Kelmarin Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok mengumumkan pemilihan semula itu akan diadakan tetapi 'di bawah protes.' Ini bermakna DAP akan menggunakan senarai 2,576 perwakilan pada pemilihan 15 Disember 2012 serta melantik juruaudit bebas untuk memantau dan mengendalikan pemilihan semula. 

Biar apa pun drama DAP terutama Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Setiausaha Agung, Lim Guan Eng dalam isu ini, hakikatnya pemilihan CEC 2013 adalah tidak sah dan tidak diiktiraf. Ini ekoran aduan dan dakwaan penipuan oleh ahli-ahlinya sendiri, bukannya   atas laporan palsu seperti yang dinyatakan oleh Guan Eng. 

Persetujuan untuk mengadakan semula pemilihan CEC itu membuktikan bahawa parti itu yang sebenarnya selama ini bermain wayang dengan cuba menutup kepincangan. 

Sepatutnya Kit Siang dan Guan Eng mengadakan pemilihan semula ini jauh lebih awal sebaik sahaja berbangkit isu pemilihan 2013 tidak disahkan oleh ROS. Dalam hal ini, Awang hairan mengapa Kit Siang dan Guan Eng tidak tampil memohon maaf kepada ahli-ahli dan penyokongnya terhadap kepincangan pemilihan CEC dan membiar status tidak sah berlarutan lama.

 Kegagalan untuk mengadakan semula pemilihan CEC bererti mereka mengheret parti itu kepada risiko tidak boleh bertanding atas tiket dan logo DAP. Pada saat ini pun,  jawatan semua penyandang CEC tidak sah termasuk Setiausaha Agung. 

Dengan kata lain, CEC yang ada ini bersifat haram dan hantu sebagaimana dakwaan pengundi hantu yang selalu pemimpin DAP mainkan setiap kali pilihan raya umum.  Maka berhentilah bermain wayang termasuk kononnya pemilihan semula itu diadakan di bawah protes kerana ia hanya memalukan diri sendiri. Yang pasti, DAP telah gagal mengadakan dengan lancar dan telus dua pemilihan CEC iaitu pada 2012 dan 2013, yang akhirnya perlukan pembetulan oleh ROS. 

Malulah. Nama sahaja parti demokratik tetapi realitinya DAP tidak tahu uruskan dengan baik  pemilihan CEC sehinggakan perlu diajar oleh ROS.  Padanlah pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang terlalu banyak kepincangan. Inilah jenama DAP.

 

Atlet kelas dunia 
Pencapaian cemerlang beberapa atlet Malaysia di arena antarabangsa minggu ini menjadi berita gembira buat negara. Awang mengucapkan tahniah kepada mereka. Inilah hadiah istimewa kepada rakyat Malaysia yang mendambakan kejayaan atlet kita di kelas dunia. 

Kejutan terbesar adalah daripada  atlet terjun negara Cheong Jun Hoong yang merangkul pingat emas pertama negara di Kejohanan Akuatik Dunia FINA 2017 dalam acara 10m platform di Budapest pada Khamis. Pada Awang, ia pencapaian yang hebat. Jun Hoong bersama penerjun Pandelela Rinong turut memperoleh pingat gangsa bagi acara 10 meter platform seirama pada kejohanan yang sama. 

Seorang lagi atlet yang  mencuri perhatian adalah pelari pecut Khairul Hafiz Jantan yang memecahkan rekod kebangsaan 200m berusia 49 tahun milik  Dr. M. Jegathesan (20.92s)  dengan catatan 20.90s pada Kejohanan Olahraga Pra Sukan SEA 2017. Seperti Jun Hoong, Khairul diramal  menyinar sebagai ikon sukan negara.

Atlet para, Muhamad Ziyad Zolkefli meneruskan kecemerlangan dengan memecah satu lagi rekod dunia acara lontar peluru lelaki F20 pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London baru-baru ini. 

Seorang lagi atlet para Abdul Latif Romly   meraih emas dan memperbaiki rekod lompat jauh yang diciptanya sendiri pada tahun 2015 dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia di London pada Ahad lepas. 

Walaupun Awang tidak mahu kita mudah berpuas hati dan dibuai kegembiraan namun kejayaan mereka boleh menjadi isyarat kontinjen negara akan memberi impak besar pada Sukan Sea Ke-27 di Kuala Lumpur, bulan depan. 
Awang seperti juga rakyat Malaysia mahu melihat kontinjen menjadi juara keseluruhan dengan pungutan emas tertinggi dalam sejarah. Sukan Sea KL adalah ujian sebenar kita untuk tempoh terdekat ini sebelum misi Sukan Asia dan Olimpik. Walaupun atas kertas, Thailand diramal juara namun tiada yang mustahil untuk kita pula berada di puncak. Awang yakin.


Siapa KPN?
Siapa bakal menjadi Ketua Polis Negara (KPN) menggantikan Khalid Abu Bakar yang akan bersara September ini, terus menjadi bahan bualan khususnya warga polis. 

Timbalan KPN, Mohd. Noor Rashid disebut-sebut antara calon pilihan utama selain dua lagi pegawai kanan sekiranya berlaku kejutan. Walaupun tiada kenyataan rasmi daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahupun Polis Diraja Malaysia (PDRM), status Khalid yang akan bersara tidak berubah. Difahamkan penentuan KPN yang baharu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat dan disusuli pengumuman. 

Persaraan Khalid sudah tentu membuka ruang kepada pergerakan jawatan beberapa pegawai kanan dan rombakan peringkat lain. Biarlah KPN yang baharu dengan mandatnya sendiri, mencorakkan pasukan pengurusannya, yang itu juga harapan ramai warga PDRM.  Sebenarnya itu juga amalan yang biasa dalam tempoh peralihan, tiada rombakan oleh bakal pesara kerana menunggu sentuhan peneraju baharu.

 Lagipun PDRM baru sahaja melakukan rombakan yang signifikan baru-baru ini selain dua rombakan melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan melibatkan beberapa Ketua Polis Daerah. Itu semua dilihat sudah memadai. Kepada Khalid, Awang tabik beliau kerana mengumumkan hasratnya untuk bersara lebih awal  bagi memudahkan perancangan kepada KDN dan PDRM. Ia juga membuktikan beliau komited untuk melihat perubahan kepimpinan PDRM, yang kita semua harus hormati. 

Awang percaya Khalid akan diberi  kepercayaan sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi  menghargai sumbangan besar beliau kepada PDRM dan negara. Selain ke dunia korporat, sudah ada desas-desus beliau bakal menjadi duta. Apa sekalipun perubahan kepimpinan, solidariti dalam PDRM akan terus teguh sebagaimana menjadi tradisi selama ini. 


Iktibar bernilai
Pendakwaan  di Mahkamah Majistret  ke atas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) (Perancangan Operasi)  Yusoff Ayob pada Selasa lepas  kerana memandu di lorong kecemasan, menarik perhatian Awang.

Sebagai salah seorang bos JPJ iaitu agensi yang diamanah menguatkuasa undang-undang jalan raya, sepatutnya beliau menjadi contoh kepada orang awam. Malah Yusof dilaporkan pernah bertegas mengingatkan orang ramai bahawa JPJ  tidak akan berkompromi kepada pesalah jalan raya. 

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Lingkaran Putrajaya pada Oktober tahun lalu dan alasan yang diberikan kononnya memantau lalu lintas ketika itu. Dalam kes tersebut, Yusoff, 58, didenda RM600 setelah mengaku bersalah. 

Awang percaya beliau  telah mendapat pengajaran paling bernilai atas perbuatannya menyalahgunakan kedudukan sebagai pegawai kanan JPJ. Dalam pada itu, Awang tertanya-tanya mengapa Yusof  tidak hadir di mahkamah dengan alasan menghadiri  Program Perhimpunan Setia di Ibu Pejabat JPJ. Penting sangatkah program itu berbanding tanggungjawabnya di mahkamah atas kesalahannya sendiri?

 Wajarkah pegawai khas diarah mewakili tertuduh mengaku salah serta apakah ia amalan di JPJ. Hairan juga mengapa mahkamah membenarkan? Awang berpendapat ada kecacatan pada proses keadilan melainkan jika tertuduh tidak hadir dengan pengesahan doktor. Apa sudah jadi?
                 

Ketika semua persoalan itu bermain  di fikiran - Awang lega apabila Ketua Hakim Negara, Md. Raus Shariff   campur tangan kelmarin iaitu selepas empat hari. Mujurlah, masih belum terlewat untuk beliau bertindak membetulkan kepincangan. 

Kes itu akan dihantar semula ke Mahkamah  Majistret dan kali ini Yusoff sendiri perlu hadir bagi menjawab sendiri pertuduhan terhadapnya. Raus sendiri mempersoalkan bagaimana Yusoff boleh mengakui bersalah melalui wakil. Kes itu akan didengar semula 25 Julai ini. 

Awang berpendapat, ketidakhadirannya di mahkamah adalah kesalahan moral dan perundangan yang lebih serius daripada memandu di lorong kecemasan. Maka hadapilah padahnya. 


Siapa kuasai Iraq?
Awang syukur dan lega dengan perkembangan positif di Iraq selepas tentera berjaya menewaskan Daesh di kubu terakhir mereka di Mosul, baru-baru ini.

Mosul adalah bandar terbesar yang ditawan militan Daesh yang pernah menguasai sebahagian besar negara itu pada 2014. Pada Awang, ia memperlihatkan bahawa Daesh mampu ditumpaskan asalkan ada keyakinan, muafakat  dan strategi yang betul. 

Meskipun tentera Iraq berpesta atas kemenangan tersebut, cabaran selepas ini tetap besar. Lihatlah bagaimana penduduk Mosul biarpun gembira dapat kembali, tapi trauma apatah lagi melihat kemusnahan akibat peperangan. 

Maka membina semula Iraq termasuk Mosul akan menjadi cabaran besar selain menyatukan pelbagai puak dan mazhab yang bersengketa. Puluhan ribu telah terkorban dan lebih sejuta penduduk Mosul menjadi pelarian, bukan kisah untuk dibanggakan. 

Walaupun Iraq sudah bebas daripada militan Daesh tetapi sebenarnya belum bebas daripada penguasaan pihak lain. Semuanya itu angkara percaturan kuasa besar, yang tidak perlu dihuraikan. Ambillah iktibar terutama kita di Malaysia. Awang insaf. 


Kisah Kabi
Lelaki bernama Kabi dengan gelaran Datuk menjadi perhatian selepas kegiatan penipuan jual beli dan pajakan kereta didedahkan oleh Persatuan Pengguna Islam (PPIM).

Ini ekoran aduan dan maklum balas  daripada orang ramai. Dalam media sosial sentimen kemarahan terhadap Kabi, 38,  meluap-luap apatah lagi dia dikatakan 'kebal'. 

Lebih 50 aduan polis dikatakan telah dibuat ke atasnya namun tiada tindakan diambil sehinggakan ada pihak menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pula menyiasat isu tersebut. Buatlah carian maklumat dalam laman sosial, memang kisah jenayah Kabi "menarik" antara lain pernah melarikan diri semasa jaminan mahkamah dan pernah juga dibuang daerah.  

Bagaimanapun segala keresahan mengenai Kabi reda apabila Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid mengumumkan penubuhan pasukan khas menyiasat lelaki berkenaan. Awang turut lega.

Dengan sendirinya ia menjawab bahawa Kabi tidaklah kebal dan dilindungi oleh sesiapapun. Kini biarlah polis menjalankan tugas dan bersabarlah menanti hasilnya.