Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

ANALISIS MINGGUAN - 26 FEBRUARI 2017

SAUDI-MALAYSIA
Muka surat depan Mingguan Malaysia hari ini memilih berita lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud sebagai tajuk utama.

Ia adalah dedikasi khas akhbar ini bagi mengalukan-alukan lawatan empat hari bermula hari ini, yang begitu bersejarah dan amat signifikan kepada hubungan Arab Saudi-Malaysia. 

Awang percaya kerjasama strategik dua hala yang sememangnya terjalin kukuh selama ini akan terlonjak memasuki fasa baharu menerusi lawatan Raja Salman. Faktor kepimpinan Perdana Menteri, Najib Tun Razak banyak mencorakkan senario yang disifatkan ramai pemerhati sebagai terbaik dalam sejarah hubungan Malaysia- Arab Saudi. 

Najib yang tersenarai antara pemimpin Islam berpengaruh di dunia, memainkan peranan signifikan dalam memperjuangkan kepentingan Islam termasuk isu-isu kritikal antaranya membela dan mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat serta terbaru menyelamatkan etnik Rohingya daripada kekejaman di Myanmar. 

Dijangka beberapa perjanjian akan dimeterai melibatkan kerjasama ekonomi, pembangunan dan urusan jemaah haji serta pertahanan. 

Sebagai orang Islam dan rakyat Malaysia, Awang mahu menzahirkan penghargaan tertinggi kepada kerajaan Arab Saudi atas sumbangan besar kepada pembangunan ummah dunia.

Peranan itu lebih ketara di bawah pemerintahan Raja Salman meskipun berdepan ancaman keganasan dan percaturan kuasa besar yang makin kompleks sifatnya. Kepada Malaysia, Arab Saudi paling dekat di hati. Selamat Datang.

 

BANGKAI GAJAH...
Kes pembunuhan Kim Jong-Nam iaitu abang kepada Presiden Korea Utara di KLIA2 pada 13 Februari lalu memasuki episod lebih mencabar sehingga membawa kepada hubungan diplomatik yang tegang. 

Sudahlah konspirasi pembunuhan di kaunter pendaftaran KLIA2 itu menggemparkan, reaksi kerajaan Korea Utara termasuk melalui kedutaannya di Malaysia, di luar jangkaan. Awang lihat ini suatu penghinaan selain pencerobohan terhadap kedaulatan negara kita yang tidak boleh diterima. 

Pendirian tegas Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak bahawa Malaysia bukan alat kuasa asing dan tidak akan tunduk, adalah mesej yang kuat dan jelas. Sememangnya amat mengejutkan melihat reaksi keterlaluan pihak Korea Utara yang kini menyalahkan Malaysia khususnya polis kita. Sedangkan dalam hal ini, Malaysia menjadi mangsa keadaan, terheret kepada konspirasi dan aktiviti perisikan dipercayai angkara negara komunis itu sendiri. 

Sepatutnya Korea Utara memohon maaf kepada Malaysia dan memberikan segala kerjasama penuh  kepada siasatan polis. 

Tindakan duta negara itu, Kang Chol yang berterusan menyalahkan Malaysia dan mempersoal pihak polis serta bedah siasat, adalah tindakan terdesak yang boleh ditafsir cuba menutup pekung sebenar. Bedah siasat mengesahkan Jong- Nam diracun (senjata kimia agen saraf VX) walaupun Kang Chol daripada awal berhelah puncanya bukan diracun tetapi sakit jantung. 

Pembabitan Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara di sini, Hyon Kwang-son dan seorang petugas syarikat penerbangan Korea Utara, Koryo Air yang diminta membantu siasatan, adalah petunjuk jelas. Setakat ini, kedua-duanya belum tampil untuk membantu siasatan polis. 

Awang setuju sangat apabila Menteri Pertahanan, Hishamuddin Tun Hussein melabelkan tindakan Kang Chol sebagai biadap. Kegagalan Korea Utara menjaga sensitiviti amat dikesalkan dan memburukkan lagi imej negara itu.

Ia turut mengakibatkan hubungan tegang yang terzahir antaranya Duta Malaysia di negara itu, Mohamad Nizan Mohamad diarah pulang dan Kang Chol dipanggil oleh Wisma Putra. Begitu juga permintaan Malaysia agar perlawanan bola sepak dengan Korea Utara pada 28 Mac bagi kelayakan Piala Asia 2019 diadakan di padang berkecuali, bukannya di Pyongyang.

Dengan kemelut pembunuhan itu yang makin rumit dan tekanan berterusan ke atas Malaysia, sukar dijangkakan hubungan antara kedua-dua negara selepas ini. Jika makin mendesak, ia perlu dikaji semula. Yang pasti rakyat Malaysia berdiri teguh mendokong kerajaan dalam isu tersebut. 

Kepada Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar dan pasukannya, tahniah kerana menangani isu tersebut dengan baik, pantas dan tegas. Penahanan beberapa suspek membuktikan kecekapan polis. Kepada Korea Utara, usahlah membuli Malaysia atas percaturan dan muslihat apa pun. Seperti juga Korea Utara, Malaysia adalah negara berdaulat. Juga dengan peringatan bangkai gajah masakan boleh ditutup dengan nyiru. 


KONGRES BUDAYA 2017
Memang meresahkan apabila menyentuh soal budaya, yang seribu satu isu dan permasalahan melingkari kita. Daripada soal kebanjiran budaya popular hinggalah kepada terhakisnya nilai budi, adat, bahasa dan pelbagai seni Melayu - ternyata ia merapuhkan jati diri bangsa. 

Sebab itu Awang lega sambil teruja dengan inisiatif Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Rais Yatim untuk menganjurkan Kongres Budaya 2017 pada 15 April depan. 

Kongres tersebut mengingatkan kita kepada Kongres Dasar Kebudayaan Kebangsaan  (DKK) pada tahun 1971, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri sewaktu itu, Tun Abdul Razak Hussein. Memang benar kata Rais, mengadakan Kongres Budaya bukan bererti segala masalah pembudayaan dan nilai hidup pada era lebih mencabar ini akan selesai namun kita tidak harus menyerah begitu sahaja.

Maka kongres tersebut tepat pada masanya sebagai langkah pembetulan bagi melaksanakan strategi baharu mempertahan budaya Melayu yang sebelum ini diterima sebagai teras kepada budaya nasional. Apatah lagi ketika kaum dan etnik lain ke hadapan memperkasakan budaya khususnya bahasa mereka, kita lesu dan mudah terikut persekitaran. 

Awang percaya di sebalik kompleksiti dan cabaran besar, jalan keluar tetap ada untuk menyalakan semula api yang malap. Inilah masanya. 

TRAGEDI DAN PERSEPSI
Tragedi sekumpulan remaja berbasikal yang dirempuh kereta di Johor Bahru pada Sabtu lepas masih menjadi bahan bualan masyarakat. 

Cukuplah segala versi awal termasuk pelbagai andaian terhadap tragedi itu yang meragut lapan nyawa. Apa yang asyik digambarkan adalah para remaja berkenaan menjadi puncanya sedangkan perkara yang juga pokok adalah aspek rempuhan. 

Kini insiden tersebut mencetuskan persepsi tertentu seolah-olah pemandu berkenaan mendapat 'kelebihan' dan diputuskan tidak bersalah. 

Awang tidak mengetahui identiti pemandu itu dan latar belakangnya. Itu semua tidak penting, yang penting adalah siasatan menyeluruh. 

Apakah benar dia tidak memandu laju, tidak cuai, tiada rekod kesalahan trafik, tidak menggunakan telefon ketika memandu waktu itu dan tiada pengaruh alkohol? Inilah antara persoalan yang turut dibangkitkan oleh peguam Zulkifli Nordin menerusi laman sosial.

Awang percaya semua itu bakal terjawab menerusi siasatan terperinci, yang ditunggu hasilnya. Bukan lagi andaian atau kenyataan awal polis, yang tidak boleh diterima sebagai rumusan. 


IKRAR INTEGRITI
Awang bersyukur melihat peningkatan kesedaran pelbagai pihak dalam usaha mencegah rasuah dan salah guna kuasa kebelakangan ini. Antaranya perakuan atau ikrar integriti yang semakin banyak kerajaan negeri, kementerian, syarikat berkaitan kerajaan dan jabatan melaksanakannya. 

Eloklah, beban melawan gejala tersebut tidak harus terpikul kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan tertentu integriti sahaja. 

Namun Awang berharap ikrar integriti ini benar-benar diterjemahkan dengan keberanian menghindarkan rasuah dan salah guna kuasa oleh semua peringkat. Ikrar integriti seharusnya mengikat diri kita daripada terjebak lalu membangunkan jati diri organisasi yang penuh integriti.

 Janganlah ia sekadar kosmetik untuk tujuan imej dan penjenamaan semata-mata sedangkan hakikatnya masih ada yang bergelumang dengan gejala itu secara licik. Maka ikrar integriti bukan untuk dibangga-banggakan, biarlah hasilnya sahaja yang akan bercerita kemudian hari.


ERA SUBAHAN
Tahniah kepada Subahan Kamal yang dipilih sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang baharu. Awang yakin beliau mampu membawa pembaharuan termasuk mengatasi isu kelesuan kepimpinan ketika Menteri Besar, Azmin Ali menjadi Presiden FAS. 

Ketika Azmin asyik memberikan alasan dan mengaku kalah sehingga berundur, Subahan komited mencari formula membantu FAS demi kecemerlangan dan masa depan bola sepak Selangor. 

Jika Azmin responsif kepada maklum balas, lebih matang dan tidak terbawa-bawa sentimen politik, jawatan Presiden FAS - melibatkan sukan paling popular itu - tidak akan terlepas. Nasihat Awang kepada Subahan, usah goyah meskipun terus mendapat tentangan daripada pihak tertentu.

 Ia tidak mencerminkan suara majoriti rakyat Selangor. Bola di kaki anda sekarang.


AL AMIN-NORZA
Isu kepimpinan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meledak dengan pendedahan Presidennya, Tengku Mahaleel Tengku Ariff berhubung gentlemen's aggreement bagi peralihan terajunya. 

Melalui perjanjian itu, Tengku Mahaleel menamakan Timbalan Presiden, Norza Zakaria, 50, sebagai penggantinya. 

Bagaimanapun seorang lagi Timbalan Presiden, Mohamed Al Amin Abdul Majid, 62, dalam reaksinya enggan terikat kerana mendakwa tidak tahu mengenainya. Malah beliau membayangkan akan bertanding merebut jawatan Presiden BAM pada pemilihan April nanti. 

Awang berpendapat tidak salahnya perjanjian itu malah ia langkah yang berwawasan. Inilah masanya untuk memberi peluang kepada pemimpin muda dan pelapis. Norza ada karismanya dan disenangi oleh barisan jurulatih serta pemain. Banyak petunjuk memihak kepada Norza, yang mungkin Al Amin tidak dapat menghidunya.

Video Pilihan
Artikel Lain