ROBERT KUOK
ROBERT KUOK

Melalui pendedahannya, RPK mendakwa dana itu sebahagian daripada usaha Kuok untuk membantu Pakatan Harapan diketuai DAP bagi menjatuhkan kerajaan BN pada PRU-14 nanti. Jika dakwaan itu benar, Awang tidak terkejut kerana ada kecenderungan boleh mengaitkan Kuok selain terdapat bukti seperti didakwa oleh RPK. 

Kuok antara lain dikatakan mahu Cina DAP memerintah negara ini bagi menamatkan penguasaan BN pada PRU-14 nanti.  Ramai yang tahu banyak laporan MI bersifat anti kerajaan dan membawa aspirasi DAP.

Setakat ini tiada sebarang penjelasan mahupun penafian daripada Kuok dan pihak berkenaan meskipun dakwaan tersebut  begitu serius. Jika sesiapa mengikuti beberapa tulisan RPK kebelakangan ini akan mendapat gambaran jelas. 

Jika benar, ia sesuatu yang menyedihkan tetapi Awang tidak terkejut kerana memang mudah tokoh yang berjaya, lupa daratan. Kerajaan BN yang banyak mengkaya-rayakan  Kuok, DAP pula yang mahu dijulang. Beliau bukan sahaja tidak mengenang budi bahkan mahu menggigit tangan yang memberi. 

Walaupun Kuok menggambarkan pencapaiannya atas merit semata-mata sebagaimana dalam buku Robert Kuok : A Memoir, hakikatnya ramai tahu ia adalah hasil bantuan kerajaan yang banyak memberi kontrak dan bisnes. 

Kesilapan terbesar Kuok bukan sahaja membawa keluar banyak kekayaan  yang diraih di dalam negara dan terlibat dengan MI  bahkan sifat cauvinis, anti-kerajaan dan anti-UMNO. Kali ini kekayaan itu dilihat mahu digunakan membantu DAP menumbang pula kerajaan. 

Apa kesudahan episod ini, Awang tidak berminat ramalkannya. Biarlah masa menentukan  termasuk apa akan jadi pada MI. PRU-14 ini nanti adalah peluang terakhir Kuok untuk menjayakan agenda agungnya itu. Berjayakah beliau?


Cermin diri
Kenyataan Wakil Khas Filipina Ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia, Rosario G. Manalo yang mencabar kedaulatan negara  dan mempersoalkan sistem pemerintahan Raja Melayu, adalah keterlaluan. 

Belum pun reda tuntutan Filipina terhadap Sabah, yang sentiasa dimainkan, timbul lagi tohmahan terbaru. Awang berharap Wisma Putra membuat bantahan keras sambil menuntut Manalo memohon maaf. 

Kenyataannya itu sangat biadap dan cuba mencampuri urusan dalam negara kita apatah lagi tidak menghormati Raja-Raja Melayu. 

Antara lain kenyataan Manalo sebelum ini membawa maksud Raja-Raja Melayu hendaklah dihapuskan kerana mendakwa Malaysia mengamalkan negara republik. 

Pada Awang, kenyataannya itu bukan sahaja salah malah hasutan dan penghinaan kepada negara ini. Ketika Malaysia tidak mencampuri urusan dalam negara Filipina, Manalo seharusnya lebih sensitif dalam semangat dan muafakat diplomasi ASEAN. 

Lagi pula, banyak perkara yang boleh kita komen terhadap Filipina yang pasti tidak enak didengar. Maka cerminlah diri. 


Namawee dan adab

NAMAWEE
NAMAWEE

Awang tidak pasti sejauh mana pengarah kontroversi Namawee atau nama sebenarnya Weng Meng Chee mengambil iktibar selepas ditahan polis, Khamis lepas. 

Penahanan itu dibuat ekoran klip video tarian anjing yang dilihat berunsur provokasi dan menghina Islam. Namawee dalam penjelasannya menafikan video tersebut menghina agama mahupun kaum. 

Dalam Awang bersikap terbuka kepada penjelasannya itu, namun hakikatnya beliau perlu lebih menjaga sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini. 

Namawee tidak seharusnya berselindung atas nama kebebasan dan kreativiti sedangkan beliau perlu memahami adab dan kesopanan timur. Walau apa pun hujah Namawee, ramai tetap melihat tarian tersebut berunsur lucah dan lokasinya berdekatan dengan masjid serta berlatar belakangkan pejabat Perdana Menteri. 

Memandangkan Malaysia sebuah negara majmuk yang mudah tercetus isu agama dan perkauman, klip video seumpama itu tidak sepatutnya disajikan kepada awam. Ia boleh menyemarakkan kebencian etnik,  yang dikhuatiri menjadi isu ancaman keselamatan kepada negara. 

Sebab itu ramai yang lega dengan tindakan polis menahan Namawee, setidak-tidaknya ia meredakan kemarahan awam dalam isu tersebut. Juga sebagai mesej jelas dan tegas buat semua. Apa pun Namawee atau sesiapa sahaja tidak boleh dibiarkan membawa mudarat kepada masyarakat majmuk negara ini. Jika perlakuan seperti itu di Singapura, tiada siapa akan berani ulanginya.
 
Jalan, sabotaj ...
Tindakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu, Abu Bakar Muhammad Diah duduk berdoa di Jalan Bukit Berlian yang berlubang baru-baru ini, membuka mata kita. 

Walau apa pun reaksi termasuk ada yang mempersoalkan kewajaran tindakannya itu, Awang tabik beliau kerana mahu menjaga nyawa pengguna dan memberikan yang terbaik kepada para penduduk kawasannya. 

Tidak sia-sia. Selepas beliau berdoa di situ,  jalan tersebut yang telah sebulan diadu kerosakannya, kemudian dibaiki dalam masa 12  jam. 

Apatah lagi isu permukaan jalan berlubang, berbahaya dan kualiti turapan yang rendah menjadi gejala serius yang rakyat dan pengguna kerap bangkitkan di seluruh negara. Ia bukan sahaja masalah di Tangga Batu, di Selangor dan Kuala Lumpur, juga serius. 

Bukan setakat kenderaan mudah rosak dan terjejas, kerap terjadi kemalangan terutama melibatkan penunggang motosikal. Hakikatnya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak serius menangani isu itu melainkan jika ada pembesar dan pemimpin mahu melawat maka jalan akan diturap dengan sempurna. 

Aktivis masyarakat, Lee Lam Thye dan badan bukan kerajaan Brotherhood antara pihak yang telah lama memperjuangkan soal kualiti jalan raya kita. Awang sendiri sudah kerap menulis isu tersebut tetapi bagai mencurah air di daun keladi. 

Lalu timbul dakwaan kemungkinan masalah tersebut berpunca bukan sahaja dari segi kelemahan bahkan kemungkinan rasuah. Sudah sampai masanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM ) menyiasat habis-habisan.

Malah sudah ada gerakan kepenggunaan mahu mengheret PBT ke mahkamah. Di peringkat serantau pula, selalu dibuat perbandingan betapa kualiti jalan raya kita yang suatu ketika diakui antara terbaik kini sudah dipintas oleh negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam. 

Singapura pula sudah jauh ke hadapan dalam pengurusan jalan raya. Maka apabila  Abu Bakar duduk berdoa di jalan yang rosak tanpa dibaiki, para pengguna menyokong beliau. Pada Awang, tindakan itu masih minimal berbanding demonstrasi besar-besaran oleh  rakyat. Manakan tidak. PBT lebih ghairah dan efisien dalam mengutip cukai tetapi kurang perhatian kepada isu yang lebih kritikal, yang menjejaskan imej kerajaan di negeri masing-masing. 

Memandangkan Malaysia ditadbir oleh  kerajaan Barisan Nasional (BN), mudah menjadi persepsi seolah-olah ia juga adalah kelemahan Kerajaan Pusat. Secara tidak langsung, ia boleh dianggap sebagai sabotaj PBT terhadap kerajaan. Apakah kita mahu berdiam?


AS model teladan?
Pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mencadangkan agar guru-guru dibekalkan senjata api bagi menangani insiden tembakan rambang di kawasan sekolah negara itu, menarik perhatian. 

Walaupun cadangan itu ada baik dan buruknya sebagaimana menjadi perdebatan, Awang lihat ia sebagai langkah proaktif ke arah negatif. 

Bayangkan nanti bagaimana golongan guru di AS bukan sahaja perlu membawa gajet dan buku bagi tujuan pengajaran di sekolah bahkan pistol atau rifel. 

Adalah lebih baik sebenarnya pihak berkuasa AS menangani secara lebih berkesan isu lambakan senjata api yang mudah berada di pasaran terbuka mahupun gelap. Awang berkongsi sentimen pelbagai pihak di AS bahawa Trump perlu lebih mengambil pendekatan melindungi para pelajar dan bukannya senjata. 

Pada 14 Februari lalu, sebanyak 17 terbunuh apabila suspek Nikolaus Cruz bersenjatakan rifel AR-15 selain membawa peluru dan bom asap menyerang sekolah tersebut. Insiden serangan seperti itu mencetuskan kebimbangan kerana ia makin kerap berlaku di AS. 

Di sebalik status sebagai negara paling berkuasa di dunia, ironinya pihak berkuasa AS masih gagal membendung insiden sedemikian. Dengan kata lain, sekolah-sekolah di AS berisiko tinggi dan dilihat kurang selamat. 

Jika di Malaysia dan banyak negara lain, kes buli antara gejala membimbangkan di sekolah, di AS, ia lebih dahsyat daripada itu. Apakah model pengurusan AS boleh menjadi teladan kepada dunia?


Gaya hidup
Laporan khas bertajuk Telefon Pintar ‘Makanan Utama’ Rakyat Malaysia? dalam akhbar Utusan Malaysia terbitan semalam, boleh ditafsir pelbagai. 

Antara teras laporan itu adalah ketaksuban rakyat Malaysia untuk memiliki telefon pintar dan tablet sehingga mencatatkan jumlah import kira-kira RM11 bilion tahun lalu. 

Angka tersebut melebihi nilai import pelbagai produk dan bahan makanan bagi memenuhi permintaan populasi rakyat negara ini yang sudah mencecah 32.2 juta orang. 

Awang percaya jumlah itu tidak termasuk segala aksesori telefon, yang begitu laris di pasaran dan nilai bisnes membaiki telefon. 

Malaysia juga mencatatkan negara pemilik telefon pintar tertinggi ke-10 di dunia. Apa makna semua ini? Selain dilihat sebagai keghairan kepada telefon dan gajet, ia menyerlahkan hakikat kemakmuran negara. 

Sudah tentu juga ia turut menyumbang kepada peningkatan kos gaya hidup yang kerap disalahertikan sebagai kos hidup. Sebab itu, ramai termasuk pelajar yang memiliki telefon pintar berharga mahal seperti iPhone walaupun atas kertas ia di luar kemampuan. 

Disebabkan taksub dan sudah suka, meminjam pun sanggup untuk beli telefon idaman. Seperti kata orang Perak, biar papa asal bergaya.