Awang sekadar senyum kerana sudah menjangkakan hal ini. Berjanji dan membakar sentimen rakyat ketika berkempen pilihan raya mudah tetapi melaksanakan janji perlukan kesungguhan dan kebolehan. Sudah tentu rakyat hampa sebagaimana reaksi menerusi media sosial dan cakap-cakap di kedai kopi. 

Maka banyak komen sinikal yang menyatakan kerajaan Pakatan Harapan memerlukan 1,000 hari pula, yang itu pun belum tentu ada jaminannya. Antara inisiatif yang ditangguhkan ‘sehingga kedudukan ekonomi mengizinkan’ adalah subsidi petrol bersasar, gaji minimum RM1,500, penangguhan bayaran balik PTPTN, caruman KWSP suri rumah selain beberapa lagi, antaranya pemansuhan tol.

Dalam semua kenyataan pemimpin Pakatan Harapan berhubung penangguhan itu, tidak silap Awang, tiada yang memohon maaf bagi meredakan harapan menggunung rakyat. Di sebalik itu, lagi mengejutkan kerajaan mewujudkan Tabung Harapan Malaysia dengan alasan bagi membantu meringankan beban hutang negara. Walaupun mendapat sambutan sebahagian rakyat, suara menolak dan sinikal lebih meluas. Awang boleh faham sentimen rakyat yang sebenarnya lebih mengharapkan kerajaan berikhtiar dan menggunakan kebolehannya terlebih dahulu daripada mengambil langkah tersebut. 
Sekarang di banyak tempat termasuk di Lapangan Terbang Bangkok sudah ada yang membawa tong meminta derma atas nama Tabung Harapan Malaysia. 

Walaupun kerajaan menggunakan strategi meraih simpati dan mahu menggambarkan betapa teruknya hutang negara, ia telah memberi mesej yang salah dan celaru. Daripada rakyat hinggalah diplomat dan pelabur asing, tabung tersebut dilihat bukan langkah terbaik dan disifatkan sebagai harapan suram. Agensi-agensi penarafan dan penganalisis turut melahirkan kebimbangan dengan pendekatan kerajaan Malaysia. 

Antara komen: “negara yang pernah bankrap seperti Greece tidak pernah melancarkan tabung seumpama itu”. Persoalan juga timbul mengapa para pemimpin dan mereka yang kaya raya dalam Pakatan Harapan tidak menyumbang terlebih dahulu kepada tabung itu sebagaimana kenyataan Penasihat Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Kua Kia Soong. 

Apa pun Awang mahu mengambil semangat memberi peluang kepada kerajaan yang dipilih rakyat untuk membuktikan kemampun hari-hari mendatang. Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad dan Kabinetnya mempunyai tugas amat berat selepas ini untuk memenangi hati rakyat, yang seharusnya dilakukan dengan cara elegan. Namun Awang melihat sebagai pemimpin, Dr. Mahathir tahu menggunakan kuasanya dan sanggup mengambil risiko termasuk dikritik. Pemimpin yang realis akan menggunakan kuasa tanpa teragak-agak untuk mengukuhkan kuasa di tangan. Suka atau tidak, itulah Mahathir.


UMNO dan LDP
Pencalonan beberapa pemimpin UMNO bagi pertandingan jawatan utama menjelang pemilihan parti itu menarik perhatian Awang. 

Mendahului senarai, Naib Presiden UMNO, Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas presiden bagi bertanding jawatan nombor satu dalam parti itu. 

Awang yakin Zahid pilihan terbaik pada masa ini untuk menerajui UMNO meneruskan cabaran pasca PRU-14 yang pasti getir. 

Bagi jawatan Timbalan Presiden, penawaran diri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Hasan mendapat reaksi positif. 

Setakat semalam belum ada pengumuman atau pengesahan Naib Presiden, Hishammuddin Tun Hussein yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden, bertanding jawatan nombor dua dalam parti tersebut. Tidak kurang menarik perhatian adalah pengumuman beberapa pemimpin lain iaitu Khairy Jamaluddin bagi jawatan Naib Presiden. 

Khairy dilihat mempunyai potensi untuk menang jawatan tersebut sebagai wakil pemimpin pelapis. Jawatan yang dijangka panas adalah Ketua Pemuda dengan penawaran diri Naib Ketua Pemuda, Khairul Azwan  Harun dan tokoh muda Dr. Asyraf Wajdi Dusuki serta beberapa calon lain termasuk pemimpin badan bukan kerajaan. Langkah UMNO membenarkan semua jawatan dipertandingkan kali ini dilihat menyuburkan demokrasi
dalam parti itu. 

Awang teruja untuk mengetahui siapa lagi yang akan bertanding jawatan utama parti tersebut yang masih belum pulih daripada kejutan PRU-14. 

Keputusan PRU-14  menyaksikan kerajaan Barisan Nasional (BN) diterajui UMNO buat pertama kali hilang kuasa sebagai Kerajaan Pusat dan tumbang di banyak negeri. 

Ramai meramalkan UMNO sukar untuk bangkit semula namun tiada yang mustahil. Yang penting rakyat terutama orang Melayu mahu melihat kesungguhan UMNO untuk berubah dan tidak mengalah biarpun sebagai pembangkang. 

Belajarlah sejarah Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun. Parti itu yang memerintah sejak tahun 1955 kecundang pada pilihan raya  2009 kepada Parti Demokratik Jepun (DPJ). Maka ramai penganalisis menyifatkan era LDP sudah berakhir dan bakal berkubur. Namun selepas tiga tahun iaitu pada pilihan raya 2012, LDP menang dan kembali berkuasa. 

Dalam senario pasca PRU-14, BN  masih merupakan parti yang menang paling banyak kerusi Parlimen iaitu 79.  Fakta yang lebih penting 46.29 peratus pengundi Melayu menyokong BN berbanding 25.47 peratus
Pakatan Harapan dan 28.14 peratus Pas. Sebab itu Awang yakin BN dan UMNO akan menjadi pilihan utama pada PRU-15 di sebalik cabaran perubahan landskap politik. 

Maka pemilihan UMNO 2018 antara titik tolak kepada kebangkitan itu dengan keyakinan baharu. Lihatlah nanti. 

MCA gagal?
TIMBALAN Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong tidak sewajarnya melompat  menyalahkan UMNO atas kekalahan pada PRU-14. 

Awang berpendapat parti itu perlu memikul sama tanggungjawab terutama kegagalan menarik sokongan kaum Cina sejak PRU-13 lagi. 

Maka kononnya  era MCA menanggung kesalahan UMNO sudah tamat seperti kenyataan Kah Siong, adalah percubaan mahu mencuci tangan atas kegagalan parti itu. 

Dalam hubungan ini Awang setuju dengan reaksi Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa bahawa MCA yang sebenarnya lumpuh dan hilang upaya sejak PRU-13. 

Era mengendong  MCA juga telah berlalu, kata Annuar. Keyakinan MCA akan dapat meraih sokongan 25  – 30 peratus pengundi  Cina pada PRU-14, sama sekali meleset. 

Ada benarnya. Pada PRU-14, majoriti ahli MCA tidak mengundi parti itu dan Kah Siong sendiri menang di Air Itam atas bantuan penyokong UMNO. 
Jadi ambillah iktibar sambil mencermin diri. 

Sebak Mat Sabu
Ramai yang sinikal apabila membaca laporan Menteri Pertahanan, Mohamad atau Mat Sabu sebak mengenangkan pengorbanan tentera di negara ini. 

Reaksi seumpama itu sukar dibendung kerana beliau pernah mencetuskan kontroversi melalui  kenyataannya menyifatkan pengganas komunis sebagai wira, yang mengundang kemarahan masyarakat. 

Awang tidaklah mahu terikat semata-mata melihat ke belakang kerana beliau wajar diberi peluang selepas ditakdirkan menjadi Menteri Pertahanan. 

Inilah kesempatan terbaik bagi Mat Sabu menebus keterlanjurannya dengan mengiktiraf sejarah bahawa tentera dan polis adalah wira sebenar, bukan pengganas komunis. 

Sekiranya mahu menampakkan beliau berjiwa besar, mohonlah maaf secara terbuka, yang tiada kerugiannya. Malah Mat Sabu boleh memancing keyakinan baharu masyarakat khususnya warga tentera. Juga yang tidak kurang penting, agar kehadirannya menerajui kementerian itu kelihatan tiada cacat celanya. 


Sudah-sudahlah
Kemelut perebutan bagi jawatan Menteri Besar Perlis nampaknya belum berakhir walaupun selepas pelantikan Azlan Man. 

Tanda-tanda yang ia dapat diselesaikan beberapa  hari lalu bertukar kembali kepada situasi rumit. Ini selepas terdapat tuntutan baharu daripada kumpulan yang dipimpin oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Shahidan Kassim dan Setiausaha, Zahidi Zainul Abidin. 

Mereka tetap menolak Azlan sebagai Menteri Besar meskipun  telah diperkenan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Awang berharap kumpulan tersebut berhenti daripada memberi tekanan kepada baginda sebaliknya akur dan melihat ke hadapan. Janganlah terperangkap semata-mata dengan isu Azlan tidak mendapat sokongan majoriti kerana ia tidak akan membantu menyelesaikan kebuntuan. 

Awang juga yakin tentu ada formula penyelesaian terbaik tanpa perlu membentuk kerajaan campuran apatah lagi mengadakan semula pilihan raya yang hanya membazirkan wang dan masa. Sepatutnya inilah masa untuk berkhidmat atas mandat yang diperoleh, bukannya untuk berbalah. Sudah, sudahlah... tidak malukah kepada rakyat?


Kaji semula
Awang setuju dengan saranan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M Mohamed Idris agar kerajaan  Pulau Pinang menangguhkan atau menilai semula projek-projek mega di negeri itu.

Antara projek berkenaan adalah Pelan Induk Pengangkutan (PIP) yang dianggarkan menelan kos RM46 bilion. Sudah menjadi bahan sinikal ramai betapa kos projek itu yang meliputi pembinaan terowong dasar laut adalah terlalu mahal. 

Projek pembinaan jalan dari Teluk Bahang ke Tanjung Bungah sepanjang 10.5 kilometer  dengan anggaran kos RM1 bilion misalnya adalah projek jalan yang termahal di dunia. 

Memandangkan Kerajaan Pusat membatalkan beberapa projek mega ke arah menjimatkan wang negara, mengapa Pulau Pinang tidak mengambil langkah yang sama. Apatah lagi kesemua projek itu bukan kategori mendesak bahkan mendapat bantahan rakyat. 

Sekiranya gagal berbuat demikian ia memberikan isyarat yang salah kepada rakyat Malaysia. Akhirnya ini dilihat soal pilih bulu dan mendahulukan dendam.