Awang bersyukur dengan penyatuan semua pihak tanpa mengira perbezaan politik, agama dan kaum untuk membantu terutama kepada ribuan mangsa banjir. 

Ini termasuk bagaimana dalam keadaan darurat, masjid dan surau turut menjadi tempat perlindungan kepada bukan Islam. 

Begitu juga dengan keprihatinan para pemimpin Kerajaan Pusat  yang antara lain dibuktikan dengan lawatan turun padang Perdana Menteri, Najib Tun Razak, Timbalannya, Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan, Hishammuddin Tun Hussein. 

Langkah memberikan peruntukan khas RM1 bilion bagi mengatasi banjir di Pulau Pinang selain puluhan misi bantuan banjir adalah terpuji tanpa mengira negeri itu ditadbir oleh DAP. 

Semoga jiwa penyatuan ini terus subur selepas ini tanpa menunggu berlakunya bencana. Maka menjadi harapan agar pendekatan politik matang  dan konstruktif dapat menggantikan pendekatan politik melampau dan ekstrem. 

Lihatlah bagaimana Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendapat pengajaran paling bernilai dengan banjir melanda negeri itu. 

Tohmahan dan hinaan beliau kepada kerajaan Kelantan pimpinan Pas yang didakwanya gagal mentadbir dengan baik sehingga berlaku banjir di Kelantan, akhirnya makan diri. Tepuk air di dulang terpercik muka sendiri. Bukankah kini Pulau Pinang mencerminkan pentadbiran yang gagal? 

Awang berharap perubahan sikap Guan Eng yang kelihatan agak budiman dan tiada lagi nada angkuh, akan berterusan. Ingatlah kita mungkin mudah lupa kepada bencana tetapi bencana tidak akan lupa kealpaan kita. Ia akan menghukum dengan lebih dahsyat lagi apabila tiba masanya. 

Kit Siang bertindaklah

LIM KIT SIANG
LIM KIT SIANG

Awang tidak pasti sama ada Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendapat mesej daripada segala seruan ekoran banjir besar melanda negeri itu. 

Setakat ini gesaan antaranya oleh Presiden Persatuan Sahabat Alam Malaysia (SAM), S.M Mohamed Idris agar dihentikan segera projek lereng bukit dan tanah tinggi serta tidak meluluskan permohonan baharu, tidak disahut. 

Awang hairan mengapa Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan exconya tidak responsif kepada kehendak rakyat, badan-badan bukan kerajaan dan persatuan pencinta alam biarpun dengan bencana terbaru.

Apakah kerajaan negeri mahu terus rakus bersama-sama pemaju melaksanakan pembangunan keterlaluan yang boleh disifatkan sebagai jenayah alam sekitar. 

Di sebalik janji kerajaan DAP selepas memerintah  pada 2008 untuk mengatasi segera masalah banjir, pulau itu terus dilanda banjir. Awang sedih kerana sejak parti itu memerintah, keadaan dan risiko banjir lebih besar berbanding negeri lain.

Exco kanan negeri Chow Kon Yeow mengesahkan berlaku 119 banjir  dalam tempoh empat tahun dari 2013 hingga 15 Oktober tahun ini. Jumlah itu tidak termasuk banjir terbaru ekoran hujan dan ribut kencang, beberapa kejadian tanah runtuh dan banyak pokok tumbang yang melumpuhkan negeri itu. Ribuan penduduk dipindahkan. Apakah DAP masih tidak mahu buka mata? 

Dalam hubungan ini, Awang setuju dengan jurucakap MCA, Ti Lian Ker yang mencabar Penasihat DAP, Lim Kit Siang agar menggesa kerajaan pimpinan anaknya mengambil tindakan untuk menghentikan sama sekali masalah banjir. 

Lian Ker mengingatkan bagaimana Kit Siang memberikan tekanan menerusi kenyatannya pada 7 Ogos 1998 dengan menyalahkan kerajaan negeri Barisan Nasional ( BN) berikutan banjir yang melanda Pulau Pinang pada waktu itu.

Sebagai bapa, pengasas Dinasti Lim dan pemimpin de facto DAP serta Pakatan Harapan, Kit Siang perlu campur tangan pastikan Guan Eng tidak sesat jauh sehingga membawa mudarat kepada rakyat dan memburukkan lagi imej DAP. 

Sudahlah Guan Eng enggan bercuti apatah lagi meletakkan jawatan selepas didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah yang Kit Siang pejamkan mata, kali ini bertindaklah demi rakyat. 

Kalau sayangkan anak sekalipun tegur-tegurkan sebelum segala-galanya terlewat. 


Bijakkah Azmin?
Awang tidak terkejut dengan arahan kerajaan Selangor pimpinan PKR yang melarang langganan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian di semua jabatan, agensi dan anak-anak syarikatnya. Menteri Besar, Azmin Ali tentunya merasa makin tertekan menjelang PRU-14 sehingga terlebih bimbang terhadap pengaruh kedua-dua akhbar itu. 

Arahan melalui satu pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri menyerlahkan hakikat bahawa PKR dan Pakatan Harapan tidak mempunyai keyakinan untuk mengurus keterbukaan.

Awang percaya ini ada kaitan dengan tindak balas kerajaan negeri terhadap  laporan media mengenai banyak kepincangan kerajaan negeri kebelakangan ini. Terbaharu isu status ke mana 'hilangnya' peruntukan Sistem Rekod Maklumat Jalan Raya (MARRIS) sebanyak RM 2.9 bilion daripada Kerajaan Pusat kepada kerajaan Selangor. 

Pada  Khamis lepas pula Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh menolak usul memperkasa Mahkamah Syariah yang disifatkan memperlekeh kuasa Sultan Selangor. Ia menjadi tajuk utama muka depan Utusan Malaysia, kelmarin dengan pelbagai pihak memberikan reaksi membantah Hannah. 

Sebenarnya sebelum ini pun pada 2008 sudah ada arahan mengharamkan Utusan Malaysia, dipercayai atas pengaruh DAP tetapi tidak diendahkan oleh ramai penjawat awam negeri itu. Mereka tahu menilai. Maka sekali lagi segala janji Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya sebelum ini kononnya bagi mendokong demokrasi dan kebebasan media, hanya pembohongan untuk memancing undi. 

Selain memberikan mesej yang salah kepada rakyat seolah-olah Selangor bukan negeri maju, Awang lihat langkah tersebut  tidak bijak kerana cuba mengehadkan jalinan antara Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan penjawat awam negeri khususnya. 

Utusan Malaysia dan Berita Harian dipercayai paling banyak menyiarkan pemikiran, seruan dan nasihat baginda, atas nama kepentingan negara, negeri dan Perlembagaan. 

Komitmen kedua-dua akhbar berkenaan jauh lebih tinggi berbanding akhbar lain dalam mendokong institusi diraja Selangor yang disayangi dan disegani. Apakah Azmin dan DAP mahu melihat Sultan Selangor jauh daripada rakyat dan penjawat awam?


Tegas dan daulat
Tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kejayaan menahan 22 individu termasuk wanita bergelar Datuk dalam Ops Armada bagi membanteras pencerobohan nelayan asing. Inilah kejayaan terbesar SPRM dalam menangani gejala rasuah dan salah guna kuasa berkaitan pencerobohan asing. 

Lima penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan seorang pegawai Jabatan Perikanan  antara yang ditahan. Ops itu dengan kerjasama APMM turut merampas wang tunai RM1.9 juta; empat kereta mewah; dan membekukan 44 akaun bank berjumlah RM2 juta milik suspek. 

Awang berharap pelbagai langkah tegas terus diambil memandangkan gejala mencuri hasil laut negara makin serius. Dilaporkan sebanyak RM3 bilion hingga RM6 bilion sumber laut negara hilang setiap tahun. Hampir satu juta tan atau 50 peratus ikan ditangkap di perairan Malaysia dilarikan ke negara asing setiap tahun. Awang berpendapat kita perlu mencontohi ketegasan Indonesia dalam menjaga kedaulatan perairan dan sumber kekayaan laut sehingga digeruni nelayan asing. 

Selagi Malaysia tidak cukup bertegas, selagi itulah perairan kita diambil mudah. Lebih menyedihkan ekosistem perairan kita makin rosak dan diancam kepupusan. Siapa harus bertanggungjawab?


Aura Zakir Naik 
Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa tiada sebarang bukti pendakwah antarabangsa, Zakir Naik terlibat dalam aktiviti mempromosi keganasan dan penggubahan  wang haram, menyerlah lagi hakikat sebenar. 

Ternyata siasatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuktikan tiada satu pun ucapan beliau yang bersifat hasutan dan menggalakkan keganasan. 

Awang melihat kenyataan Zahid di Dewan Rakyat itu dengan sendirinya menyangkal segala tohmahan terhadap Zakir Naik, yang dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu di negara ini. 

Sepatutnya Zakir Naik yang pakar dalam perbandingan agama perlu dihadapi dengan keyakinan oleh sesiapa pun melalui pendekatan ilmiah, dan bukan secara sentimen liar dan ekstrem. 

Awang kasihan kerana pendakwah itu menjadi mangsa tohmahan sehingga turut mengheret kerajaan Malaysia kepada situasi ditekan dan diugut oleh pihak yang umpama kaduk naik junjung. Kini sudah  terang lagi bersuluh, Zakir Naik bukan masalah apatah lagi musuh.


Safiq dan maaf
Tindakan kapten pasukan JDT, Safiq Rahim melemparkan kata-kata kesat selepas JDT menewaskan Kedah pada final Piala Malaysia, mengundang kemarahan ramai. 

Sayang sekali. Safiq telah memimpin pasukan JDT menang di padang tetapi beliau tewas di luar padang angkara emosi sendiri. 

 " ...all the haters...! Gua champion sekarang...**. Lepas ni kau tengoklah!". 

Itulah ungkapan yang ditujukan kepada kelompok anti-JDT. Sebarang kegagalan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan dikhuatiri akan mengundang lebih ramai pemain berbuat perkara yang sama.

Sebagai pemain berpengalaman dan kapten pasukan nasional, Safiq perlu menunjukkan contoh yang baik. Sukan bola sepak bukan medan untuk menyemarakkan kebencian dan sentimen liar. 

Memandangkan insiden tersebut tular dalam media sosial, Awang percaya Safiq setidak-tidaknya harus memohon maaf dan satu lagi– ambillah iktibar.