Almarhum Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah
Almarhum Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah

Pemergian baginda ke rahmatullah adalah kehilangan besar kepada negara khususnya rakyat Kedah. Baginda satu-satunya raja atau sultan yang mencatatkan sejarah dua kali dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong. Banyak lagi ciri-ciri kelebihan Almarhum seperti kesederhanaan, menghormati rakyat, adab tinggi dan tidak suka bermegah-megah, menjadikan baginda raja yang disayangi rakyat dalam erti kata sebenar.

Almarhum akan terakam dalam sejarah negara sebagai raja contoh yang memberikan keyakinan kepada rakyat untuk terus menjunjung institusi raja pada era serba moden yang mencabar ini.

Pada kesempatan ini, Awang menyertai rakyat Malaysia turut menzahirkan sembah tahniah kepada Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah yang dipilih sebagai Sultan Kedah Ke-29.

Sebagai Raja Muda sebelum ini, baginda sudah tidak asing lagi dan begitu disenangi rakyat negeri itu. Kini Kedah di bawah pemerintahan baginda, semoga terus maju jaya dan makmur. Daulat Tuanku!

Tragedi dalam tragedi

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, Kuala Lumpur yang meragut 23 nyawa, adalah dugaan besar buat keluarga dan waris. Awang mengucapkan takziah yang mendalam kepada seluruh anggota keluarga mangsa dan semoga diberi ketabahan. Rakyat Malaysia berkongsi kesedihan apabila mengetahui kejadian itu yang menggemparkan negara. Semua yang terkorban, rentung. Awang sendiri tidak dapat menggambarkan betapa pilunya hati sehingga ke saat menulis ruangan ini. Walau apapun punca dan isu yang melingkari, tragedi itu sudah berlalu. Mereka telah meninggalkan kita dalam peristiwa yang begitu tragis. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan dikurniakan syahid. Insyallah. - Al-Fatihah


Pengesahan polis terhadap penahanan tujuh remaja yang menjadi suspek dalam tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, amat mengejutkan. Awang ucapkan tahniah kepada polis kerana berjaya merungkai misteri kes tersebut, yang pada awalnya dikaitkan berpunca daripada litar pintas. Maka spekulasi berlakunya perbuatan khianat yang berlegar dalam tempoh 48 jam, ternyata berasas. Awang sangat terganggu dengan perkembangan terbaharu ini. Sudahlah tragedi itu meragut 23 nyawa, puncanya pula adalah jenayah remaja angkara dendam. Ia tragedi dalam tragedi. Keruntuhan akhlak dan gejala dadah (sebahagian suspek positif dadah) mendorong jenayah itu. Apa yang dilakukan oleh kumpulan remaja itu jika berdasarkan keterangan kepada polis, begitu kejam dan sangat menjijikkan. Bukanlah Awang mahu membuat andaian tetapi masalah ancaman dadah dalam kalangan belia terutama Melayu amat serius. Sebahagian besar kes jenayah seperti ragut ada kaitan dengan gejala penagihan atau masalah dadah. Apatah lagi dadah mudah diperoleh di pasaran negara ini. Inilah masa untuk bertindak dan ambillah iktibar.

Najib lebih hebat

Sekali lagi, semuanya telah terbukti. Senarai tohmahan termasuk Malaysia akan muflis yang dijaja dua tahun lalu hingga kononnya Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak akan ditangkap oleh Amerika Syarikat (AS) ternyata tidak benar. Sesiapa sahaja yang melemparkan pembohongan itu telah menghina dirinya sendiri, yang rakyat pasti boleh menilai. Kejayaan besar lawatan Najib ke AS menjadi igauan buruk buat Pakatan Harapan. Najib bukan sahaja tidak ditahan pihak berkuasa negara itu (kononnya berhubung siasatan berkaitan 1MDB) malah diberikan layanan istimewa oleh Presiden AS, Donald Trump. Lawatan itu menyaksikan Malaysia di bawah pentadbiran Najib menerima penghargaan tinggi daripada AS. Ketika pemimpin Pakatan Harapan ghairah melakukan sabotaj ekonomi termasuk memanipulasi isu 1MDB secara luar biasa dan memburuk-burukkan Malaysia, Najib sebaliknya gigih menjayakan misi untuk kepentingan negara. Setakat ini reputasi beliau dalam menjalin kerjasama strategik dengan pemimpin utama dunia terutama AS, Rusia, China, Britain, Jepun dan India adalah terpuji dan sentiasa berhasil. Lawatan ke AS telah memberikan impak kepada hubungan dua hala selain menyerlahkan peranan Malaysia kepada keamanan dunia. Najib menepati janji membangkitkan isu kekejaman terhadap etnik Rohingya kepada Trump, yang kemudian turut dikongsi oleh AS dalam beberapa kenyataan selepas itu. Suara Malaysia mendapat perhatian kuasa dunia. Kejayaan terbaharu Najib pasti tidak disenangi musuhnya yang terus meroyan kedengkian. Walaupun ada sahaja serangan Pakatan Harapan termasuk isu tertentu terhadap lawatan ke AS, ia tidak akan dapat memadamkan hakikat bahawa Najib jauh lebih hebat daripada pemimpin mereka. Dari segi kebolehan pengurusan, diplomasi, kesabaran mahupun percaturannya. Syabas.

Azhar dan FGV

Awang ucapkan tahniah kepada Azhar Abdul Hamid atas pelantikannya sebagai Pengerusi Felda Global Ventures Berhad (FGV), baru-baru ini. Walaupun pada awalnya ada pihak tertentu dalam FGV mempersoalkan pelantikan tersebut yang dibuat oleh Perdana Menteri, isu itu selesai dengan cepat. Malah pelbagai pihak termasuk warga kerja FGV, penganalisis ekonomi, masyarakat Felda dan badan bukan kerajaan menyambut baik mandat yang diberikan kepada Azhar, 54. Reaksi pasaran saham juga positif sehingga mencecah RM1.71 sesaham pada hari berkenaan. Dengan kewibawaan dan ketokohannya, Awang percaya beliau akan dapat membawa FGV keluar daripada kemelut yang dialami sekarang. Inilah masa untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada syarikat perladangan terbesar itu. Biarlah suram berlalu, sinar menanti. Selamat bertugas Datuk.

Obses WhatsApp

Tidaklah mengejutkan apabila Malaysia mencatatkan penggunaan aplikasi WhatsApp tertinggi di dunia iaitu 51 peratus. Hal itu dinyatakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dr. Salleh Keruak berdasarkan laporan The Digital News Report 2017. Awang amati sememangnya rakyat Malaysia lebih teruja dalam menggunakan WhatsApp sama ada bagi kebaikan mahupun sebaliknya. Komunikasi menjadi terlalu aktif termasuk menerusi kumpulan WhatsApp, yang semakin mengambil banyak masa dalam kehidupan seharian. Semua itu tidak pernah berlaku sebelum kewujudannya dalam era ledakan teknologi maklumat ini. Adakalanya Awang senyum dan kerap juga geleng kepala kerana ramai yang begitu obses. Terlalu banyak perkara mahu diberitahu menerusi WhatsApp termasuk apa yang dimakan malah batuk kecil dan mahu mandi sekalipun. Itu belum menyentuh keghairahan berkongsi gambar, video, laporan dan bermacam-macam lagi meliputi viral palsu dan fitnah. Semua itu adalah sebahagian daripada lautan maklumat media sosial yang kita bagaikan lemas. Lebih memburukkan keadaan adalah gejala politik keterlaluan dengan sentimen liar yang mewarnai penggunaannya. Perdebatan malah pertelingkahan mengenai hal politik dalam kumpulan WhatsApp termasuk alumni sekolah dan universiti, kejiranan serta badan bukan kerajaan sudah lumrah. Ada yang berlarutan sampai pukul 3 pagi. Keghairahan berpolitik berlebihan ini ketara dalam kalangan orang Melayu meskipun ramai tidak mengundi, yang Awang percaya gejala sedemikian tidak berlaku di negara lain. Silapnya di mana?

Halimah tersendiri

Halimah Yaacob, 63, mencatatkan sejarah sebagai wanita Melayu pertama menjadi Presiden Singapura, selepas upacara mengangkat sumpah Khamis lepas. Selepas Yusof Ishak dilantik menjadi Presiden Singapura yang pertama dari 1965-1970, Halimah merupakan pemimpin Melayu kedua menyandang jawatan tersebut selepas sekian lama. Awang ucapkan tahniah kepada beliau. Juga kepada rakyat serta kerajaan Singapura di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong kerana menobatkan seorang wanita ke puncak kedudukan walau apa pun tafsirannya. Pemilihan Halimah sebagai Presiden dilakukan secara demokrasi dan menepati meritokrasi seperti yang diumumkan oleh kerajaan republik itu. Yang lebih istimewa adalah kesederhanaan Halimah, tetap mahu tinggal di rumah flat awam di Yinshun yang telah didiaminya sejak 30 tahun lalu, meskipun bergelar Presiden. Jika Halimah benar-benar membuktikan apa yang dikatakannya sehingga habis tempoh perkhidmatan iaitu terus tinggal di rumah flat, beliau akan mencatatkan sejarah lebih bermakna untuk kita semua kongsi dan banggakan. Itulah pemimpin sebenar yang berorientasikan rakyat. Awang tabik.