Antaranya pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan pelantikan Ketua Hakim Negara, Richard Malanjun, yang menurut Pas sebagai memenuhi agenda DAP. 

Itu belum menyentuh kenyataan pemimpin dan aktivis Pakatan Harapan dalam pelbagai isu seperti cadangan memansuhkan sekolah tahfiz, pengembangan syiah dan Islam liberal. Begitu juga hujah-hujah kenyataan

Menteri  Kewangan, Lim Guan Eng berhubung penjimatan 47 peratus kos projek MRT3 yang menjadi bahan sinikal. Ia bukannya kerana tadbir  urus yang baik tetapi pengurangan infrastruktur yang jangka masa panjang merugikan rakyat dan kerajaan. 

Turut mengundang perhatian adalah pengakuan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail bahawa harga barang hanya turun sedikit walaupun selepas sifar cukai barangan dan perkhidmatan (GST). 

Malah ada kenyataan pemimpin Pakatan Harapan bahawa GST bukan punca harga barang naik sedangkan ia menjadi bahan tohmahan ketika kempen PRU-14. 

Sehingga semalam, Speaker Parlimen juga masih belum dilantik walaupun ada tafsiran peraturan, ia sepatutnya dibuat dalam tempoh 14 hari. Persidangan Dewan Rakyat akan bermula esok, yang pertama selepas PRU-14. 

Dari segi ekonomi, beberapa petunjuk terus suram. Antaranya Nikkei Asian Review, akhbar kewangan terbitan Nikkei terbesar di dunia melaporkan, ketidakyakinan kepada polisi kerajaan Pakatan Harapan. Ini ekoran dasar-dasar kewangan yang tidak kukuh termasuk pemansuhan GST,  penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat dan juga dana saham yang terus mengalir keluar disebabkan ketidakyakinan pelabur. 

Lalu Awang tertanya-tanya apa sudah jadi dengan segala laungan Pakatan Harapan kononnya akan menyelamatkan rakyat dan negara ketika kempen PRU-14? Ia kelihatan seakan-akan bertukar sebaliknya jika perkembangan sebegi berterusan. 

Hakikatnya dari minggu ke minggu menyaksikan populariti kerajaan Pakatan Harapan merosot  termasuk melalui undian rakyat di media sosial. 

Sejak awal lagi Awang melihat banyak kecelaruan dan malah kesilapan. Seperti ditegaskan oleh penganalisis, Profesor Dr. Mohammad Agoes Yusoff, kerajaan perlu lebih berorientasikan tindakan untuk rakyat dan bukan asyik banyak bercakap serta melihat ke belakang. 

Di sebalik semua ini, Awang percaya kerajaan akan mengambil langkah meredakan keresahan sambil melonjakkan keyakinan rakyat. Dalam kita mahu memberi peluang kepada kerajaan baharu dengan mengharapkan sinar yang sebenar, persoalannya berapa banyak lagi kecelaruan dan kesilapan yang bakal terjadi?


Jagalah sensitiviti
Pelbagai pihak terus membantah langkah kerajaan Pakatan Harapan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang dilihat bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. 

Ketika banyak janji yang lebih mendesak dan sepatutnya prioriti kepada tuntutan rakyat masih belum ditunaikan, UEC pula yang diberi keutamaan. 

Apatah lagi tiada sebarang kajian dan proses mendapatkan maklum balas daripada semua pihak yang seharusnya dilakukan terlebih dahulu. 

Jika banyak janji lain kononnya masih belum dilaksanakan atas andaian  “tunggu mengandung baru boleh dapat anak” tetapi UEC boleh dianggap anak ekspres. 

Awang seperti juga tokoh, pemimpin badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik sangat terganggu dengan perkembangan ini. Benar seperti kata tokoh sosiobudaya, Dr. Rais Yatim bahawa pengiktirafan terhadap UEC begitu besar implikasinya. Sepatutnya ia perlu dihalusi dengan mendalam termasuk dijadikan Memorandum Parlimen, untuk dibahaskan. Beliau turut  menempelak kerana suara majoriti iaitu orang Melayu dan bumiputera tidak diambil kira. Awang tabik Rais kerana konsisten dalam memperjuangkan dasar pendidikan dan bahasa walaupun pada era kerajaan baharu. 

Seorang lagi tokoh Profesor Dr. Teo Kok Seong turut menyifatkan langkah tersebut sebagai tergesa- gesa dan tidak adil kepada para pelajar sekolah kebangsaan. Antara asas bantahan oleh pelbagai pihak adalah UEC diwujudkan oleh NGO dan bukannya kerajaan sebagai pembuat dasar, tidak mengikut acuan sistem pendidikan nasional sepenuhnya dan membelakangkan Bahasa Kebangsaan. 

Awang melihat pengiktirafan itu seperti berundur ke belakang. Ketika negara-negara lain mengambil pelbagai langkah memperkasakan sistem pendididikan nasional tunggal, Malaysia makin terjunam dalam perkauman yang sempit. Inikah Malaysia baharu yang dilaung-laungkan oleh Pakatan Harapan?

 Memandangkan gelombang bantahan yang kuat, Awang berharap kerajaan akan setidak-tidaknya menangguhkan pelaksanaannya. Maka kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang menegaskan tidak akan membuat pusingan U dalam keputusan itu, boleh mencetuskan ketidakharmonian. 

Sudah terbukti beberapa keputusan kerajaan Pakatan Harapan telah dibuat pusingan U, maka tiada salahnya jika pengiktirafan UEC ini dikaji semula bagi meredakan keadaan. Ramai yang mahukan Maszlee tidak tunduk kepada tekanan DAP. 

Adalah kesilapan besar jika kerajaan Pakatan Harapan mengambil mudah suara bantahan majoriti dalam isu tersebut. Ingatlah Pakatan Harapan sudah menjadi kerajaan, bukan lagi pembangkang. Ini masa untuk lebih berhati-hati dalam menjaga sensitiviti. 


Hormati Apandi 
Siapa menduga bekas Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang diumumkan semalam. Pada awalnya selepas pengumuman Apandi dikatakan positif kepada pelantikan tersebut. Bagaimanapun beberapa jam kemudian, beliau mengumumkan menolaknya. 

Awang boleh faham bahawa penolakan itu kesan   reaksi negatif yang mengaitkan beliau dengan siasatan 1MDB. Pada masa yang sama tidak kurang yang menyambut baik pelantikan tersebut. 

Antara hujah mereka UMNO memerlukan lebih ramai tokoh Melayu seperti itu selain teruja kesanggupan Apandi  untuk masuk ke gelanggang perjuangan pada ketika UMNO berdepan dugaan besar selepas hilang kuasa. Namun usaha untuk melihat Apandi menyertai MT UMNO  tidak kesampaian. 

Apa pun kita hormatilah keputusan beliau yang tentunya ada pertimbangan tersendiri. Semoga  ada tokoh lain sebagai pengganti.


Anwar dan PKR
Pemimpin utama PKR, Anwar Ibrahim telah selamat menjalani dua pembedahan pada bahu kanan dan sakit belakang di Turki. Syukurlah. Semoga beliau akan cepat sembuh dan kembali cergas bagi meneruskan jadual  aktiviti parti selepas dibebaskan dari penjara atas pengampunan penuh. 

Anwar akan menjadi tumpuan perhatian selepas ini kerana desas-desus beliau akan bertanding sebagai Presiden PKR menggantikan isterinya, Wan Azizah Wan Ismail. Walaupun belum ada pengesahan, bibit-bibit ke arah itu makin jelas.  Arus akar umbi parti mahukan Anwar menyandang jawatan tersebut makin kuat apatah lagi Wan Azizah bersedia memberi laluan kepada suaminya itu. Awang melihat pemilihan Ogos ini adalah peluang terbaik bagi PKR mengangkat Anwar ke tampuk teraju secara  rasmi atas mandat perwakilan dan ahli. 

Ini bagi menyediakan beliau sebagai bakal Perdana Menteri atas kapasiti Presiden PKR  selepas Dr. Mahathir sebagaimana pelan yang telah dipersetujui oleh Pakatan Harapan. Bagaimanapun situasi ini mencetuskan dilema kerana ada pihak dalam PKR mahukan Wan Azizah kekal sepenggal lagi sebagai Presiden. Juga timbul persoalan tentang  status beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menteri Kabinet. Awang percaya tentu ada jalan keluar kepada semua ini. 

Wan Azizah boleh menyandang kedua-dua portfolio itu walaupun bukan bergelar presiden parti atas muafakat dalam Pakatan Harapan. Lagi pun kedudukan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama telah memberi imej positif kerana dilihat sebagai pembaharuan oleh rakyat dan dunia luar.

 Dalam ahli-ahli PKR sentiasa  menghormati Wan Azizah, peralihan teraju kepada Anwar akan melonjakkan parti itu ke tahap lebih tinggi. Itulah juga keyakinan Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang memberi mesej bahawa Anwar tetap dominan. Awang juga melihat begitu meskipun ada teori baharu bahawa kononnya Timbalan Presiden PKR. 

Mohamad Azmi Ali bakal menyaingi pengaruh Anwar. Hakikatnya Anwar masih jauh ke hadapan dalam maneuver politik. Beliau akan melakukan apa yang Wan Azizah tidak mampu lakukan sebagai presiden. Ini bermakna era penguasaan Anwar sepenuhnya dalam PKR selepas ini. Bersedialah !
 

Azam Thomas
Ucapan Peguam Negara, Tommy Thomas menggunakan Bahasa Melayu pada majlis Hari Raya Aidilfitri Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA) baru-baru ini menarik perhatian. Walaupun Thomas membaca teks sepanjang ucapan itu pada majlis yang santai,  ia dilihat usaha yang baik untuk beliau lebih membiasakan diri menggunakan Bahasa Melayu. 

Awang percaya beliau telah mengambil iktibar daripada kritikan ramai sebelum ini atas kegagalannya untuk memberikan sidang akhbar dalam bahasa tersebut ketika pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak. 

Rakyat akan menyokong usaha Thomas untuk memperbaiki penguasaan Bahasa Melayu apatah lagi itu antara azamnya. Awang percaya beliau mampu menunjukkan peningkatan besar asalkan ada kesungguhan dan keyakinan. Berilah peluang kepada Thomas dan kita nilailah kemudian.