Sekali lagi ...

Sekali lagi Malaysia menghadapi ancaman luar, kali ini daripada Korea Utara dalam isu pembunuhan Kim Jong-nam yang menggemparkan dunia.

Sementara perundingan dijalankan bagi mencari penyelesaian terutama bagi membebaskan rakyat kita di sana yang dijadikan tebusan, marilah kita bertenang, berdoa dan bersatu.

Pengalaman membuktikan betapa apabila rakyat bersatu menghadapi krisis termasuk dua tragedi MH dan ancaman Daesh, negara mampu hadapi malah keluar daripada dugaan itu.

Sekali lagi semangat itulah yang terpamer daripada semua peringkat rakyat. Seruan bersatu oleh Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak disahut oleh rakyat Malaysia dan parti politik terutama Pas pimpinan Hadi Awang.

Sebagai rakyat Malaysia, Awang berbangga kerana sekali lagi Najib telah menangani krisis melibatkan Korea Utara dengan tegas dan baik.

Kemampuan beliau mengurus krisis - ancaman luar, diplomatik, keselamatan, ekonomi dan bencana- sudah menjadi jenama yang kuat. Biar apa pun tafsirannya, demi kedaulatan negara sekali lagi Awang bersyukur.

Dinasti Lim dan Kim 

DAP menggunakan istilah demokratik pada namanya tetapi ia tidak mencerminkan nilai demokrasi dalam parti itu. Ia bukan sekadar soal dua kali pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) yang tidak disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana aduan ahli terhadap penyelewengan undi tetapi lebih daripada itu. 

Paling ketara penguasaan keluarga Lim Kit Siang atau dipanggil Dinasti Lim dalam parti itu, yang menjadi bahan momokan kerana terlalu lama mahu berkuasa. Awang tertarik dengan tulisan penganalisis Raja Petra Raja Kamarudin (RPK) bertajuk DAP: The Inside Story dalam portal Malaysia Today berkaitan perbandingan antara keluarga Lim dan keluarga Kim iaitu Presiden Korea Utara.

Keluarga Kim di Korea Utara atau nama rasmi Democratic People's of Korea telah berkuasa selama 69 tahun iaitu meliputi tiga generasi.

Berbanding Kit Siang yang sendirian selama 51 tahun menguasai DAP ( Democratic Action Party) dan kini anaknya, Lim Guan Eng adalah pemimpin kedua berkuasa dalam parti. 

Dengan kata lain, Keluarga Lim lebih mendahului Keluarga Kim di Korea Utara. Memang hebat dan boleh dibanggakan. Awang selalu dengar ada kisah di sebalik kejayaan percaturan Kit Siang bertahan begitu lama. 

Realitinya ramai pemimpin DAP yang makan hati dan terpinggir menyebabkan peluang mereka ke persada kepimpinan tertutup sama sekali. Dalam tempoh itu, UMNO telah bertukar enam presiden, MCA pula sembilan presiden manakala Gerakan enam presiden. Wow, indahnya demokrasi dalam DAP. 

Itu belum menyentuh bagaimana selama itu juga Kit Siang mencorakkan DAP menjadi parti paling rasis dengan berselindung di sebalik nama demokratik. Apa pun, tahniah Kit Siang, anda telah pecah rekod dan pastinya menjadi kebanggaan buat generasi Keluarga Lim. 

Realiti Kongsi Gelap

Pendakwaan ke atas 30 ahli Geng 360 Devan termasuk seorang ahli politik bergelar Datuk di Mahkamah Sesyen Kajang, Isnin lalu, menarik perhatian.

Kesemuanya dituduh menjadi ahli kumpulan penjenayah terancang, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun ((Seksyen 130V Kanun Keseksaan). 

Awang teruja dan tahniah kepada polis kerana melumpuhkan Geng 360. Sebenarnya inilah yang dimahukan oleh rakyat Malaysia iaitu pembersihan ke atas kumpulan kongsi gelap dan jenayah terancang. 

Realitinya, masih banyak kongsi gelap beroperasi di negara ini. Awang bimbang ia menjadi seakan 'institusi' yang sangat kuat dan berpengaruh jika tidak ditangani dengan berkesan.

Sehinggakan ada tanggapan kongsi-kongsi gelap lebih berkuasa daripada polis dan dalang kepada banyak kartel seperti dadah, pelacuran, pusat hiburan dan judi haram. 

Geng Divan hanya kisah kecil dunia kongsi gelap negara ini. Perjalanan masih jauh dan cabaran begitu besar dalam memerangi ancaman kongsi gelap. Apatah lagi jika tiada langkah drastik dan berimpak tinggi. 

Taktik kitar semula

Awang hampir ketawa dengan dakwaan ADUN Batu Tiga (PKR), Rodziah Ismail kononnya jari-jari palsu dari China dikesan memasuki negara ini bagi tujuan penipuan dalam pengundian pada Pilihan Raya Umum - 14( PRU-14). 

Dakwaan tersebut ( menerusi organ media PKR) tidak masuk akal dan ternyata mahu merendah- rendahkan pemikiran rakyat Malaysia, selain menghina diri dan partinya sendiri. 

Tidak pasti sampai bila Pakatan Harapan akan terus bermain taktik kotor mahu menggugat kepercayaan rakyat terhadap proses pilihan raya. Awang masih ingat betapa banyak tohmahan dan fitnah dimainkan pada PRU-13 termasuklah isu 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh

Awal tahun ini, ada lagi dakwaan 700,000 rakyat China akan dibawa masuk untuk menjadi pengundi di Johor, yang ternyata pembohongan besar. Awang perhatikan pemimpin Pakatan Harapan mula mendendangkan lagu tohmahan bahawa PRU-14 bakal paling kotor dalam sejarah sebagaimana dilakukan menjelang PRU-12 dan PRU-3. 

Taktik lapuk yang dikitar semula. Dengan dakwaan terbaru ini bukan sahaja menampakkan Pakatan Harapan makin terdesak malah telah melepaskan kesempatan terbaik untuk memenangi hati dan minda rakyat. Memandangkan dakwaan seumpama itu amat serius dan mempunyai implikasi besar kepada negara, Rodziah wajar dipanggil dan disiasat pihak berkuasa. 

Jika didiamkan, entah apa lagi cerita pembohongan luar biasa selepas ini. Dia perlu bertanggungjawab dan tidak dilepaskan begitu sahaja supaya menjadi mesej jelas kepada semua. Demokrasi ada hadnya. 
Siti Kasim kebal? 

Peguam kontroversial, Siti Kasim, pro DAP terus mencetuskan kemarahan umat Islam dengan provokasinya. Pada satu majlis anjuran NGO Kristian, Siti Kasim menggesa bukan Islam melahirkan lebih ramai anak bagi mengimbangi penduduk beragama Islam di negara ini. Nadanya berbaur hasutan. 

Kenyataan terbarunya itu dilaporkan sebuah portal dan tular di laman sosial. Setakat ini tiada penafian oleh beliau walaupun dihubungi oleh wartawan Mingguan Malaysia. Beliau juga dilaporkan meminta bukan Islam menyertai Melayu sepertinya berjuang menentang kesemua orang Islam yang menyokong pemerkasaan Syariah, bertujuan menolak Malaysia dijadikan negara Islam. 

Awang sudah tidak larat geleng kepala dengan provokasi demi provokasi Siti Kasim yang menghina Islam dan mencetuskan kemudaratan kepada masyarkat majmuk. Beliau antara lain pernah lantang menyokong penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam sambil membodohkan Melayu, menunjukkan isyarat lucah dan mempersoal pihak berkuasa agama. 

Awang tidak kisah jika beliau mahu membawa suara DAP, PKR atau puak liberal namun jagalah adab. Pendekatan dan perbuatan beliau itu sama bahaya dengan ancaman militan seperti Daesh dan tidak boleh didiamkan. Malah keganasan minda jauh lebih bahaya kepada masyarakat dan negara. Kalau di Singapura, pihak berkuasa pasti bertindak pantas dan tegas membendung kenyataan jelek yang boleh menjejaskan keharmonian agama dan kaum. 

Di Malaysia, Siti Kasim kebal dan terus galak kerana dia tahu pihak berkuasa kita agak berlembut dan kurang keyakinan. Lalu ia memberikan mesej yang salah kepada semua - pengganas minda mudah menjadi 'wira'. Inilah penyakit di Malaysia.

Nilai bahasa kita...

Usaha untuk mendaulatkan Bahasa Kebangsaan nampaknya masih jauh dan berliku. Makin banyak petunjuk yang meresahkan. Daripada yang sebesar-besarnya sehinggalah kepada yang dilihat kecil - Bahasa Melayu yang dijadikan Bahasa Kebangsaan terpinggir ketika bahasa lain hebat diperkasakan. 

Awang terganggu apabila tandas di sebuah hospital awam di Ampang menggunakan tiga bahasa (gambar). Ini bukan tandas di pusat komersial antarabangsa atau hospital swasta enam bintang. Sepatutnya sudah memadai menggunakan Bahasa Kebangsaaan selain dibantu simbol jantina iaitu lelaki yang diketahui manusia sejagat. 

Dasar mengutamakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan terutama di premis kerajaan dan awam telah jelas. Namun dasar hanya tinggal dasar seolah-olah bahasa kita kurang nilainya biarpun di tandas. Siapa peduli?