Orang ramai sedang menanti bilakah Ahli Parlimen DAP, Zairil Khir dan aktivis parti itu, Dyana Sofya mahu membuat aduan polis berhubung foto intim mereka yang tular. 

Setakat ini kedua-duanya belum berbuat demikian walaupun sebelum ini Zairil mendakwa foto itu palsu dan mahu bertindak.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar mengesahkan pihak polis tidak menerima sebarang aduan daripada Zairil mahupun Dyana. 

Awang tertanya-tanya apakah foto itu sebenarnya tulen sehingga mereka berdua tidak mahu siasatan dijalankan. Dyana dalam reaksinya tidak menafikan foto intim itu dan sekadar merungut. 

Persoalan timbul sekiranya perbuatan sumbang yang terakam menerusi foto itu benar, bererti Zairil berbohong untuk selamatkan dirinya. Maka beliau perlu memohon maaf bukan sahaja kepada UMNO malah rakyat Malaysia. 


DISKRIMINASI
Walaupun telah banyak kali dibangkitkan, isu diskriminasi majikan sektor swasta terhadap golongan muda bumiputera masih ketara. Pelbagai alasan digunakan bagi mewajarkan kecenderungan untuk mengetepikan pemohon pekerjaan daripada kalangan bumiputera.

Salah satu kriteria yang masih digunakan secara terbuka mahupun tertutup adalah kemahiran dalam bahasa Mandarin. Lebih menyedihkan, syarikat yang mendapat kontrak dan bisnes daripada kerajaan turut berbuat demikian. Sudah sampai masanya kerajaan perlu campur tangan menangani perkara tersebut dengan formula terbaik sebelum keadaan lebih parah.