Seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad, akan lebih ramai ditahan dan didakwa pada bulan Ogos dan September, ia terus menjadi kenyataan.
Terbaharu, exco kanan Kerajaan DAP Pulau Pinang, Phee Boon Poh (Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) ditahan bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa. Ini ekoran serbuan SPRM ke atas kilang haram itu yang 'kebal' kerana tidak pernah diambil tindakan walaupun menyebabkan pencemaran serius.
Sebelum ini puluhan laporan penduduk termasuk oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin (PKR) telah dibuat kepada pihak yang bertanggungjawab. Dalam reaksi semalam, Dr. Norlela dan para penduduk mengucapkan terima kasih kepada SPRM atas tindakan itu. Ternyata yang menyelamatkan penduduk sekitar daripada ancaman pencemaran serius adalah SPRM, bukannya Kerajaan DAP Pulau Pinang. 
Awang sekadar senyum. Tidak sampai seminggu selepas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan barisan exco turut melafaz ikrar, terdedah satu lagi kes dipercayai salah guna kuasa dan rasuah. Selain Guan Eng yang didakwa atas pertuduhan rasuah di mahkamah (tetapi enggan bercuti dan melepaskan jawatan), Boon Poh pula terpalit. 
Apa maknanya melafaz ikrar IBR jika ia tidak mencerminkan hakikat sebenar? Integriti bukan sekadar di bibir tetapi pada amalan. Awang tertanya-tanya siapa lagi terbabit dalam kes kilang haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam itu selain Boon Poh dan pemilik kilang serta anaknya.
Perkembangan baharu ini merupakan satu lagi tamparan kepada kerajaan negeri yang kini dilanda pelbagai kepincangan terutama berkaitan beberapa projek mega. Awang percaya pentadbiran Guan Eng kini makin panas dilingkari isu integriti. 
Sebab itu, beliau melatah mempertahankan Boon Poh dengan alasan kononnya dia exco paling kaya, membuka persoalan dari mana datang kekayaannya. Selepas ini, dipercayai ada beberapa lagi kes di negeri itu dalam radar siasatan dan menanti terbongkar. Kita tunggu..

Kenapa tak jawab?
Walaupun didesak pelbagai pihak sejak seminggu lalu untuk menyatakan tempat kelahirannya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang tetap membisu. Awang musykil mengapa beliau enggan menjawab pertanyaan mudah itu, yang pelajar tadika boleh melakukannya dengan senyuman.
Minggu lepas dalam ruangan ini, pertanyaan yang sama dilontarkan sebagaimana juga pertanyaan orang ramai menerusi laman sosial. Bersemuka dengan sekumpulan wartawan juga, beliau bergelut untuk elak menjawab sehingga mencetuskan persoalan besar. 
Bagai ada batu berat di lidah dan sarang semut di dalam kepala yang sangat mengganggu fikiran. 
Baru-baru ini, Presiden Persatuan Minda Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao menghantar memorandum meminta pengesahan asal usul Kit Siang ekoran latar belakang pemimpin pembangkang itu dalam laman web Wikipedia telah diubah suai. 
Siapakah yang bertanggungjawab mengubahnya? Awang menunggu kenyataan Kit Siang untuk membidas pihak yang mengubah fakta asas itu tetapi tiada juga, seperti ada yang tidak kena. Sebelum ia menjadi misteri maka Kit Siang harus tampil menjawab. Jadilah anak jantan.

Tragedi keluarga
Sedih, marah dan terkejut. Itulah reaksi rakyat Malaysia terhadap kes seorang duda yang menghadapi 626 pertuduhan termasuk 594 bagi perbuatan liwat ke atas anak perempuannya berusia 15 tahun. Kes tersebut menggemparkan negara selepas ejen unit amanah berusia 36 tahun itu didakwa di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Putrajaya pada Rabu dan Khamis. 
Lelaki berkenaan yang dirahsiakan namanya bagi melindungi identiti mangsa, mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan dan kes akan dibicarakan September ini. Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan lebih 3000 tahun. 
Inilah pertama kali dalam sejarah, jumlah pertuduhan yang sebegitu banyak dan tempoh hukuman paling lama, mencerminkan jenayah seksual berulang-ulang, yang luar biasa. Awang meratap di dalam hati kerana tidak sanggup membaca lebih mendalam pertuduhan demi pertuduhan sambil mendoakan yang terbaik buat mangsa yang terpaksa melalui trauma selepas ini. 
Apa jenis bapa sehingga tergamak melakukan perbuatan terkutuk dengan begitu dahsyat sekali. Sepatutnya dia melindungi dan menjaga kehormatan anak dan bukannya memusnahkan. Apa yang berlaku ini adalah kisah tragedi pada sebuah keluarga akibat perceraian. 
Tertuduh ditahan polis selepas mang­sa mendedahkan nasib malang menimpanya kepada ibu kandung, setelah mengetahui bapanya itu berhasrat mengambil dua adiknya berusia sembilan dan 11 tahun (yang ketika itu tinggal dengan ibunya) untuk tinggal bersama. Awang sangat berharap kes tersebut adalah terpencil dan tiada kes lain seumpama itu, yang dilaknati Allah SWT dan meruntuhkan institusi keluarga. 
Semoga ia membuka mata dan menjadi pengajaran kepada kita semua. Ini meliputi hukuman lebih berat terhadap pesalah kes rogol sumbang mahram, yang gesaan itu dibuat oleh banyak pihak sebelum ini. Belum pun reda jenayah seksual yang menggemparkan itu, Awang terganggu dengan laporan media kelmarin mengenai dua beradik di Serian, Sarawak yang mendakwa dirogol bapa, datuk dan dua bapa saudara. 
Cabarannya apa lagi yang tidak diketahui kerana banyak kes yang dipercayai tidak dilaporkan kepada polis. Maka sudah sampai masanya pesalah kes rogol sumbang mahram dikenakan hukuman berat yang 
menggerunkan sebagai elemen pencegahan. 
Usaha menangani gejala jenayah seksual kanak-kanak ini menuntut iltizam baharu dan pendekatan lebih efisien. Inilah masanya.
Malindo Air kebal? 
K etika pelbagai pihak mahu operasi Malindo Air dipindahkan semula ke KLIA2, terdapat usaha tertentu dengan bantuan Kementerian Pengangkutan, mahu ia dikekalkan di KLIA. 
Awang difahamkan pelbagai alasan diberi bagi mewajarkan operasi Malindo Air di KLIA. Ini termasuk faktor perkongsian kod penerbangan dan perpindahan penumpang dari KLIA2 ke KLIA. 
Sebenarnya bukan masalah besar dalam aspek memindahkan penumpang dan bagasi kerana terdapat kemudahan seperti Express Rail Link (ERL). Awang percaya Malindo Air mampu mencari jalan mengatasinya dengan bantuan Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB ). 
Juga cuba digambarkan oleh pihak berkenaan bahawa Malindo Air adalah syarikat penerbangan tempatan tetapi realitinya ia lebih dikuasai pihak asing. Jumlah keseluruhan saham diterbitkan ialah satu juta saham (51 peratus Sky One Investors Sdn. Bhd., selebihnya 49 peratus PT Lion Grup) manakala saham keutamaan 259,084,598 saham (dipegang oleh PT Lion Grup menerusi LM Capital Sdn. Bhd.)
Jadi mengapa harus Malindo Air menerima layanan istimewa kerana ia bukan syarikat penerbangan nasional seperti Penerbangan Malaysia. Soal Malindo Air akan terjejas jika berpindah juga tidak timbul memandangkan ia pernah beroperasi dari klia2 dan Air Asia terbukti berjaya beroperasi di situ.
Perancangan asal KLIA2 dikhas untuk syarikat penerbangan bajet seperti Air Asia dan Malindo perlu dikekalkan bagi memudahkan penyelarasan. Lagipun KLIA kini makin sesak terutama pada waktu puncak yang jika keadaan itu berterusan akan menggugat industri pelancongan negara. 
KLIA mempunyai kapasiti mengendalikan 25 juta penumpang setahun, yang boleh menampung sehingga 30 juta tetapi akan menjejaskan keselesaan penumpang. Bagi tempoh 12 bulan dari 1 Julai 2016 hingga 30 Jun 2017, KLIA mengendalikan 28.2 juta penumpang, dan 15 peratus adalah penumpang Malindo Air.
Ini bermkna kapasiti KLIA kini ialah 95 peratus tetapi KLIA2 hanya 60 peratus digunakan. Kesannya, penumpang terpaksa beratur panjang di kaunter periksa masuk; kesesakan di pusat pemeriksaan imigresen; kesesakan tandas pada waktu puncak; kesesakan aerotrain dan kelewatan besar ketibaan bagasi. 
Maka atas semua hujah itu, Awang setuju dengan gesaan banyak pihak agar kerajaan melakukan pembetulan dengan memindahkan semula operasi Malindo Air. Tunggakan cukai lapangan terbang syarikat penerbangan tersebut sebanyak RM70 juta juga menimbulkan banyak persoalan.
 Sekiranya keputusan diambil untuk mengekalkan Malindo Air di KLIA, ia akan memberi mesej yang salah kepada semua. Ia juga akan mengesahkan cakap-cakap bahawa syarikat itu 'kebal', yang Awang sangat berharap tidak.

Siapa yang Bankrap?

Di sebalik gerakan sabotaj ekonomi dan tohmahan oleh pemimpin Pakatan Harapan, makin banyak kisah kejayaan buat negara. Majlis pecah tanah projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Rabu lalu, adalah satu lagi projek mega dengan kos RM55 bilion yang akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi khususnya di Pantai Timur. Projek sejauh 688 kilometer (dari Pelabuhan Klang ke Pengkalan Kubor) dan akan memendekkan perjalanan kepada empat jam dari Gombak - Kota Bharu, dijadualkan siap 2024. ECRL seperti juga projek MRT di ibu negara, disifatkan projek pengangkutan awam berkelas dunia, yang akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara. Jika diimbas sejak tiga tahun lalu, beberapa pemimpin utama Pakatan Harapan menggambarkan Malaysia begitu buruk seolaholah negara ini tidak layak didiami manusia selain ekonominya bakal bankrap. Pembohongan dan persepsi liar dimainkan secara agresif sambil mengundang campur tangan asing. Namun hari demi hari, bulan demi bulan dan tahun demi tahun, ternyata Malaysia tidak bankrap. Yang sebenarnya bankrap adalah Pakatan Harapan itu sendiri dari segi jenama dan idea. Pernahkah pemimpin yang melemparkan tohmahan menarik balik kenyataan jika ternyata ia meleset dan tidak berasas, yang setahu Awang tidak pernah.
Jika di banyak negara terutama Barat, pemimpin politik yang berulang berbohong dan mentohmah, dengan sendirinya dicela dan ditolak masyarakat. Tiada maaf.