Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

ANALISIS MINGGUAN - 16 JULAI 2017

MASA AKAN MEMBUKTIKAN

Di sebalik bantahan pihak-pihak tertentu terhadap pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai ke atas pesalah syariah di Kelantan, ia dijangka berjalan lancar dan tiada masalah besar.  Sebaik sahaja Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Rabu lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 20012  (Pindaan 2017) yang membolehkan hukuman sebat dilaksanakan,  ia sudah dilihat sebagai kejayaan awal. 

Antara kesalahan yang boleh dijatuhi hukuman sebat ialah berzina, cubaan berzina, meliwat, menuduh individu lain berzina dan minum arak. Pesalah boleh dikenakan hukuman di hadapan orang ramai seperti di pekarangan masjid dan stadium. 

Enakmen tersebut merupakan sebahagian daripada persiapan Kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (2015), sekiranya Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) diluluskan di Dewan Rakyat kelak.

Tahniah kepada kerajaan  Kelantan atas pencapaian tersebut yang mendapat reaksi positif  umat Islam terutama  rakyat negeri itu. Kelantan dengan populasi 1.6 juta orang Islam merupakan negeri pertama yang melaksanakan hukuman tersebut.

Awang yakin segala bantahan bersifat sementara dan akan reda akhirnya. Apabila masa berlalu, masyarakat akan lebih memahami dan kerajaan negeri  telah bertekad memperhebatkan usaha memberi kefahaman. 

Kejayaan pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah di wilayah autonomi Aceh dan Brunei Darussalam memberi mesej  Kelantan juga boleh berjaya. Awang masih ingat bagaimana Brunei menerima tekanan dan kecaman meluas daripada  Barat di peringkat awal. 

Kini pelaksanaannya berjalan dengan baik dan penerimaan yang sangat positif. Di Arab Saudi dan Iran, kaedah hukuman yang sama telah lama dilaksanakan tanpa masalah. Dalam konteks Kelantan, ia adalah prerogatif kerajaan negeri untuk melaksanakannya. Sekali lagi Awang percaya  ia akan diterima baik oleh masyarakat  pelbagai kaum walaupun hukuman itu hanya terhad kepada  pesalah syariah iaitu orang Islam.

Tidak kenal maka tidak cinta dan masa akan membuktikannya.

 

ISTANA, BUDAYA TINGGI

Dalam satu diskusi baru-baru ini, Awang ditanya tentang sejauh manakah relevannya institusi Raja-Raja Melayu dalam era moden ini.

Sudah tentu jawapannya, masih relevan dan  diperlukan memenuhi konsep payung negara. 

Namun bagi memastikan institusi raja terus disanjung dan dipertahankan, golongan istana harus berperanan sewajarnya dan menjadi contoh terbaik kepada masyarakat. 

Antaranya budaya tinggi yang merangkumi kehalusan budi dan nilai-nilai murni perlu terzahir sepanjang masa. Awang berpendapat istana seharusnya menjadi pusat peradaban Islam dan ilmu sebagaima era kegemilangan kesultanan Islam di rantau Arab dan Kesultanan Melaka. 

Rakyat kini makin bijak dan tajam dalam menilai tingkah laku, titah dan pandangan Raja mahupun putera raja. Yang baik sudah tentu dijunjung  masyarakat. Jika sebaliknya pula, ia ditolak walaupun  rata-rata rakyat tidak menyatakannya secara terbuka. Sebab itu, rakyat mudah terganggu jika ada suara yang tidak mencerminkan budaya tinggi istana.  


BERSARALAH ...

Gesaan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin agar Dr. Mahathir Mohamad, 92,  Anwar Ibrahim, 70, dan Lim Kit Siang, 76, bersara daripada politik, menarik perhatian. 

Awang sangat setuju. Masa dan realiti politik telah berubah. Era ketiga-tiganya sudah  berlalu dan jenama politik mereka kini rosak teruk. 

Dengan kata lain, mereka sudah tidak lagi relevan, bukan sahaja kerana faktor usia malah lebih daripada itu. Pendekatan pemimpin Pakatan Harapan - yang mengundang campur tangan asing dan mensabotaj ekonomi negara - menjatuhkan lagi reputasi mereka. 

Pada Awang, salah satu faktor kepada kegagalan Dr. Mahathir, Anwar dan Kit Siang adalah pendekatan politik yang tidak lagi elegan. 

Ini melepaskan kesempatan terbaik untuk meraih keyakinan rakyat yang selesa dengan politik sederhana dan membina. Sebab itu Awang tidak nampak struktur baharu Pakatan Harapan yang diumumkan kelmarin akan memberi impak. 

Maka jika mahu diberi harapan baharu, gabungan parti pembangkang itu harus  dibina semula  tanpa kelibat Dr. Mahathir, Anwar dan Kit Siang. Rakyat berhak mendapat parti pembangkang yang lebih berkesan, bertanggungjawab, patriotik dan boleh dipercayai. Demi negara, inilah masanya. 


ATST: JPN DICABAR

Isu anak tidak sah taraf (ATST) bagi pernikahan pasangan Islam di luar negara yang kemudiannya tidak didaftarkan mengikut undang-undang Malaysia, bakal memasuki dimensi baharu. 

Awang mendapat tahu ada pihak sedang membuat persiapan untuk mencabar Jabatan Pendaftaran Negara  dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Mahkamah Sivil berhubung isu tersebut.  Ia menyentuh Akta Pendaftaran Kelahiran Dan Kematian (Peruntukan-Peruntukan Khas) 1975 (Akta 152) & Akta Pendaftaran Kelahiran Dan Kematian 1957 (Akta 299) yang membabitkan penarafan seseorang warganegara Malaysia yang beragama Islam pada sijil lahir.

Asas tindakan itu adalah kerana anak ATST menanggung aib dan kesan psikologi sepanjang hayat akibat status 'bin/binti Abdullah' atau 'tanpa bin' yang diberikan oleh JPN pada sijil lahir mereka. Sedangkan anak-anak itu dilahirkan dari pernikahan sah syarak yang diperakukan  kerajaan Malaysia melalui Pejabat Konsulat Jeneral (luar negara) serta Jakim.

Dengan kata lain mereka bukan anak luar nikah atau bayi yang dibuang tetapi ATST kategori mangsa administratif  JPN dan Jakim. Awang berminat untuk mengetahui kesudahannya nanti apakah berlaku kekhilafan dasar dalam hal ini?


LEPAS TANGAN

Satu lagi kejadian penunggang motosikal, Amir Ramli  maut ketika cuba  mengelak lubang  di Jalan Perigi Nenas, Pelabuhan Barat, Klang, Selasa lalu, mengejutkan kita. 

Awang sedih atas tragedi yang menimpa Amir dan persoalannya berapa ramai lagi yang akan menerima nasib sepertinya. 

Di sebalik banyak pendedahan media, masalah jalan berlubang, compang-camping dan tidak rata terus menghantui para pengguna jalan raya di negara ini. Malah sebuah NGO, Brotherhoods telah lama diwujudkan oleh sekumpulan anak muda kerana kecewa dengan PBT dan demi melindungi pengguna. Aktivis NGO itu terlibat aktif menurap permukaan jalan berlubang terutama di Lembah Klang.  

Adalah menghairankan pihak berkuasa tempatan (PBT)  masih gagal menangani isu ini. Lalu timbul tanggapan ramai bahawa pengurusan PBT tidak efisien, cuai, berlaku elemen rasuah dan budaya selenggara yang lemah termasuk turapan tidak berkualiti. Ternyata PBT lebih ghairah mengutip cukai dan caj parkir tetapi sambil lewa dalam soal kualiti dan keselamatan jalan raya selenggaraan mereka. 

Awang berpendapat isu ini sangat kritikal dan memerlukan langkah drastik. Sudah sampai masanya pengguna kenderaan menyaman PBT berkaitan isu jalan berlubang sebagaimana di Barat. Datuk Bandar dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran tidak lagi boleh lepas tangan. 


NEGERI GAGAL

Awang sudah tidak larat geleng kepala dengan pelbagai kepincangan yang berlaku di Pulau Pinang di bawah pentadbiran Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. 

Terbaharu, Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) menegur kerajaan negeri yang didapati membayar yuran rundingan secara berlebihan dengan pengiraan  berganda bagi projek terowong.

Yuran rundingan bagi tiga batang jalan projek terowong bernilai RM177.5 juta itu adalah terlalu tinggi dan melangkaui garis panduan. Apa yang berlaku ini menambah buruk imej pentadbiran negeri yang gagal di bawah DAP. 

Memandangkan isu yuran rundingan ini melibatkan kepentingan awam dan wang rakyat, Awang barharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  dapat melakukan siasatan. Awang tidak terkejut jika ada lagi  misteri yang akan terbongkar. Bangkai gajah masakan boleh ditutup dengan nyiru. 


BAGAI AYAM KOKOK...

Apabila kepimpinan Pas menyifatkan DAP sebagai penakut kerana enggan mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), Awang senyum tanda bersetuju. 

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng boleh memberikan apa sahaja alasan tetapi ia tidak dapat menutup hakikat bahawa mereka takut kepada realiti. 

Anak beranak Dinasti Lim itu  menyimpan ketakutan risiko undi merosot  apatah lagi  jika kalah seperti yang disuarakan ramai. Kalau dalam bahasa pasar, mereka bukan anak jantan. 

Apa makna jadi pemimpin kalau takut dinilai oleh ahli tentang hal yang asas dalam demokrasi. Selama ini Kit Siang dan Guan Eng melabel diri mereka kononnya juara demokrasi  tetapi rupanya bagai ayam kokok berderai-derai ekor bergelumang najis. 


KITA BERUNDUR

Ketika berada di Jakarta dan bandar utama lain di Indonesia lebih sedekad yang lalu, Awang kerap perhatikan tabiat sebahagian penunggang motosikal yang suka melanggar lampu isyarat merah. Kerap rakan di Indonesia pada waktu itu memuji pengguna jalan raya di Malaysia berbanding sikap penunggang motosikal Indonesia. 

Dalam beberapa kunjungan kebelakangan ini, Awang perhatikan keadaan sudah jauh berubah. Rata-rata penunggang motosikal di sana berdisiplin. Malangnya situasi di Malaysia pula menyaksikan gejala ramai penunggang motosikal melanggar lampu isyarat merah termasuk di jalan-jalan utama di ibu negara. 

Hal itu menjadi perhatian selepas pendedahan bersiri  oleh akhbar Utusan Malaysia dan diikuti diskusi menarik dalam stesen radio Sinar. Gejala itu seolah-olah menjadi budaya baharu dan pihak berkuasa pula seperti terlepas perhatian. Ketika tabiat pematuhan jalan raya di negara jiran ke hadapan, kita pula berundur ke belakang. Apa sudah jadi ?

Video Pilihan
Artikel Lain