Buat kesekian kalinya, prestasi pasukan bola sepak negara mengecewakan. Malaysia tewas kepada Hong Kong dalam saingan kelayakan Piala Asia 2019 dan kini berada pada kedudukan tercorot kumpulan. Peluang sudah hampir tertutup maka keterujaan rakyat Malaysia untuk melihat sedikit peningkatan, tidak kesampaian.

Teraju kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah berubah dan jurulatih juga telah berganti (jurulatih luar). Bukan itu sahaja, bonus sebanyak RM30,000 kepada setiap pemain jika  menang ke atas Hong Kong, ditawarkan. Tidak silap Awang, ia ganjaran paling lumayan pernah ditawarkan untuk perlawanan kelayakan seperti itu. 

Namun itu semua tidak mengubah apa-apa pada prestasi Harimau Malaya, sebaliknya terus ditimpa penyakit lama - mudah kalah kepada pasukan yang bukan hebat.

Nampaknya rakyat Malaysia khususnya  peminat bola sepak perlu menanti lagi dalam pengharapan, biarpun penantian yang terlalu lama itu suatu penyiksaan. Pada Awang, kita sudah tiada pilihan  selain terpaksa memberi  masa lagi kepada FAM untuk mencari formula kebangkitan. Takkan kita mahu meminta FAM dibubarkan sahaja, itu tidak bijak.  Maka apabila Presiden FAM, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan skuad negara perlukan rombakan, Awang setuju. Lakukanlah apa sahaja yang  wajar sebagaimana formula kejayaan Johor Darul Takzim (JDT).  Yang penting  rakyat mahu hasilnya. 

Sukan dan Istana

Sudah beberapa kali Awang menulis tentang perlunya Raja atau Putera Raja yang memimpin persatuan sukan bersikap terbuka dan bijak mengurus kritikan peminat serta media.

Kegagalan untuk mengambil pendekatan sedemikian akan memberi mesej yang salah kepada masyarakat bahawa golongan istana bukan pilihan terbaik menerajui persatuan sukan. Kesan lebih besar adalah ia akan mendedahkan institusi raja bukan sahaja kepada kritikan awam malah cercaan, yang sepatutnya dielakkan. 

Realitinya, mengurus organisasi sukan terutama yang popular tidak sama dengan kehidupan di istana yang penuh darjat dan protokol. Istana terpelihara dan dihormati oleh masyarakat yang bernaung di negara Raja Berperlembagaan ini. 

Sedangkan persatuan sukan dalam persekitaran yang jauh berbeza dengan diwarnai pengharapan, kritikan malah politik sukan itu sendiri. Peneraju persatuan sukan sentiasa dinilai melalui kata-kata, sikap, pemikiran dan sudah tentu pencapaian. 

Jika banyak bercakap dan mengeluarkan kenyataan apatah lagi yang kerap mengundang kontroversi maka mudahlah mendapat reaksi awam termasuk yang tidak disenangi. Lihatlah di laman sosial dan media baharu yang membuktikan hakikat tersebut. 

Yang dilihat baik biasanya disokong dan dihargai manakala tidak baik akan dikecam biarpun membabitkan Raja, mufti, ulama mahupun pemimpin. 

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pada Awang, seseorang Raja atau Putera Raja berdepan dengan pengharapan tinggi sekiranya menerajui persatuan sukan kerana harus menjadi contoh terbaik kepada masyarakat. Antaranya harus mencerminkan budaya tinggi yang merangkumi kehalusan budi dan nilai-nilai murni yang perlu terzahir sepanjang masa. Maka tingkah laku yang tidak bersesuaian bukan sahaja akan menghakis keyakinan rakyat kepada persatuan sukan bahkan institusi raja. 

Seseorang Raja dan Putera Raja boleh menceburi pentadbiran sukan mahupun bidang lain tetapi sewajarnya dalam lingkungan istana sentiasa berperanan sebagai pusat peradaban dan ilmu (sebagaimana era kegemilangan kesultanan di rantau Arab mahupun Kesultanan Melaka).  Komitmen untuk mendokong institusi  raja terutama pada era globalisasi yang mencabar ini bukan sahaja tanggungjawab rakyat malah golongan istana itu sendiri. 

Awang ingin memetik tulisan ruangan ini  yang tersiar 16 Julai lalu.

"Rakyat kini makin bijak dan tajam dalam menilai tingkah laku, titah dan pandangan Raja mahupun  Putera Raja. Yang baik sudah tentu dijunjung masyarakat. Jika sebaliknya pula, ia ditolak walaupun rata-rata rakyat tidak menyatakannya secara terbuka. Sebab itu rakyat mudah terganggu jika ada suara yang tidak mencerminkan budaya tinggi istana." 

Apa yang Awang sampaikan ini masih berlapik tetapi dalam perbualan harian masyarakat akar umbi, maklum balasnya  jauh lebih keras. Jangan hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga. 

Tolong jawab 

Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang tak keruan dalam reaksinya kepada isu beliau mahu menjadi Perdana Menteri dan dakwaan menerima RM 1 bilion daripada Dr. Mahathir Mohamad, masih belum menjawab isu di mana beliau lahir. 

Selepas dibangkitkan oleh beberapa pihak ekoran status maklumat kelahirannya dalam Wikipedia pada Ogos lepas yang tertera wakil rakyat DAP itu berhijrah ke Malaysia dari China sejak tahun 1957 kemudian tiba-tiba telah diubah suai oleh pihak tertentu. 

Namun Kit Siang terus berdiam hingga hari ini. Awang tidak faham mengapa hal yang mudah seperti itu beliau mengelak diri daripada menjawab, seperti ada yang tidak kena. Selagi Kit Siang tidak menjawab selagi itu ramai yang tidak akan berhenti dan terus bertanya. 

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kepada anaknya, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Awang juga ingin bertanya tentang rasional keputusan beliau melantik penceramah, Ustaz Wan Ji San Hussin sebagai Pegawai Penerangannya bulan lalu. Walaupun pelantikan tersebut mencetuskan isu ekoran rakaman video Wan Ji sebelum itu yang mahu menghapuskan institusi raja di negara ini, Guan Eng tutup mulut. 

Setakat ini Wan Ji tidak menarik balik kenyataannya yang berbau hasutan itu mahupun meminta maaf. Ramai yang mengaitkan pelantikan Wan Ji sebagai isyarat pendirian DAP yang komited mahu menjadikan Malaysia negara republik suatu hari nanti. Awang tiada jawapan melainkan Guan Eng yang layak merungkainya.

Bersihkan PDRM

Siapalah agaknya pegawai kanan termasuk Ketua Polis Negeri yang bakal diambil tindakan termasuk dibuang?

Itulah yang bermain di fikiran Awang selepas Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun memberikan amaran tersebut kepada warga polis yang melakukan rasuah terutama melindungi kegiatan jenayah termasuk judi haram.

Sejak menyandang jawatan tersebut September lalu, itulah kenyataan paling keras Fuzi yang komited untuk membersihkan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada rasuah dan salah guna kuasa.

Sebelum beliau dilantik, PDRM berdepan dengan persepsi rasuah yang serius termasuk melibatkan para pegawai kanan. Malah terdapat dakwaan bos tertentu polis termasuk di negeri disogok oleh sindiket judi dan bermacam lagi.

Memerangi rasuah dalam mana-mana agensi penguat kuasa di seluruh dunia bukanlah mudah dan ia akan menjadi cabaran besar Fuzi. Beliau sendiri mengakui ramai (pegawai) yang berlakon dan main wayang. "Saya tidak akan bertoleransi, jika perlu buang Ketua Polis (negeri) saya akan buang, " tegas beliau.

Sebenarnya bermain wayang antara sebab mengapa kegiatan premis judi haram masih berleluasa di negara ini, kongsi gelap makin aktif dan dadah mudah diperoleh di pasaran.

Namun sebagai seorang dikenali berintegriti, Fuzi mempunyai kelebihan untuk melakukan pembersihan. Rakyat Malaysia akan bersama anda Tan Sri, teguhkanlah jiwa menghadapi apa sahaja dugaan. Harap-harap tiada lagi amaran sebagaimana budaya memberi amaran sebelum ini. Kejutkan sahaja semua dengan tindakan.

Lebihan buku

Kenyataan  Menteri Pendidikan, Mahdzir Khalid yang mahu kementerian mengkaji isu pelajar terutama di sekolah rendah yang membawa lebihan buku ke sekolah,  menarik perhatian. 

Antara lain beliau menyatakan pelajar sekolah rendah kini dibebani dengan terlalu banyak buku sehingga beratnya  mencecah 10 kilogram. Malah berdasarkan maklum balas ramai ibu bapa yang Awang terima, longgokan buku yang lebih berat iaitu sekitar 13 dan 15 kilogram adalah perkara biasa bagi anak-anak mereka bawa berulang alik ke sekolah. 

Kasihan anak-anak berusia 7-12 tahun  yang terpaksa memikul kandungan beg yang berat atas arahan pihak sekolah. Apatah jika perlu naik tangga ke kelas sehingga ada yang mengadu sakit belakang dan memberi kesan kepada masalah fizikal. 

Sebab itu Awang  lega dengan perhatian serius yang diberikan oleh Mahdzir dalami isu tersebut. 

Sepatutnya kemajuan teknologi  pendidikan mengurangkan penggunaan buku di sekolah terutama buku tambahan dan buku latihan. Kementerian tidak boleh mengambil masa lama lagi untuk membetulkan keadaan. 

Sementara menunggu pelaksanaan kaedah Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) iaitu berorientasikan interaktif dengan penggunaan gajet diperluaskan ke seluruh negara (baru melibatkan sebuah sekolah di Putrajaya), langkah drastik perlu diambil. Harap-harap sesi persekolahan awal tahun depan, ada berita gembira buat pelajar sekolah rendah khususnya.

 

Petanda buruk

Di sebalik kempen hebat para pemimpin Pakatan Harapan termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengajak rakyat Malaysia dari seluruh negara menyertai perhimpunan Sayang Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi di Petaling Jaya, semalam, hasilnya mengecewakan. 

Perhimpunan tersebut walaupun diadakan dalam bentuk karnival tidak mendapat sambutan jauh sekali untuk memberi impak. Isu-isu kleptorasi dan 1MDB yang dimainkan secara keterlaluan tidak lagi laku sebaliknya makan diri. 

Sekali lagi, ia menyerlah perhimpunan jalanan seperti Bersih dan beberapa lagi yang bertujuan  menggulingkan kerajaan, ditolak rakyat. Awang berpendapat rakyat Malaysia tidak selesa dengan pendekatan sebegitu kerana lebih mendokong politik kesederhanaan. 

Selain itu ia membuktikan jenama Pakatan Harapan semakin rosak disebabkan politik ekstrem seperti mensabotaj ekonomi negara dan pelbagai isu kepincangan serta ketidaktentuan oleh kerajaan negeri DAP dan PKR. Ketiadaan Pas dalam Pakatan Harapan terus menjejaskan keupayaan untuk menarik akar umbi menghadiri program besar. Para pemimpin PPBM dan PAN  termasuk Dr. Mahathir Mohamad  terus gagal memikat orang Melayu.

Ternyata orang Melayu menolak pencabulan prinsip dalam berpolitik, lebih-lebih lagi untuk dipergunakan oleh parti  rasis iaitu DAP. Ia suatu penghinaan besar yang tidak boleh diterima. Mesejnya kegagalan perhimpunan semalam adalah satu lagi petanda buruk buat Pakatan Harapan.