Jika diumpamakan sebuah pentas teater, Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak telah memberikan persembahan terbaik dalam pembentangan Bajet 2018.

Daripada keceriaan yang mewarnai ucapannya, sinikal terhadap Pakatan Harapan hinggalah kepada kandungan Bajet 2018 yang begitu inklusif dan holistik.

Apatah lagi reaksi pelbagai pihak begitu positif terutama terhadap inisiatif baharu untuk membela wanita, Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM ), BR1M diteruskan dan pelbagai bantuan kewangan.

Syukur, tahniah dan terbaik. Itulah rumusan Awang terhadap bajet tersebut, yang Najib sifatkan sebagai ibu segala bajet. Sememangnya jelas ia terbaik dalam konteks prihatin rakyat - wanita, penjawat awam, orang muda, bayi, petani, nelayan, peneroka, golongan OKU, guru, pasukan keselamatan, graduan, ketua kampung, warga emas, imam, bilal, pesara dan lain-lain.

Di sebalik cabaran ekonomi dunia, Malaysia masih mampu menyediakan bajet realistik yang pemurah buat semua golongan rakyat, juga menjadi pemangkin kepada ekonomi negara. Ketika bajet kebanyakan negara lebih mengikat perut, bajet kita memperlihatkan keberanian politik untuk berkongsi kemakmuran negara bersama rakyat sebaik-baiknya.

Awang bersyukur dengan segala komitmen kerajaan untuk menangani kos sara hidup rakyat seperti pengurangan cukai individu golongan pertengahan, memansuhkan tiga tol, diskaun dan kelonggaran kepada peminjam PTPTN dan banyak lagi. Dalam mendahulukan rakyat, ternyata rekod Najib tidak boleh dinafikan, beliau sentiasa di hadapan.

Paling Awang teruja adalah ADAM50 iaitu sumbangan RM200 bagi setiap bayi yang lahir, satu lagi inovasi bagi memupuk budaya menabung seawal usia. Inilah Malaysia baharu yang dirintis untuk kepentingan generasi masa depan.

Begitu juga dengan kebenaran kepada majikan mengurus sendiri pengambilan amah yang selama ini dikuasai kalangan ejen dengan kos luar biasa mahalnya sehingga mencecah RM18,000 seorang.

Najib telah menyelamatkan keadaan daripda putaran ganas yang menguntungkan ejen. Maka majikan isi rumah begitu lega dan berterima kasih. Pembentangan tersebut turut menyaksikan pengiktirafan Najib buat kali kedua kepada golongan yang berjasa dan cemerlang termasuk atlet Sukan Sea KL 2017 yang Malaysia muncul juara keseluruhan.

Yang lebih ketara adalah keyakinan beliau sehingga menguasai suasana pembentangan dengan baik, yang sama baik isi bajet tersebut.

Maka terserlah sekali lagi kepimpinan ekonomi di bawah Najib yang telah terbukti berjaya selain beliau sendiri sudah teruji sebagai pemimpin yang lasak, cekal dan berwawasan. Ternyata Bajet 2018 cukup terkesan dan memberi impak kepada rakyat berbanding bajet bayangan Pakatan Harapan yang menjadi bahan sindiran kerana berserabut, tidak realistik dan tiada wibawa.

Manakan tidak, inilah parti yang pemimpinnya ghairah melakukan sabotaj ekonomi dan asyik meramalkan negara akan bankrap tetapi ternyata ia pembohongan yang makan diri. Pada masa sama, Najib terpaksa membetulkan pelbagai masalah legasi pengurusan ekonomi lampau terutama kapitalisme kroni.

Memandangkan Bajet 2018 merupakan yang terakhir sebelum PRU-14 yang dijangka awal tahun depan, Awang lihat ia satu lagi petanda buruk buat Pakatan Harapan. Senyuman, keceriaan dan keyakinan Najib adalah mesej kuat buat semua. Bajet 2018 bukan sekadar bajet.

 

Bahasa demi negara
Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet, Ipoh, Isnin lepas, mempunyai signifikan besar kepada usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan dalam erti kata sebenar.
Baginda antara lain mengingatkan betapa pentingnya penguasaan Bahasa Kebangsaan dalam kalangan pelajar sekolah vernakular dalam memupuk perpaduan dan penyatuan semua kaum di negara ini.
* Sekolah vernakular  sewajibnya menunjukkan komitmen kepada kerajaan dan rakyat di negara ini, bersedia mengambil tanggungjawab memastikan setiap pelajar yang mengikuti persekolahan di sekolah vernakular, berupaya menguasai bahasa Malaysia  dengan tahap kefasihan yang setanding atau lebih  tinggi daripada pelajar di sekolah kebangsaan.
* Bahasa Kebangsaan negara adalah identiti kepada sesebuah negara bangsa. Adalah janggal dan ironis jika terdapat seseorang bertaraf warganegara Malaysia, dengan mendapat segala nikmat dan keistimewaan seseorang warganegara tetapi tidak boleh memahami, tidak boleh bertutur, tidak boleh menulis dan tidak boleh membaca di dalam bahasa kebangsaan negaranya.
Itulah antara petikan titah Sultan Nazrin yang begitu kuat hujahnya menepati asas-asas kenegaraan.
 Awang menjunjung kasih kepada baginda atas komitmen dan keyakinan  membangkitkan isu-isu kritikal yang perlu perhatian, penambahbaikkan mahupun pembetulan.
Ternyata Sultan Nazrin konsisten dalam menyuarakan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, perpaduan dan jati diri.
Ini bukan kali pertama baginda menyentuh soal mendaulatkan  Bahasa Kebangsaan dalam kalangan semua kaum termasuk sekolah vernakular. Awang sangat berharap sekolah vernakular dan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan menyahut peringatan baginda bersungguh-sungguh.
Jadikanlah ia sebagai agenda mendesak untuk direalisasikan dan membuktikan sekolah vernakular juga pemangkin jati diri bangsa Malaysia. Lebih menganggu fikiran Awang terdapat 30 peratus pelajar SJKC yang berhenti sekolah kerana gagal menguasai Bahasa Malaysia.
Di negara lain, masalah ini tidak berlaku kerana sistem sekolah satu aliran mendaulatkan bahasa Kebangsaan mereka. Inilah antara penyakit kita yang belum terawat dan mungkin parah pada masa depan.
Jika kita rakyat Malaysia tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan, siapa lagi? Kepentingan nasional harus mengatasi kepentingan kaum yang sempit.  Terdapat begitu ramai buruh asing di negara ini teruja dan  cepat menguasai bahasa kebangsaan, mengapa tidak warga negara sendiri?
 

Keangkuhan...
Awang turut tertarik dengan komen Ahli Parlimen DAP Dr. Tan Seng Giaw bertajuk Tanah Runtuh di Lereng Bukit di ruangan  Twitternya, seperti yang dipetik oleh Perdana Menteri ketika pembentangan Bajet 2018 kelmarin.
Ibu jaga anak kan sakit,
Darah tubuh beban kesihatan,
Pemaju bina leretan bukit,
Tanah runtuh korban insan.

Orang yang paling perlu buka mata dengan nukilan ratapan Seng Giaw ini adalah Ketua Menteri, Lim Guan Eng sendiri. Dalam kejadian itu, 11 pekerja mati tertimbus, yang mencetuskan bantahan pelbagai pihak terutama penduduk semua kaum dan persatuan alam sekitar. Isu ancaman alam sekitar terutama kerakusan pembangunan di bukit telah lama disuarakan tetapi tidak diendahkan kerana kedegilan kerajaan negeri.
 Malah arahan dan peraturan Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut diingkari, yang boleh disifatkan jenayah alam sekitar.  ADUN DAP seperti Teh Yee Chiu  dan ahli parti turut mengkritik Guan Eng. Nampaknya Guan Eng perlu menerima tunjuk ajar bagaimana mentadbir negeri sebelum dilanda mudarat lebih besar.
Alangkah baiknya juga jika Guan Eng mempunyai kehalusan jiwa,  budi pekerti tinggi dan kematangan sebagaimana Seng Giaw. Bukan sebaliknya keangkuhan...
 

Mesej rakyat Jepun
Kemenangan besar Parti Liberal Demokratik pimpinan Perdana Menteri Jepun  Shinzo Abe pada pilihan raya negara itu baru-baru ini memberikan mesej jelas untuk renungan kita.
Pengurusan ekonomi yang baik menerusi polisi dikenali Abenomics, kestabilan politik, rekod pencapaian cemerlang dan dasar luar yang realistik adalah faktor kejayaan Abe, 63. Sudah tentu juga keyakinan rakyat terhadap beliau dalam menghadapi ancaman Korea Utara memberi kelebihan.
 Apa yang Awang amati, rakyat Jepun memilih Abe atas asas merit dan pendekatan kesederhanaan, yang bermakna menolak sentimen apatah lagi politik ekstrem. Parti Liberal Demokratik memenangi 310 daripada 465 kerusi Parlimen, membolehkan Abe  mendapatkan mandat dua pertiga. Kemenangan itu memungkinkan Abe menjadi Perdana Menteri Jepun paling lama iaitu sejak dipilih 2012. Apa pun, akhirnya  rakyat Jepun menetapkan pendirian terbaik buat kepentingan dan masa depan negara itu. Tahniah.

 

PHM, Kebangkitan
Walaupun gagal menjuarai Piala Asia 2017  di Dhaka, pasukan hoki lelaki Malaysia, begitu membanggakan.
 Pasukan kita tewas  tipis 1-2 kepada India dan muncul Naib Juara kejohanan tersebut. Ia merupakan pencapaian terbaik sejak kali pertama Piala Asia dipertandingkan di Pakistan pada 2007. Lebih manis Faizal Saari dinobatkan sebagai pemain terbaik dan penjaring terbanyak (tujuh gol) kejohanan.  
Awang menyertai rakyat negara ini mengucapkan syabas kepada barisan pemain, pasukan jurulatih diketuai Stephen Van Huizen dan Persatuan Hoki Malaysia (PHM) pimpinan Presidennya, Subahan Kamal. Kejayaan tersebut membuktikan PHM berada pada landasan yang betul dengan segala perancangan mencatatkan peningkatan besar.
Formula Subahan menjadi dan memberi harapan bahawa pasukan kita berpotensi untuk pergi lebih jauh. Awang lega kerana pasukan hoki sebagaimana pasukan  badminton negara masih mengekalkan reputasi bertaraf dunia. Walaupun adakalanya merosot namun sentiasa mampu bangkit.
Tidaklah merudum begitu lama sebagaimana nasib yang menimpa bola sepak dan sepak takraw.  Dengan kata lain pasukan hoki dan badminton kita masih ada kelas, yang kunci kejayaannya adalah pengurusan yang baik, tidak banyak bercakap, terbuka kepada kritikan dan berdaya juang tinggi demi maruah negara.
Kepada pasukan hoki ( Malaysia Tigers), teruskan kecemerlangan. Awang tabik.